Kolaborasi GIVI dan MOTOWAZI Dalam Kursus Keselamatan Tunggangan Marshal
Pengeluar aksesori motosikal terkemuka, GIVI Asia dengan kerjasama MOTOWAZI telah menganjurkan program 'Kursus Teknik Keselamatan Tunggangan Marshal' pada awal September lalu bertempat di Stadium Melawati Shah Alam. Kerjasama ini juga merupakan program sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk memberi pendidikan serta pendedahan tentang tugas-tugas marshal menerusi latihan teori dan praktikal yang telah disediakan.
Menurut Pengurus Pemasaran GIVI Asia, En. Samir Sharman, kerjasama ini adalah buat julung kalinya dalam program kursus keselamatan sebegini adalah bagi meningkatkan kesedaran para penunggang tentang ciri-ciri keselamatan yang melibatkan tunggangan solo ataupun berkumpulan. Dengan pengendalian daripada Tuan Haji Wazi selaku pelatih berpengalaman dan diiktiraf, beliau yakin kursus ini membantu untuk meningkatkan keyakinan serta sikap terpuji penunggang yang sentiasa mengutamakan keselamatan jalan raya.
Program ini ternyata mendapat sambutan yang cukup baik dengan kehadiran seramai 40 orang peserta yang terdiri daripada pemilik pebagai jenis motosikal dari model moped hingga jentera berkuasa tinggi. Program dimulakan dengan sesi teori tentang tugas-tugas marshal, pemeriksaan motosikal diikuti dengan perkongsian undang-undang trafik dari PDRM serta tata tertib berkonvoi. Antara perkara penting yang wajib difahami, diingati dan dipraktikkan oleh para marshal sewaktu berkonvoi ialah sihat akal fikiran, berkemampuan (jentera dan pakaian), sentiasa mematuhi undang-undang, pantas membuat keputusan, cekap mengendalikan motosikal, menjaga keselamatan peserta konvoi/orang lain dan berwaspada.
Sesi pembelajaran diteruskan dengan latihan praktikal di kawasan yang telah disediakan. Para peserta diberi tunjuk ajar oleh Hj Wazi dan tenaga pengajar WAZIMOTOnya sendiri seperti En. Rosli Zainal (Bob Eden) dan Zul Olen. Para peserta harus menguasai cara-cara mengawal jentera di laluan selekoh, laluan lurus, isyarat tangan, situasi kecemasan, brek kecemasan, penukaran corak tunggangan dan lain-lain.
Selepas mendapati semua peserta telah bersedia, latihan dilanjutkan terus ke jalan raya yang diketuai oleh tenaga pengajar selaku Captain. Latihan ini amat penting agar para marshal dapat berhadapan dengan situasi sebenar di jalan raya dan memperoleh peluang untuk membuat keputusan yang sebaiknya. RR
Popular