Demak Borneo Mega Gathering
Demak Borneo Mega Gathering (DBMG) 2017 yang berlangsung sempena Kuching International Bike Week (KIBW) pada 14 -15 Oktober lalu, berjaya mengumpulkan kira-kira 480 peserta dan pemilik motosikal yang telah berhimpun di kilang syarikat Demak yang terletak di Kuching. Dengan tema ‘Jarak Bukan Penghalang,’ sebahagian besar peserta ini datangnya dari 31 buah kelab permotoran di seluruh Sabah dan Sarawak.
Lebih membanggakan lagi, ada pemilik motosikal sanggup mengharungi perjalanan sejauh 1,500 kilometer dari Tawau semata-mata untuk menyertai DBMG yang julung-julung kali diadakan ini. Selain itu, DBMG turut menerima kehadiran pemilik-pemilik motosikal dari Sabah yang juga telah mengharungi perjalanan beberapa hari bagi menyertai perhimpunan ini.
Penolong Pengurus Besar Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Demak Marketing Sdn. Bhd., Wan Najib Wan Daud berkata, DBMG 2017 ini adalah yang pertama kali diadakan di perkarangan kilang Demak selain memeriahkan lagi suasana KIBW yang berlangsung di City One MegaMall Kuching.
Kata beliau, penganjur terpaksa menolak permohonan daripada kelab-kelab yang ingin menyertai DBMG di saat-saat akhir berikutan risau mengenai masalah logistik di tempat permulaan konvoi sebelum kesemuanya bergerak ke City One MegaMall Kuching.
Bagi para pemilik di kawasan Borneo, mereka begitu teruja dan berbangga memiliki model motard atau offroad berikutan keadaan muka bumi serta penggunaan yang lasak. Wan Najib turut menambah, sambutan dari pemilik jenama lain seperti Yamaha, Honda, Kawasaki, KTM, KTNS, SYM, Modenas dan Ducati juga amat menggalakkan. “Ini menunjukkan semangat kekeluargaan dari kalangan pemilik motosikal adalah kuat tanpa menghiraukan jenama motosikal masing-masing,” katanya.
Para peserta telah mula tiba di perkarangan kilang Demak seawal pukul 9.30 pagi untuk pendaftaran dan peserta diberikan beberapa cenderahati sebagai tanda kenangan DBMG 2017. Beberapa acara sampingan telah diadakan seperti sesi tunggang uji empat model motosikal Demak, acara stunt oleh pemilik motosikal Demak, sesi karaoke, cabutan bertuah dan jamuan makan tengah hari sebelum semua peserta berlepas ke City One MegaMall Kuching yang dilepaskan oleh Pengurus Besar Operasi Demak Marketing (Borneo) Ling Boo Hiung.
Sebelum semua peserta dilepaskan untuk berkonvoi ke KIBW, semua kelab permotoran yang mengambil bahagian di DBMG telah diberikan sijil penyertaan sebagai penghargaan kepada kerjasama dan penyertaan mereka. Berikutan sambutan yang amat menggalakkan itu, sebahagian besar kelab permotoran yang menyertai DBMG kali ini telah menyatakan komitmen masing-masing untuk menyertainya pada tahun hadapan. RR
Popular