Latihan Menunggang Lasak Bersama Triumph
Triumph Malaysia telah menganjurkan sesi Latihan Menunggang Lasak (Offroad Training) pada awal Julai lalu bertempat di Eco Venture Resort & Recreation yang terletak di Semenyih, Selangor. Penganjuran ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para peserta tentang pengendalian yang terbaik sewaktu berada atau menunggang di kawasan-kawasan lasak.
Kira-kira 10 peserta yang terdiri daripada para pemilik jentera Triumph hadir untuk menimba ilmu daripada pakar jentera lasak dan juga pengembara global iaitu Sdr Faizal Shukree. Sesi latihan intensif ini turut dimeriahkan dengan kehadiran Eksekutif Penjenamaan Triumph, Sdr Rafique Muzhaffar.
Untuk menyempurnakan keseluruhan latihan, para peserta telah melalui pelbagai jenis cabaran yang bermula dengan perkongsian teori dan set-up motosikal masing-masing. Selepas itu, Sdr Faizal memulakan latihan tersebut dengan memberi tunjuk ajar tentang posisi menunggang diikuti dengan cara-cara mengawal pendikit dan klac dengan betul. Menurut Sdr Faizal, posisi penunggang di laluan offroad sememangnya amat berlainan berbanding menunggang di jalan normal. Oleh itu, untuk mengubah kelaziman itu adalah tugasan yang sukar dan memerlukan masa untuk mahir.
Sesi latihan yang dijalankan merangkumi beberapa exercise seperti teori, talaan jentera, posisi badan, kawalan pendikit & klac, keseimbangan badan, cara membrek dengan betul, cara berhenti di laluan curam, cara pengendalian & mengambil selekoh di laluan offroad dan teknik merentasi sungai.
Info: Eco Venture Resort & Recreation adalah sebuah taman rekreasi berluas 20 ekar, terletak di Lot No.PT 1351, Jalan Sungai Lalang Semenyih,, 43500 Semenyih, Selangor. Tel: 03-79879600 atau 0176736358. Tempat ini menawarkan pelbagai kemudahan dan aktiviti yang berkonsepkan alam semulajadi. Keunikan tempat ini ialah bilik penginapannya yang berbagai jenis seperti kontena, tiub, villa dan lain-lain. RR
Popular