GIVISTA Community Ride Ke Cameron Highlands
Pengeluar barangan aksesori motosikal terkemuka di dunia, GIVI Asia Sdn Bhd telah mengadakan satu acara konvoi pada hujung Februari lalu. Pengembaraan ini disertai lebih daripada 50 orang peserta dari seluruh semenanjung Malaysia. Konvoi ini merupakan aktiviti pertama untuk tahun 2020 buat GIVISTA Community. GIVI telah memilih Cameron Highlands sebagai destinasi untuk dituju.
“Acara konvoi ini dianjurkan selama dua hari bagi menghargai para pelanggan yang sentiasa menyokong produk kami. Selain itu, kami juga ingin ucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta yang datang dari jauh mahupun dekat tidak melepaskan peluang untuk menyertainya.” kata Pengurus Pemasaran GIVI Asia Sdn Bhd, En. Sam Sharman.
Para peserta mula berkumpul seawal jam 9.00 pagi. Pelbagai jenama motosikal antaranya Yamaha, Honda, Kawasaki dan Ducati yang hampir semua jentera dilengkapi dengan kotak barangan GIVI. Kakitangan GIVI mengendalikan proses pendaftaran yang merupakan agenda pertama dan disusuli dengan sesi taklimat. Peserta diberikan pelekat nombor untuk memudahkan marshal mengawal pergerakan konvoi. Terdapat dua orang marshal yang menjaga sepanjang perjalanan iaitu Tun Muhammad Shahir yang menunggang Honda Gold Wing dan En. Khairil dari Desmo Owners Club menunggang jentera Ducati Multistrada 1200 Enduro. Menariknya, konvoi ini turut disertai oleh seorang pengembara yang kini mengelilingi dunia iaitu Bert Boute dari Belgium.
Selesai sahaja sesi taklimat, peserta konvoi dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu motosikal berkapasiti 200cc ke atas manakala satu lagi jentera 200cc ke bawah. Pada jam 11.00 pagi, konvoi yang bermula dari R&R Rawang utara memulakan perjalanan dengan menggunakan Lebuhraya PLUS. Konvoi berhenti sebentar untuk berehat di hentian sebelah Tanjung Malim.
Selepas menempuh perjalanan sejauh 109 kilometer dari tempat perlepasan, tahap bahan api pada jentera masing-masing sudah berkurangan, ada yang setengah dan ada yang di paras merah. Konvoi berhenti di perhentian Tapah untuk mengisi petrol dan juga berehat. Setelah kembali segar dan bertenaga, perjalanan diteruskan semula. Walaupun cuaca yang panas terik dengan catatan 36oC, perjalanan sememangnya cukup menghiburkan kerana masing-masing teruja dapat berkonvoi beramai-ramai. Ianya juga merupakan masa untuk bertemu dengan para sahabat lama dan kenalan baru.
Setelah 35 minit perjalanan dari perhentian Tapah barulah konvoi tiba di Simpang Pulai untuk makan tengah hari di Restoran Tasik Raban. Restoran ini menawarkan makanan ala kampung yang cukup enak. Pelbagai jenis lauk, sayur dan macam-macam lagi. Memang puas hati dan harganya pun sangat berpatutan. Restoran ini terletak di Simpang Pulai, Ipoh yang dibuka setiap hari pada jam 10.30 pagi hingga 4.30 petang.
Sebaik selesai makan, konvoi ke stesen minyak berdekatan untuk mengisi bahan api sebelum naik ke Cameron. Jam menunjukkan hampir pukul 3.00 petang, perjalanan diteruskan semula ke perhentian berikutnya. Laluan di Simpang Pulai – Cameron Highlands cukup mencabar. Cuaca semakin lama semakin dingin apabila konvoi menghampiri tanah tinggi. Selepas mengharungi pelbagai jenis selekoh selama 40 minit, konvoi tiba di Route 185 Cameron Highlands untuk bergambar kenangan. Sungguh tenang apabila melihat pemandangan bukit bukau yang cukup indah ditambah pula dengan cuaca sejuk.
Kedatangan kami di Dear Dino Villa telah disambut oleh pihak villa dengan menyediakan buah strawberi segar buat para peserta. Dicicah pula dengan coklat sambil menghirup udara segar tanah tinggi. Memang syok! Terdapat dua pilihan untuk peserta berehat, sama ada ingin tinggal di villa ataupun di khemah. Jika ingin merasai suasana seperti bercamping, khemah la pilihannya.
Kami mula menikmati hidangan makan malam pada jam 6.00 petang. Suasana dimeriahkan lagi dengan aktiviti memasak bbq oleh krew GIVI sendiri. Selepas makan malam, bermulalah sesi berkongsi pengalaman dari pengembara solo iaitu Bert Boute. Beliau merupakan seorang rider yang telah menggembara bersama Honda Transalp 600 miliknya dari Belgium ke Himalaya. Bert telah melalui 25 buah negara mencatat lebih dari 30,000 kilometer bersama jenteranya. Selepas Malaysia beliau meneruskan perjalanannya ke Australia dan akan ke Amerika Selatan dan Utara.
Keesokannya, selepas bersarapan, konvoi bertolak pulang lebih awal untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Tidak semua peserta yang turun bersama-sama konvoi. Ada yang ingin tinggal dan bersiar-siar sebelum pulang. Kami tiba di stesen Petronas Simpang Pulai untuk mengisi petrol. R&R Tapah merupakan hentian terakhir kami dan peserta konvoi berpisah selepas menamatkan perjalanan hampir 500 kilometer. Kami pulang ke kediaman masing-masing dengan selamat.
“Memang seronok! Ini merupakan ride pertama saya bersama GIVISTA. Selain penganjur yang baik, pemilihan lokasinya juga amat sesuai. Walaupun ini merupakan perjalanan yang singkat tetapi saya amat berpuas hati dapat menyertai konvoi ini,” kata En Azuan yang menunggang Honda RS150R.
“Sepanjang dua hari penganjuran saya dapat berkenalan dengan beberapa kenalan baru. Sudah tiga kali saya ikuti ride bersama GIVISTA dengan menunggang Pulsar NS200. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk berkongsi cerita berkenaan pengalaman masing-masing,” kata En. Mohd Shahrizan.
Penganjuran ini menampakkan kejayaan GIVI sebagai penganjur yang mampu memberikan layanan, kegembiraan dan kepuasan buat pelanggannya. Syabas dan tahniah diucapkan. RR
Popular