Royal Enfield Ride To Mersing
Antara quote yang popular terdapat di dunia maya mengenai bermotosikal ialah “No road is too long when you have good company,” “Friends that travel together, stay together!” “If you want to go fast, go alone but if you want to go far, go together” dan banyak lagi! Ungkapan kata-kata itu amat sesuai sekali digunapakai untuk penganjuran Royal Enfield Ride To Mersing yang telah diadakan pada 29 Feb-1 Mac 2020 yang lalu.
Seperti di setiap ride anjuran RE Malaysia sebelum ini, para peserta sudah bersedia sejak dari awal lagi dan orang yang paling sibuk memastikan segalanya berjalan lancar sudah tentulah Pengurus Besar RE Malaysia merangkap ketua konvoi kali ini iaitu Dato' M. Syahrul. Konvoi dirasakan lebih ceria dan lebih selamat dengan kehadiran Bro Muru, Bro Kumar dan Bro Halim yang sentiasa memastikan pergerakan berjalan lancar dan terkawal.
Dari Shah Alam, konvoi seramai 18 orang peserta bergerak tenang menuju ke hentian pertama iaitu di R&R Seremban untuk bertemu rakan-rakan lain. Ini juga masa terbaik bagi 'abang-abang' untuk mengisi perut motor dan perut masing-masing. Bila dah sarapan... baru semangat dan bertenaga nak pulas pendikit. Antara 'rider' paling menarik perhatian ialah Cikgu Mahadzhir yang datang dari Pulau Pinang. Dia menunggang model Classic 500 yang berwarna hijau sambil mengenakan pakaian ala tentera lengkap dengan topi keledar juga berwarna hijau. Dari jauh nampak seperti askar World War II!
Konvoi masuk ke negeri Johor melalui Tangkak untuk melawat Galeri Darurat Bukit Kepong yang terletak bersebelah dengan Sungai Muar atau kira-kira 60 kilometer dari bandar Muar. Galeri ini didirikan di lokasi yang sama terjadinya serangan pihak pengganas komunis pada tanggal 23 Februari 1950. Dalam peristiwa itu, dianggarkan 180 orang tentera komunis telah mengepung, membakar balai polis dan membunuh seramai 25 orang yang terdiri dari anggota polis dan pasukan keselamatan.
Galeri setinggi tiga tingkat ini mempamerkan pelbagai barangan dan artifak bersejarah seperti pakaian seragam, pelbagai jenis senjata api, senjata tajam seperti pedang dan pisau, kenderaan kegunaan polis, replika balai polis, replika penempatan komunis, jerangkap samar, alatan memasak dan pelbagai maklumat berharga tentang sejarah negara. Galeri Darurat Bukit Kepong dibuka pada setiap hari Selasa hingga Ahad dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Hari makin panas, konvoi berhenti makan tengahari di sebuah restoran Mee Bandung Udang yang juga terletak di daerah Bukit Kepong. Memang terangkat beb! Ada juga yang 'pekena nasi goreng' dan mee goreng... janji kenyang. Lebih kurang sejam kemudian, Bro Muru pun bersuara, “Okay... On the bike!” Perjalanan pun disambung semula menuju ke Paloh yang sejauh 92 kilometer atau sejam perjalanan.
Menyusuri jalan-jalan 'dalam' merentasi kawasan Felda, kampung-kampung dan pekan-pekan kecil memang cukup seronok. Ia cantik, lebih segar, tidak panas, banyak selekoh dan tidak membosankan. Sepanjang perjalanan itu (Bukit Kepong – Paloh), kami dapati keadaan jalan cukup baik dan harus sentiasa dipantau agar tidak berlubang dan berbahaya.
Kepada pihak berwajib, ramai di kalangan pengembara motosikal lebih suka menggunakan laluan luar bandar berbanding di lebuhraya. Dengan menggunakan laluan ini, para rider dapat melihat suasana, budaya, makanan dan bertemu dengan masyarakat setempat dengan lebih dekat. Secara tidak langsung, ekonomi masyarakat setempat juga akan bertambah baik khususnya di lokasi-lokasi strategik seperti di muzium, kawasan riadah, sungai dan taman-taman tasik.
Tubuh badan yang 'panas' kembali segar apabila Bro Muru membawa konvoi ke sebuah gerai cendol di Paloh. Ada yang order A.B.C tetapi ramai pula yang teringin nak rasa cendol durian. Sambil 'dok' hirup cendol tu, dihidangkan pula dengan cempedak dan pisang goreng – siap dengan sambal kicap pedas lagi! Memang sedap sungguh! Terima kasih Bro Muru belanja!
Hari dah semakin lewat. Memandangkan tempat yang dituju masih jauh, para peserta segera kembali ke jentera masing-masing tapi ada juga yang sempat berselfie sekali dua!
Syukur! Selepas hampir sembilan jam di atas jalan, konvoi tiba di Mersing lebih kurang pada jam 6.00 petang.
Hembusan angin laut menyegarkan tubuh badan yang sudah mula keletihan. Masing-masing ke bilik untuk berehat dan membersihkan diri. Pada jam 8.30 malam, peserta kembali ke atas motosikal untuk menikmati makan malam di sebuah restoran berdekatan. Sambil menikmati juadah yang terhidang, macam-macam tajuk telah dibualkan dan dua topik paling rancak ialah tentulah perihal perjalanan konvoi hari pertama dan politik semasa.
Hari Kedua bermula lebih santai. Selepas sarapan, semua peserta memberikan senyuman manis di sesi fotografi sebelum perjalanan dimulakan. Bro Kumar panaskan enjin motornya... lepas tu dia pula berjalan-jalan di kawasan sekitar. Tuan punya motor pun kena 'warm up' katanya! Cayalah bang!
Pemandangan di Mersing memang cantik. Ia adalah sebuah daerah yang memiliki pulau-pulau cantik di persekitarannya seperti Pulau Rawa, Pulau Sibu, Pulau Tioman, Pulau Tengah, Pulau Besar, Pulau Mensirip dan banyak lagi. Selain itu, Mersing juga dikenali dengan pantainya yang bersih dan menarik.
Konvoi kemudiannya menyeberangi Sungai Johor menggunakan Jambatan Sungai Johor. Dengan ukuran sepanjang 4 kilometer, jambatan yang menghubungkan daerah Kota Tinggi dan Johor Bahru ini merupakan antara jambatan sungai terpanjang di Malaysia. Tidak lama kemudian, konvoi tiba di Kampung Kong Kong, Pasir Gudang dan terus menaiki bot ke Kong Kong Chalet Terapung untuk makan tengahari. Nasib baik Bro Halim dah tolong order awal-awal, dia juga yang belanja! 'Thank you'.
Best juga di chalet terapung ni... ruang makannya luas dan berangin. Bilik penginapannya juga ada pelbagai unit dan saiz. Antara aktiviti yang ditawarkan buat para pengunjung ialah memancing ikan, trip pusing pulau, menaiki rakit, mandi kolam (sesuai untuk kanak-kanak), jet ski dan set bbq. Para peserta kembali menaiki bot untuk ke seberang dan menyambung perjalanan ke Jalan Stulang Laut, Johor Bahru untuk berehat serta bergambar kenangan. Dato' M. Syahrul terus memimpin dengan tenang meninggalkan kawasan bandar yang semakin sibuk untuk cepat-cepat ke lebuhraya.
Perjalanan pulang berjalan dengan lancar dan lebih santai. Para peserta tidak lagi terikat dengan jadual perjalanan dan bebas untuk berhenti serta bermalam di mana-mana lokasi yang mereka kehendaki. Sebelum pulang ke destinasi masing-masing, konvoi berhenti di R&R Pagoh dan R&R Seremban untuk mengisi petrol dan meregangkan otot-otot.
Tahniah buat semua peserta terutamanya Sis Lata yang membonceng bersama suaminya Bro Kumar sepanjang perjalanan. “Memang selalu ikut abang berkonvoi tetapi inilah pengembaraan paling jauh. Memang seronok dan selesa sekali,” katanya.
Tiada yang lebih sempurna apabila segala pengalaman dapat dikongsi bersama insan tersayang dan rakan-rakan yang dihormati. Tiada langsung sempadan bangsa dan agama, yang ada hanya satu.... cinta pada RE! RR
Popular