Honda CBR650F & CB650F 2017 : Lebih Berkuasa
Boon Siew Honda dengan bangganya memperkenalkan model CBR650F dan CB650F yang telah berada di Kedai Impian Honda bermula 1 Ogos 2017. Model popular dan cukup menarik ini telah menerima sentuhan baru yang pastinya memenuhi kehendak para pencinta motosikal di seluruh negara. Kuasa maksimum Honda CBR650F dan CB650F 2017 baru telah dipertingkatkan kepada 67kW pada 11,000rpm dan tork 64Nm pada 8,000rpm yang diperolehi menerusi sistem aliran kemasukan dan sistem pengurusan ekzos yang baru.
RR telah pun berkesempatan menguji kedua-dua model ini ketika ia diperkenalkan di litar SIC pada Jun lalu dan sememangnya pengalaman menunggang selama tiga lap mampu memberikan beberapa maklumat yang berfaedah. Kita mulakan dengan pandangan pertama.... CBR650F dan CB650F menarik perhatian kita menerusi rekabentuknya yang mantap hampir dari setiap sudut. Lampu utama dan lampu belakangnya jenis LED bukan sahaja dicipta dengan cantik tetapi juga menawarkan suluhan yang terang. Bar hendal yang lebar serta posisi menunggang yang natural menyumbang kepada keselesaan dan keyakinan kepada semua jenis penunggang.
Dengan kuasa enjin yang hebat serta kerangka yang kukuh, kedua-dua model ini cukup tangkas meratah selekoh-selekoh di SIC. CBR650F seberat 213kg manakala CB650F pula 208kg dan kedua-duanya dilengkapkan dengan fork hadapan jenis Showa Dual Blending Valve (SDBV) dan penyerap hentak mono untuk kawalan lebih mudah. Kami dapat melakukan miringan dengan kemas tanpa ragu-ragu dalam kelajuan tinggi.
Panel meter kedua-dua model ini juga cantik dan kemas. Terdapat dua bahagian paparan digital. Sebelah kiri memaparkan tahap kelajuan dan putaran rpm manakala di sebelah kanan pula lengkap dengan jam, tahap bahan api, jarak kelajuan dan trip. Sayangnya, Honda tidak menyempurnakan meter ini dengan penunjuk gear – amat penting dan berguna untuk mendapatkan kedudukan gear yang sesuai di jalan-jalan berselekoh. Ketika menunggang uji jentera ini di SIC, kami perlu menghafal kedudukan gear agar dapat menurunkannya dengan tepat sebelum menerkam masuk ke selekoh.
Di laluan lurus, CBR650F dapat dipecut mencecah 200km/j dengan lancar manakala CB650F sekitar 180km/j. Untuk memperlahankan kelajuan dengan cepat dan selamat, kedua-dua model ini juga dilengkapkan dengan brek hadapan bersaiz 320mm dan belakang 240mm dengan angkup Nissin. Ketangkasan model-model Honda ini turut disumbangkan oleh tayar-tayar bersaiz 120/70ZR17M/C 58W (depan) dan 180/55ZR17M/C 73W di bahagian belakang.
Bagi model CBR650F, ianya ditawarkan pada harga RM47,115.94 (termasuk GST) dengan tiga pilihan warna iaitu Mat Gun Powder Black, Millennium Red dan Pearl Metalloid White. CB650F pula menawarkan empat warna baru iaitu Mat Gun Powder Black, Millennium Red, Pearl Spencer Blue dan Sword Silver Metallic. RR
Popular