Program Yamaha Cares Sempena Hari Wanita Sedunia
Ahad 8 Mac 2020, tidaklah seperti hari-hari minggu yang biasa. Tarikh tersebut merupakan Hari Wanita Sedunia dan disambut oleh segenap lapisan masyarakat di seluruh dunia dan kali ini ianya jatuh pada hari minggu. Maka banyak perancangan awal program meraikannya disusun-selia.
Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) di bawah program Yamaha Cares tidak melepaskan peluang di hari yang penuh bermakna ini dengan meraikan peminat setia mereka menerusi satu acara yang disusun rapi dan pada masa yang sama melancarkan #yamahagirlpower. Pelancaran tersebut bagi menunjukkan bahawa wanita juga seiring dan membawa peranan penting ke arah pembangunan industri permotoran negara dengan penglibatan mereka sebagai Lady Bikers dalam komuniti kelab dan memberi kesinambungan jantina dalam aktiviti berunsurkan riadah di alam permotoran dan masyarakat umumnya.
Program “Konvoi Wanita Yamaha Cares ke Pusat Jagaan Anak Yatim dan Miskin Sri Kundang” telah dirancang HLYM dan dibantu oleh pengedar-pengedar bagi menjayakan aktiviti ini di Selangor. Tidak hanya di sini malah program-program seumpama ini turut dijalankan serentak di empat kawasan terpilih iaitu Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sarawak. Jumlah penyertaan keseluruhan seramai 500 orang.
Di Sri Kundang, penyertaan seramai 180 orang peserta terdiri daripada ahli kelab QRM (Queen Riders Malaysia) dengan slogan mereka “Rock & Ride Santai,” Kelab #R25 Malaysia “Ride with Love” beserta peserta individu menggamatkan program tersebut. Havoc berswafoto. Al-maklumlah.. 'gegirl' le katakan…
Di Kompleks HLYM jam 8:30 pagi bermula dengan pendaftaran peserta, agihan cenderahati dan sarapan. Cik Nurul selaku MC, bijak mengendalikan majlis sebaik mungkin. Kehadiran para pegawai tertinggi seperti Pengurus Besar HLYM, En. Hoo Wan Tim, Ms Lim Siew Chin (Ketua META & CSR) dan Pengarah HLYM, En. Shinsuke Yamaura turut memeriahkan suasana.
Sdr. Jalaludin Hj. Kadri dari HLYM dilantik sebagai Ketua Marshal memberi taklimat keselamatan dan perjalanan konvoi disusuli saudara Amirul yang digelar “Ustaz Amirul” oleh rakan-rakan sekerja, mengetuai bacaan doa bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan daripadaNya.
Jam 10.00 pagi, konvoi berlepas dengan iringan para pegawai polis trafik dari IPD Sg. Buloh menyusuri jalan dan melewati lebuhraya PLUS dan Latar. Sekitar 40 minit kemudian, konvoi selamat tiba ke Pusat Jagaan Anak Yatim & Miskin Sri Kundang.
Ditubuhkan lebih 10 tahun sebelum berpindah ke Sri Kundang pada 2016 dengan jumlah anak asuhan seramai 24 orang pelajar lelaki dan 20 pelajar perempuan yang ada kini. Pengasasnya Sdr Nor Azmi, Mohd Sakeri dan rakan memulakan pusat ini. Dikelolakan oleh Ustaz Rashid dan dibantu oleh 7 orang terdiri daripada warden, penyelia dan tukang masak.
Kategori anak asuhan merupakan anak yatim dan asnaf. Perbelanjaan bulanan pusat ini adalah sebanyak RM16,000 termasuk makanan, utiliti dan perbelanjaan untuk sekolah rendah, menengah dan juga kolej. Kelas Fardhu Ain dan pengajian diadakan di sebelah petang manakala di sebelah malam bagi pengisian masa.
Ketibaan konvoi dialu-alukan oleh pihak pusat jagaan dengan penuh semangat. Begitu jua dengan anak-anak asuhan, perasaan gembira dan teruja tatkala melihat ramainya pengunjung menziarahi mereka. Majlis membuka tirai dengan kata-kata aluan daripada pihak pusat jagaan dan juga dari wakil HLYM. Penyerahan sumbangan seperti penghawa dingin, projektor, papan putih, beg-beg Yamaha Sling dan saguhati daripada HLYM serta pengedar memeriahkan lagi suasana program.
Disamping itu juga, anak-anak turut diberi peluang menaiki motosikal berkuasa tinggi dan mencuba menunggang mini motor yang disediakan oleh marshal bertugas adalah antara program dijalankan.
Bagi pihak pusat jagaan, mereka tidak terlepas peluang juga mempamerkan dan menjual produk seperti biskut dan Kek Batik Sarawak. Semasa program berjalan, makan tengahari turut dihidangkan buat semua tetamu dan tuan rumah. Lazat dan menyelerakan.
Acara telah selesai dijalankan dengan sempurna sekitar tengahari. Tahniah buat HLYM, para pengedar dan peserta yang turut menjayakan acara dengan begitu baik sekali. Diharap program-program seumpama ini dapat diteruskan oleh Yamaha Cares. Selamat Hari Wanita Sedunia - #yamahagirlpower. RR
Popular