Honda RS150R : Konvoi Marathon Semenanjung 2017
Sebanyak 40 buah jentera Honda RS150R telah berjaya menjelajah ke seluruh semenanjung negara menerusi Konvoi Marathon Semenanjung 2017 yang diadakan pada 14 hingga 17 Julai lalu. Konvoi ini telah dianjurkan dan dijayakan oleh tiga pengedar sah Boon Siew Honda (Honda Impian Shop) iaitu Sing Yik Motors dari Perak, Ah Thong Motors dari Kelantan dan AKJB Sales & Services dari Johor.
Perjalanan selama 4 hari 3 malam ini telah berjaya merentasi beberapa negeri seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak dengan jumlah perjalanan lebih daripada 1,780 kilometer. Untuk melancarkan perjalanan, pihak penganjur telah menjemput enam orang marshal yang berpengalaman serta pasukan sokongan Boon Siew Honda yang terdiri daripada mekanik dan krew Safety Riding.
Konvoi bermula dari Chemor, Perak seawal jam 8.30 pagi yang telah disempurnakan oleh Pengurus Jualan Sing Yik Motors, En. Simon Chuak dan Eksekutif Jualan Kanan Boon Siew Honda, Ms. Wei Wei. Perjalanan hari pertama yang mengambil masa selama sembilan jam cukup lancar disebabkan kemantapan jentera RS150R ini serta para penunggang yang berdisiplin. Biar pun jarak perjalanan agak jauh dan masa yang diambil agak panjang, sesetengah peserta merasa sungguh teruja kerana konvoi ini merupakan yang pertama buat mereka.
Sebaik sahaja tiba di Kota Bharu, Kelantan, para peserta telah disambut dengan cukup meriah oleh wakil-wakil dari Ah Thong Motors. Keserasian dan kemesraan yang terjalin di kalangan para peserta konvoi jelas terasa. Salah satu sebab utama penganjuran ini diadakan iaitu untuk mengeratkan perhubungan tanpa sempadan bangsa dan agama.
Apabila badan cukup rehat, semangat juga semakin membara untuk menyambung perjalanan. Program hari kedua dimulakan dengan senaman ringan yang dipimpin oleh krew Safe Riding BSH dan konvoi dilepaskan oleh En. Tio Wei Chun, Pengurus Ah Thong Motors. Para peserta bermotor dengan cukup tenang kerana kali ini mereka dapat menikmati pemandangan yang indah di sepanjang jalan menuju ke Terengganu dan berakhir di Kuantan. Tidak sempurna perjalanan di dalam negeri Pahang jika tidak singgah ke Pantai Teluk Chempedak. Selain pemandangan yang indah dan orangnya yang ramah, makanan laut di sini juga sedap-sedap belaka.
Para peserta juga telah diberikan tugas untuk membuat kumpulan kecil yang terdiri daripada 10 orang ahli setiap pasukan. Mereka perlu menggunakan kreativiti untuk mengambil gambar paling cantik dan menarik. Kumpulan 'Desperato' telah menggunakan replika robot Asimo untuk mendapatkan kesan visual yang cukup unik.
Pada hari ketiga, mereka berlepas ke Kulai, Johor seawal 7.30 pagi. Mereka singgah di beberapa tempat R&R dan stesen minyak di Pekan, Mersing dan Kota Tinggi sebelum bertemu dengan ahli Honda RS150R Southern Club di perkarangan AKJB Sales & Services pada pukul 5.30 petang. Konvoi telah disambut oleh pemilik AKJB, En. Cheng, Pengurus Besar Boon Siew Honda, En. Yee Lip Kwong, Pengurus Cawangan Johor, En. Liow Hai Peng dan Pengurus Kanan Cawangan Terengganu, En. Ooi Kheng Siang.
Walaupun perjalanan sudah melebihi 1,000 kilometer, jentera RS150R terus bergerak dengan lancar sekali. Pengendalian yang mudah dan posisi menunggang yang natural turut memberi keselesaan buat para peserta memacu jentera ini ke setiap destinasi yang dituju.
Para peserta telah diraikan dengan majlis Makan Malam Gala di Johor yang dimeriahkan dengan alunan muzik, permainan khas, pertandingan tarian dan acara cabutan bertuah. Kepuasan dan kegembiraan jelas terpancar di wajah para peserta menunjukkan acara yang diadakan menemui kejayaan. RR
Popular