Kedah International Motor Fest 2016
Buat julung-julung kalinya Kedah Riders Club, telah menganjurkan acara Kedah International Motor Fest 2016 pada awal tahun ini di Dataran Tasek Darulaman Jitra, Kedah. Menurut En. Hatta Yahya Pengerusi KRC, acara ini diadakan bagi mewujudkan fenomena baru dalam sukan permotoran di Negeri Kedah sempena Discover Kedah 2016. Acara ini juga melibatkan kenderaan empat dan dua roda seperti kereta klasik, 4 x 4, motosikal klasik, retro, custom, Vespa, Lambretta, motard dan pelbagai jenis motosikal model baru.
Bermula pada tanggal 28 Januari, beberapa kumpulan pemilik VW @ Volkswagen dari Pantai Timor dan beberapa Kelab Vespa klasik dari Terengganu dan Kelantan telah memulakan pengembaraan mereka. Sehari kemudian, perjalanan jauh mereka telah berjaya dilaksanakan apabila kesemuanya selamat sampai di Kedah.
Sebelah petang beberapa lagi kumpulan dari seluruh negara mula tiba dan memenuhi tapak acara penuh bererti dan menarik ini. Salah seorang peserta VW Beetle, En. Richard Carrico berasal dari California dan isterinya warga Thailand yang kini menetap di Pulau Pinang tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam kemeriahan ini.
En Rashidi Abu Bakar dari Butterworth memang terkenal di kalangan pengemar VW @ Volkswagen Malaysia kerana mempunyai kedai baik pulih dan pengubahsuai VW (Restoration) di Butterworth. Lebih kurang jam 4.00 petang, peserta dari pertandingan Battle Of The Bands mula mengambil tempat dalam pertandingan muzik.
Adik Hawa seorang penunggang dari Kelantan tidak ketinggalan untuk turut serta bersama suami dan rakannya. Ini merupakan konvoi yang agak jauh buat Hawa yang menunggang sebuah Ducati Monster. Kali pertama ialah ketika menyertai Asean Ride 2015 dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur. Hawa menyifatkan pengalaman menunggang di Lebuhraya Pantai Timur (Jeli – Grik) memang menarik dan cukup sesuai untuk menimba ilmu daripada mereka yang lebih veteran.
Tidak ketinggalan juga Dato’ Syed Muhamad Zahri Bin Syed Zainul Rashid, Pengerusi Yayasan Permotoran Nasional (YPN) yang juga anak jati dari Alor Setar turut serta bersama acara Kedah International Motor Fest ini. Pada sebelah malamnya, semua peserta dihiburkan oleh life band yang dijemput oleh pihak penganjur. Acara permotoran kali ini berlainan daripada tempat lain, di mana kawasan perkhemahan VW @ Volkswagen meriah dengan acara santai seperti jamuan makan ala BBQ.
30/1/2016
Hari ini cukup istimewa kerana ia adalah waktu yang dinantikan oleh peserta Vespa dan Lambretta. Ini memberi peluang pendedahan dan mencungkil bakat belia dalam dunia pemotoran. Pada jam lebih kurang 9.30 pagi, pendaftaran untuk acara kemuncak iaitu Vespa drag race dimulakan. Seramai 22 peserta mendaftarkan diri.
Hampir lewat tengahari acara drag Vespa ini baru selesai. Bagi kategori Vespa sprint test pemenangnya jatuh kepada saudara Mohamad Lokman diikuti oleh Rahim Motor JB dan Md. Adil. Pertandingan memasak yang ditaja oleh Petronas dan perencah Adabi turut dianjurkan untuk peserta dari kelab VW @ Volkswagen.
Hari ini juga masih ramai pencinta motosikal yang hadir dari Selatan, Pantai Timur dan Pulau Pinang. Antaranya ialah seorang rider Pn. Nor Hatina Bt Ahmad yang menaiki Kawasaki GTR bersama rakan-rakannya dari Kuantan. Kali pertama beliau menunggang jauh ialah ketika melakukan pengembaraan dari Kuantan ke Phuket dan ini merupakan perjalanannya buat kali kedua.
Ada beberapa penunggang dari luar negara sempat singgah sekejap sebelum meneruskan perjalanan mereka ke selatan Thailand untuk menghadiri Hatyai Bike Week yang jatuh pada tarikh yang sama. Sekumpulan pemilik BMW dari Kuala Lumpur dan juga sekumpulan Mercedes Benz dari Johor, Melaka dan Kuala Lumpur masing-masing dalam perjalanan mereka ke utara tidak melepaskan peluang untuk singgah dan berkongsi kemeriahan bersama.
Sewaktu majlis makan malam, para peserta telah dihiburkan oleh penyanyi Mus dari kumpulan rock terkenal May. Tetamu kehormat pada majlis makan malam itu ialah Datuk Shafie Exco Pemuda Umno Kedah. Pihak KRC telah bermurah hati untuk menyampaikan cenderahati kepada wakil-wakil kelab yang hadir. Hadiah paling istimewa ialah sebuah Modenas CT115 yang dimenangi oleh Zainal Abidin B Zakaria dari Arau, Perlis.
Sebelum majlis penutup tirai, Kedah Rider Club bersama rakan bikers lain tidak melupakan golongan yang memerlukan. Mereka telah berkonvoi bersama ke Maadhad Tarbiah Islamiyah di Pokok Sena, Kedah untuk penyerahan kutipan derma oleh rakan-rakan bikers semua. Selepas dua malam ‘berkampung’ di Kedah, semua peserta akhirnya mula meninggalkan tapak pesta dan bergerak balik ke negeri masing-masing. Kedah International Motor Fest 2016 berakhir dengan jayanya! Tahniah dan terima kasih semua.RR
- NZ York
Popular