Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 15 Ogos 2020

Keliling Dunia Bersama Roxy & Honda CBR Fireblade!

Pengalaman melihat dan merentas dunia adalah impian setiap pengembara. Setiap saat perjalanan bukan sahaja memberikan kenikmatan tetapi juga mematangkan dan mendewasakan kita. Kenangan menyusuri pelbagai jenis jalanan dan bertemu dengan masyarakat setempat telah menemukan setiap pengembara dengan keunikan cara hidup, budaya serta nilai sesebuah negara itu.

Pada tanggal 17 Februari 2020, Boon Siew Honda Sdn Bhd telah mengaturkan perjumpaan santai bersama seorang penunggang motosikal wanita yang cukup tegar, bersemangat waja dan kental. Dia ialah Roksana Kielkowska atau lebih mesra dengan panggilan Roxy. Baru berumur 24 tahun dan bekerja sebagai Computer Software Developer berasal dari Poland tetapi kini menetap di Glasgow, Scotland. Roxy menyatakan hasratnya mengembara ialah untuk melihat keindahan dunia

Taj Mahal, India.
Taj Mahal, India.
Pemandangan yang menakjubkan ketika Roxy menaiki belon panas di Bagan, Myanmar.
Pemandangan yang menakjubkan ketika Roxy menaiki belon panas di Bagan, Myanmar.

Apa yang lebih mengagumkan, Roxy merentasi dunia bukanlah dengan menunggang motosikal pengembaraan sebaliknya sebuah jentera sport iaitu Honda CBR900RR Fireblade. “Saya mula menunggang motosikal sejak berumur 18 tahun dan motosikal pertama saya ialah Honda CBR125 dan kemudian membeli pula model CBR900 (model lama) yang telah saya tunggang di beberapa buah negara di Eropah.”

Itulah yang jadikan pengembaraan Roxy ini lebih unik kerana dia 'naik' superbike! Bukan CB500X... CRF250L... Africa Twin... yang memang direkacipta untuk perjalanan jauh. Roxy turut berkongsikan bahawa dia juga telah membeli sebuah CBR1000RR untuk tunggangan lebih mantap.

Perjalanan Roxy (RTW) bermula di Glasgow seterusnya merentasi England sebelum tiba di Benua Eropah. Negara Eropah pertama Roxy jejaki untuk RTW ini ialah Jerman. Pengembaraan di Poland, Slovakia, Hungary, Romania hinggalah ke Bulgaria berjalan cukup baik dengan keadaan trafik yang lancar dan pemandangan air terjun serta gunung ganang yang cukup memukau. Untuk lebih pengalaman dan mengawal perbelanjaannya, Roxy bukan sahaja menginap di hotel malah turut berehat dan bermalam dalam khemah.

Berpeluang melihat cara-cara pembuatan motosikal ketika berada di Pulau Pinang.
Berpeluang melihat cara-cara pembuatan motosikal ketika berada di Pulau Pinang.

Roxy (tiga dari kanan) menerima layanan 'VIP' oleh BSH ketika sampai di Kuala Lumpur.

Dari laluan pergunungan, Roxy tiba di suatu 'dunia' baru apabila melangkah masuk ke Turki. Pemandangan sekeliling berbeza. Dari gunung menghijau kini berubah ke dunia berbatu dan berpasir. Antara tempat menarik yang sempat dilawatinya ialah di sepanjang Goreme, Kaputas Plaji dan Ankara. Selepas Georgia dan Azerbaijan, Roxy menggunakan perkhidmatan feri untuk melintasi Laut Caspian untuk menuju ke Kazakhstan, Krygystan, Tajikistan dan kemudiannya ke China. Antara tempat yang menawarkan pemandangan cukup hebat ialah di Tasik Karakul yang berlatar belakangkan Pamir Mountains.

Perjalanan di kawasan tanah tinggi yang berbatu sememangnya cukup menyukarkan, lebih-lebih lagi untuk sebuah jentera yang lebih 200kg (dengan muatan). Apapun, Roxy yang berketinggian 161cm telah membuktikan bahawa dia adalah seorang penunggang yang tabah dan bersemangat waja. Dari Tajikistan, CBRnya merentasi Xinjiang dan beberapa lagi daerah di China untuk menuju ke Pakistan (Tashqorghan ke Passu).

Antara bangunan berbentuk unik di Bulgaria.
Antara bangunan berbentuk unik di Bulgaria.
Jaipur, Rajasthan.
Jaipur, Rajasthan.

Ada banyak kisah menarik di Pakistan yang menguji ketahanan mental dan fizikal Roxy. Ketika di Gilgit, motosikalnya mengalami kerosakan dan memerlukan masa yang agak lama untuk mendapatkan alat ganti itu. Untuk teruskan pengembaraan, Roxy dapat menyewa beberapa buah motosikal lain seperti Kawasaki KLX 250, Honda CG125 dan Suzuki GS150. Ketika berada di Lembah Chapursan, Roxy cukup bertuah apabila dapat bertemu dengan pengembara motosikal wanita terkenal dunia iaitu Rosie.

Roxy terpaksa menunggu sehingga tiga minggu sebelum jenteranya siap untuk menyambung perjalanan atau jumlah keseluruhan lebih daripada lima minggu di Pakistan. Roxy juga telah menerima sambutan meriah ketika berada di negara tersebut termasuklah liputan media cetak dan media massa bersempena World Tourism Day yang diadakan di Sheikhupura. Selepas Pakistan, Roxy menghabiskan banyak masa dengan melawati beberapa lagi lokasi pelancongan menarik yang terdapat di India seperti Kuil Emas di Amritsar, Taj Mahal, New Delhi, Jammu, Kashmir, Nubra Valley dan semestinya laluan tertinggi dunia untuk kenderaan iaitu Khardung La. Penunggang hebat Glasgow ini cukup berbangga dan bersyukur apabila berjaya menakluk laluan yang cukup mencabar.

Menara Kembar Petronas.
Menara Kembar Petronas.

Nepal merupakan negara ke-20 yang ditempuhnya. Roxy telah bertemu dan berkenalan dengan ramai pengembara motosikal dunia ketika dalam perjalanan dan apabila berhasrat untuk ke Everest Base Camp, dia dan beberapa pengembara lain terpaksa meninggalkan jentera dan memilih untuk mendaki. Untuk menyempurnakan laluan trek ke Everest Base Camp itu, Roxy mengambil masa kira-kira seminggu dan menurutnya, ia adalah pengalaman terbaiknya. Roxy turut menunggang di Jambatan Gantung tertinggi dan terpanjang di Nepal iaitu Kushma Gyadi yang berketinggian 135 meter dan sepanjang 344 meter.

Selepas India, Roxy meneruskan cabaran ke Myanmar yang memiliki banyak kuil bersejarah. CBRnya disempurnakan dengan sepasang 'kasut' baru selepas tercatat 14,500 kilometer perjalanan. Ketika di Bagan, dia berkesempatan untuk menaiki belon panas. Sewaktu perjalanan hanya berbaki 10 kilometer sebelum tiba di sempadan Myanmar-Thailand, Roxy telah terlibat dalam satu kemalangan yang menyebabkan pinggulnya retak sedikit.

Menurut Roxy, banyak kali juga dia terjatuh tetapi semuanya terjadi di tempat yang ramai orang. Dengan bantuan orang sekeliling, ia membolehkan CBRnya dapat ditegakkan dengan cepat.

Roxy terlibat dalam satu kemalangan.
Roxy terlibat dalam satu kemalangan.

“Kalau saya memang tak bergerak motor tu, ia besar dan sangat berat,” gurau Roxy.”

Motosikalnya terpaksa dibawa ke Laos dan kemudiannya masuk semula ke Thailand melalui Chiang Mai. Walaupun masih dalam keadaan yang tidak 100% sembuh, Roxy menguatkan semangat untuk meneruskan perjalanan dan kali ini dengan topi keledar yang baru. Pengembaraan masih diteruskan dan Roxy singgah di beberapa tempat hebat seperti Taman Negara Doi Inthanon, laluan bulat Pai-Mae Hong Son, Taman Negara Lam Nam Nan, Kuil Putih di Chiang Rai, Golden Triangle, Air Terjun Kuang Si dan banyak lagi.

Roxy terus menikmati keindahan negara-negara Asean dengan melawati Laos diikuti pula Kemboja. Pemandangan dunia yang masih asli dan belum 'dijajah' dengan kemodenan seperti di laluan hutan tebal di Phonsavan Laos dan di kuil besar Angkor Wat memang cukup mengagumkan. Roxy kembali ke Thailand untuk menyempurnakan pengembaraannya sebelum masuk ke Malaysia.

Sempat ‘singgah’ di kilang pembuatan rantai, RK-M di Pulau Pinang.
Sempat ‘singgah’ di kilang pembuatan rantai, RK-M di Pulau Pinang.
Golden Temple, India.
Golden Temple, India.

Oleh kerana jenteranya menghadapi kerosakan, pihak Boon Siew Honda dan Honda BigWing PJ telah bermurah hati untuk melakukan servis penuh dan menggantikan alat ganti yang diperlukan. Roxy turut diberikan sebuah CBR250 sebagai ganti ketika menunggu jenteranya untuk siap dalam jangka masa seminggu. Dengan CBRnya itu, Roxy telah berkunjung ke beberapa tempat menarik di Malaysia seperti Pulau Pinang, Cameron Highlands, Genting Highlands, Putrajaya, KL, Negeri Sembilan, Melaka (makan durian) dan Johor. Paling hebat, Roxy dapat menjejakkan kaki di Tanjung Piai, Penghujung Selatan Benua Asia.

Dalam ruangan FBnya (RTW Roxy), dia berkongsikan kegembiraan berada di Malaysia. Walaupun dalam masa yang agak singkat, Roxy dapat ramai kenalan baru dan menikmati budaya berlainan kaum di Malaysia. Roxy meninggalkan Malaysia pada 4hb Mac untuk meneruskan pengembaraan di Australia pula. Didoakan agar Roxy dapat menyempurnakan impian dan sasarannya dengan selamat.

Air terjun Kuang Si, Thailand.
Air terjun Kuang Si, Thailand.
Chiang Rai, Thailand.
Chiang Rai, Thailand.

Jika merujuk daripada jadual pengembaraan yang dirancang oleh Roxy, dia kini dalam pengembaraan seterusnya ke Australia, New Zealand, Argentina, Chile, Bolivia, Peru, Columbia, Panama, Alaska, Mexico dan Canada. RR

Kredit photo: Roxy

Isu Pada

Jun 2020

Popular

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

Artikel berkaitan

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Model Baru

Ducati Panigale V4 2025 Kini Di Malaysia - Harga Asas RM182,900

Ducati Malaysia telah melancarkan Panigale V4 generasi terbaru sempena dengan perasmian pembukaan Ducati Sungai Buloh.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.

Berita Kelab

KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024

Penganjuran KEDAH OFF ROAD TRAIL & CAMPING 2024 yang dianjurkan semperna Hari Malaysia pada (15/9 - 16/9) lalu telah terlaksana dengan jayanya.