Distinguished Gentlemen's Ride 2017 Meriah Di Ipoh
Distinguished Gentleman’s Ride atau lebih dikenali sebagai DGR merupakan satu acara amal bagi mengumpul dana untuk membantu pesakit kanser prostat dan kesihatan mental lelaki. Program bertaraf antarabangsa ini bermula pada tahun 2012 di Australia diikuti 64 bandar di seluruh dunia dan kemudian mula berkembang di beberapa negeri di Malaysia seperti di Pulau Pinang, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.
Tahun ini, Perak turut menganjurkan program amal ini yang berjaya menarik kira-kira 300 penunggang motosikal yang berpakaian bergaya tema dapper menunggang motosikal kesayangan masing-masing dari motosikal Vespa yang vintaj hinggalah ke motosikal cruiser. Program anjuran Throttle Riot dan Perak British Classic Motorcycle Club (PBCMC) ini telah berjaya mengumpul dana hampir RM15,000 untuk disalurkan kepada Movember Foundation.
Menurut penyelaras program, Ezzad Elias, DGR 2017 - Chapter Ipoh membabitkan perjalanan sejauh 23 kilometer (km) ke lima perhentian bermula dari Bulatan Amanjaya, Meru. Konvoi penuh segak bergaya diiringi pasukan polis trafik dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) menuju ke Taman Rekreasi Gunung Lang, Karat Kafe dan Stesen KTM sebelum berakhir di MRoof Hotel.
Menurut Ezzad, selain mendapat sokongan penunggang motosikal dari kelab-kelab motosikal tempatan dan luar, DGR 2017 - Chapter Ipoh turut disertai beberapa selebriti seperti Wak Doyok, Karl Syafiq dan JD Raja Lawak.
“Ini adalah penganjuran kali pertama di Ipoh bersempena Tahun Melawat Perak 2017 dan nampaknya ia mendapat sambutan yang menggalakkan. Kami meletakkan minima sumbangan RM20 dan terpulang kepada peserta untuk memberi sumbangan. Untuk kali pertama ini sasarannya adalah RM15,000 dan Alhamdulillah sasaran itu berjaya dicapai,” katanya.
Secara keseluruhannya, lebih 90,000 penunggang di seluruh dunia mengambil bahagian dalam penganjuran DGR tahun 2017 dengan jumlah dana terkumpul sebanyak USD4,285,236 (RM17.9 juta). Semua ini menjadi kenyataan dengan bantuan penyokong utama acara tunggangan iaitu Triumph Motorcycles, Zenith Watches dan Hedon Helmets. RR
Popular