Malaysia Bakal Jadi Hab Serantau Untuk Bajaj
Pengeluar motosikal global, Bajaj Auto Limited (BAL) yang berpengkalan di India terus positif menjadikan Malaysia sebagai hab untuk pengeluaran produk-produk syarikat ini bagi pasaran di ASEAN. Bajaj merupakan syarikat pengeluar jentera tiga dan dua roda ketiga terbesar di dunia dengan pengeluaran kira-kira lima juta jentera setiap tahun manakala 45% daripada jumlah pengeluaran tersebut adalah untuk tujuan eksport.
Kerjasama di antara Motosikal Dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) dan Bajaj telah disempurnakan pada April tahun ini dengan kedua-dua syarikat ini mempunyai arah tuju yang seiring dan memberangsangkan. Tiga buah model telah pun diperkenalkan iaitu RS200, NS200 dan V15. Dengan kemantapan rekabentuk dan spesifikasinya, MODENAS telah berjaya memasarkan sebanyak 2,000 unit atau 35% untuk segmen jentera sport berkuasa 150cc hingga 250cc. Ternyata jumlah penjualan tersebut berjaya membuktikan keupayaan MODENAS dan pastinya memberikan keyakinan buat Bajaj untuk terus bekerjasama.
Terima kasih buat MODENAS dan Bajaj yang membawa RR serta para wartawan dan pengedar ke kilang dan ibu pejabat mereka di Pune, India pada September lalu. Kilang di Chakan ini berkeluasan 149,000 meter persegi yang mampu menghasilkan sebanyak 4,000 unit motosikal setiap hari. Seramai 1,432 petugas di kilang ini dengan 120 daripadanya adalah pekerja wanita. Antara model-model yang dikeluarkan di kilang ini ialah KTM125-390cc, Pulsar NS, Pulsar RS dan Avenger.
Kekuatan produk-produk keluaran Bajaj dibuktikan menerusi kualiti pembikinan, prestasi enjin dan strategi pemasaran yang membolehkan mereka menjual jutaan jentera Bajaj setiap tahun dan berkemampuan untuk membeli saham pengeluar motosikal Eropah iaitu KTM. Dengan memegang sebanyak 48% saham KTM, Bajaj kini bertanggungjawab untuk menghasilkan jentera-jentera KTM di bawah 400cc. Bajaj juga akan bekerjasama dengan Triumph dalam pembikinan jentera-jentera berkuasa 250cc hingga 650cc.
Setakat ini, BAL mempunyai rakan niaga dari seluruh dunia atau lebih tepat di 78 buah negara dengan 26 buah pengedar dan 2,426 buah penjual. Model-model yang dipasarkan di negara-negara tersebut juga tidak sama kerana ianya bergantung kepada corak tunggangan, minat dan keadaan jalan raya sesebuah negara. Walaupun begitu, ciri-ciri penting yang harus dimiliki oleh produk-produk keluarannya terdiri daripada keselesaan, jimat petrol, harga yang kompetitif, gaya kontemporari, ciri keselamatan mengikuti piawaian antarabangsa, kualiti dan prestasi bertaraf dunia.
Jentera-jentera keluaran mereka juga dibahagikan kepada beberapa kategori seperti Premium Sport (Pulsar RS200, KTM dan Dominar), Sports (Pulsar dan Avengers), Premium (Discover 125 dan 150), Value (Discover 100) dan Economy (CT, Platina dan Boxer). Di India, para pelanggan Bajaj terdiri daripada mereka yang mengutamakan tahap penjimatan dan kelasakan. Di negara-negara Afrika, model-model lasak dan ekonomi seperti Boxer sangat diminati manakala di Malaysia, model-model berprestasi tinggi seperti Pulsar RS dan NS menerima permintaan yang tinggi.
Untuk menambah jumlah pengeluaran seterusnya mempunyai kemampuan untuk berada di pasaran Asia Tenggara, Bajaj dengan kerjasama MODENAS akan menyempurnakan segala infrastruktur di kilang mereka yang terletak di Gurun, Kedah yang mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 120,000 unit motosikal setiap tahun. Selain Malaysia, Bajaj kini telah pun menembusi pasaran Filipina dan Kemboja dengan menyasarkan pemasaran di Thailand dan Vietnam.
Menurut Presiden Perniagaan Antarabangsa Bajaj, En. Rakesh Sharma, Malaysia (Modenas) mempunyai kemudahan dan teknologi yang mirip dengan apa yang BAL miliki di kilang mereka di Aurangabad dan penyempurnaan produksi dijangkakan akan bermula dalam masa enam bulan lagi. Beliau turut mengatakan bahawa pasaran di Malaysia amat penting buat Bajaj dan kerjasama di antara kedua-dua pengeluar motosikal ini sangat bertepatan dengan impian dan hala tuju mereka.
Turut menyokong kenyataan tersebut ialah Ketua Pegawai Operasi MODENAS, En. Amirudin Abd Kadir yang menegaskan bahawa MODENAS kini berada di landasan yang tepat dan dengan kerjasama ini serta sokongan kuat daripada 35 buah pengedar di seluruh negara, jumlah penjualan keseluruhan jentera Modenas pastinya akan terus meningkat.
Untuk terus berdaya saing, MODENAS dan Bajaj akan memperkenalkan sebuah lagi model jalanan iaitu Dominar 400 yang dijangka akan berada di pasaran negara pada suku pertama tahun hadapan. Ketika membuat lawatan ke kilang Bajaj di Chakan, RR telah diberi peluang menunggang uji jentera ini di litar eksklusif mereka yang sepanjang 2.9 kilometer. Litar ini dilengkapkan dengan selekoh tajam, selekoh panjang dan laluan lurus yang sepanjang satu kilometer.
Okay.... Jujurnya, rekabentuk Dominar memang berada di dalam kelasnya yang tersendiri. Lampu hadapan dan belakang adalah dari jenis LED manakala panel meternya memaparkan segala informasi dengan jelas sekali. Terdapat juga panel penunjuk lampu yang diletakkan pada bahagian tangki – cukup menarik. Pandangan sisi tampak mantap dengan bentuk enjin DTS-i, sistem ekzos dan rim-rim yang cukup sporty.
Posisi menunggang selesa sekali. Jarak pelana di antara penunggang dan bar hendal juga sempurna. Dengan keberatan 183kg, Dominar 400 ternyata mudah untuk kita kendalikan dalam semua keadaan dan kelajuan. Dominar 400 merupakan sebuah jentera jalanan yang berkuasa 373cc, satu silinder, sistem suntikan bahan api yang menawarkan kuasa setinggi 35ps pada 8,000rpm dan tork 35Nm pada 6,500rpm yang cukup dirasakan ketika berada di dalam gear-gear pertengahan.
Sistem transmisi 6 kelajuan milik Bajaj ini cukup lembut, kita dapat menurunkan dan menambah gear dengan lancar dan pantas. Litar ini memiliki dua selekoh 'S' yang berjaya menunjukkan kelincahan Bajaj ini mengubah posisi dengan pantas dan tepat. Walaupun kali pertama menunggang di litar ini, Bajaj Dominar 400 membenarkan kita memecut dengan laju, yakin dan selamat.
Kelajuan maksimum yang dapat kami lakukan ialah 155km/j dan ini bukan sahaja disebabkan kekuatan enjinnya tetapi juga pakej keselamatan yang ditawarkan membolehkan kita membrek agak lambat sebelum masuk ke selekoh panjang. Dominar 400 dilengkapi dengan brek cakera 320mm (depan), 230mm (belakang) dengan sistem ABS twin channel dan dipermantapkan pula melalui sistem Slipper Clutch. Kita bukan sahaja mampu memperlahankan kelajuan dengan tepat malah tayar belakang tidak akan terkunci apabila gear-gear diturunkan dengan cepat. Memang mengujakan.
Walaupun kami hanya dapat menguji Bajaj ini kira-kira enam lap, prestasinya cukup mengejutkan. Menurut pihak Modenas, akan ada beberapa perubahan dan penambahbaikan akan dilakukan pada model ini sebelum memasuki pasaran negara antaranya tayar dan pelindung sari (di bahagian belakang).
Pihak Bajaj turut menyatakan, Dominar 400 ini juga menjadi pilihan buat pengembara motosikal. Selain keselesaan untuk tunggangan jauh, model ini juga memiliki ketangkasan, tahan lasak dan pengendalian yang mudah. Ia adalah resepi utama untuk dijadikan mesin tunggangan santai, teman istimewa untuk perjalanan jauh serta jentera berprestasi di jalan-jalan berliku.
Model ini akan berada di pasaran negara pada suku pertama tahun hadapan manakala harganya masih belum ditentukan. Berapa agaknya ya?
Kami juga diberi peluang untuk menguji Boxer X150 dan jika kita melayari laman web Bajaj, gambar promosi untuk model ini memaparkan Boxer X150 cukup bertenaga untuk kegunaan jalan lasak. Bajaj menggelarkannya “Champion of Rough Road” dan sememangnya ia ringan, cukup berkuasa, mudah dikendalikan dan memiliki sistem saspensi yang baik.
Boxer X150 menggabungkan rekabentuk motosikal jalanan biasa dan jentera offroad yang memang unik dan menarik sekali.
Enjin 144.08cc mempunyai kuasa 12Ps pada 7,500rpm dan tork 12.3Nm pada 5,500rpm. Menurut pihak Modenas, model ini belum lagi diputuskan sama ada akan dibawa masuk ke pasaran negara atau tidak dan ia bergantung kepada permintaan dan maklum balas daripada para penunggang motosikal di tanahair.
Program kami di India tidak tamat di kilang dan di ibu pejabat Bajaj sahaja. Pihak Bajaj dan MODENAS turut membawa kami (para wartawan dan para pengedar) ke Agra untuk mengunjungi bangunan yang terkenal dan penuh sejarah, Taj Mahal. Untuk menuju ke sana, kami perlu singgah dan bermalam di ibu negara India, New Delhi. Ternyata suhu di antara bandar Pune dan New Delhi agak berbeza. Di ibu negara tersebut lebih panas.
Dengan populasi sekitar 24 juta penduduk daripada 1.324 billion, bandar New Delhi sibuk dan agak sesak dengan kenderaan. Berikutan harga bahan api yang tinggi (sekitar RM4.40), motosikal dan auto-rickshaw menjadi pilihan warganya. Kami sempat berkunjung ke India Gate iaitu sebuah memorial peperangan yang dibina untuk memperingati kira-kira 82,000 orang tentera yang berjuang untuk negara dalam Perang Dunia Pertama pada tahun 1914 hingga 1921. India Gate setinggi 138 kaki direka oleh seorang warga British, Sir Edwin Lutyens yang dibina pada tahun 1921 dan diperkenalkan pada tahun 1931.
Sedikit info mengenai syarikat ini: Bajaj diasaskan pada November 1945 dan memulakan operasi di ibu pejabat mereka di Pune, India. Bajaj terkenal di serata dunia sebagai pengeluar motosikal, kenderaan tiga roda dan kereta. Kini, Bajaj memiliki tiga buah kilang yang terletak di Pune, Waluj, dan Pantnagar manakala pusat R&D pula beroperasi di Akurdi. Kilang di Waluj mengeluarkan jentera dua roda, tiga roda (auto-rickshaw) yang memenuhi keperluan eksport. Kilang di Pantnagar pula mengeluarkan model Discover, Boxer dan Platina manakala kilang di Chakan, Pune pula dikhususkan untuk produksi jentera berprestasi tinggi.
Perjalanan kemudiannya diteruskan ke Agra yang mengambil masa kira-kira lima hingga ke enam jam (bergantung kepada keadaan trafik). Sepanjang perjalanan ke sana, kami merentasi kawasan perladangan yang cukup luas terbentang. Apa yang dapat dilihat, penanaman dan kerja ladang menggunakan cara lama seperti kerbau dan keldai masih dilakukan. Lori kecil, traktor dan kereta kuda pula digunakan untuk proses penghantaran hasil tanaman tersebut.
Memang cantik sekali..... tak puas mata memandang. Dek kerana keunikan batu marmarnya, Taj Mahal akan berubah warna pada masa-masa tertentu seperti senja, monsun dan menjelang subuh. Keempat-empat menaranya condong ke luar yang bertujuan untuk mengelakkan penghempapan bangunan utama jika ada apa-apa yang berlaku. What An Experience!
RR ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat En. Amirudin (MODENAS), En. Mohd Al Safrin (MODENAS), Ms. Eyasmin Sahul Hameed (DRB-Hicom Bhd), Ms. Yang Latifah (DRB-Hicom Bhd) dan En. Muhd Muzammir (DRB-Hicom Bhd) yang telah bertungkus lumus untuk memastikan perjalanan dan segala urusan dapat dilakukan dengan lancar sekali. RR
Popular