Pameran Motosikal Antarabangsa Intermot 2018
Pameran motosikal tersohor dunia, Intermot telah berlangsung dengan jayanya pada 3-7hb Oktober lalu dengan lebih 1,000 penyertaan daripada pelbagai syarikat dan jenama terdiri daripada pengeluar motosikal, aksesori dan jentera elektrik (E-Bike). Kehadiran para rakan niaga, pelanggan dan pencinta dunia dua roda ini yang sanggup ‘terbang’ dari lebih 40 buah negara membuktikan industri motosikal terus menjadi platform penting untuk mengenengahkan idea dan kemampuan masing-masing bagi memberi saingan.
Intermot telah dijalankan di lima dewan pameran yang berkeluasan kira-kira 100,000 meter persegi. Antara nama-nama besar yang tidak melepaskan peluang untuk terus bekerjasama dengan Intermot ialah Yamaha, Honda, Kawasaki, Suzuki, BMW Motorrad, Ducati, Royal Enfield, Horex, Harley Davidson, Kymco, KTM, Kumpulan Piaggio (Aprilia, Moto Guzzi dan Vespa), Triumph dan banyak lagi. Kemeriahan Intermot ditambah lagi dengan kehadiran jenama motosikal elektrik seperti Energia, Zero Motorcycle dan Kumpan (skuter elektrik).
Tidak ketinggalan juga ruang Garaj yang sememangnya disediakan khas buat jentera-jentera yang telah diubahsuai. Di sini kita boleh melihat daya kreativiti dan keunikan sesebuah syarikat dan orang persendirian dalam menghasilkan sesuatu yang lain daripada yang lain. Selain BMW Motorrad, Yamaha, Harley Davidson dan Kawasaki, tahun ini menampilkan Suzuki dan Indian yang turut mendaftarkan diri untuk segmen jentera kustom.
Sudah pasti highlight untuk segmen pengubahsuaian di Intermot ialah AMD Championship of Custom Bike Building, pertandingan jentera kustom yang hanya diadakan di Intermot setiap dua tahun sekali. Untuk membuat kelainan, tahun ini ditunjukkan sebuah jentera mantap iaitu Ducati Scrambler 1100 yang diubahsuai dan dikustomkan secara langsung sepanjang lima hari penganjuran.
Antara tempat kegemaran ramai tentu di Boulevard of Touring yang menempatkan jentera-jentera pengembaraan terkini dan hebat. Para pengunjung dibenarkan untuk duduk dan bergaya di atas jentera-jentera di sana. Ia sememangnya satu pengalaman yang cukup manis buat sesiapa sahaja yang datang ke Intermot.
Bagi pencinta dunia motosikal lasak, pertunjukan hebat jentera MX di 'Night of the Jumps' adalah suatu yang tidak mungkin dapat dilepaskan. Aksi-aksi terbang, double flip dan lain-lain yang telah dilakukan oleh para penunggang jentera MX sememangnya cukup istimewa dan hebat. Menerusi segmen Connected Motorcycle World, ia adalah platform penting buat para pengeluar dan pengguna motosikal untuk mengenal pasti teknologi yang sedang dibangunkan untuk memudahkan interaksi dan komunikasi di antara penunggang dengan motosikal, penunggang dengan orang lain dan penunggang dengan alam sekitarnya.
Sebagai jenama yang terus cemerlang dengan pengenalan kepada model-model yang segar, YAMAHA tidak melepaskan peluang untuk memberi sokongan penuh pada penganjuran Intermot 2018. Yamaha telah melancarkan tiga model terbaru iaitu YZF R125, MT-03 dan MT-10. Model R125 baru didatangkan dengan enjn bersesaran 124.7cc dengan kuasa maksimum 14.75bhp dan direka berasaskan model YZR-M1 MotoGP. Selain itu, R125 dilengkapkan dengan meter LCD serba baru, casis Deltabox, lengan ayun aluminium baru dan tayar-tayar lebih besar.
Model MT-10 juga diberikan sentuhan baru dari segi warna (Ice Fluo & Matte Raven Black), casis lebih ringan, hantaran tork lebih linear dan sistem elektronik canggih. Turut menanti para penggemar dunia pengembaraan ialah model MT-10 Edisi Tourer yang diberi beberapa penambahan seperti kotak barang sisi yang ringan, sistem GPS, cermin pengadang udara lebih tinggi, pelindung tangan dan sistem elektronik terkini (A&S Clutch Quick Shifter System).
SUZUKI membuat kejutan dengan memperkenalkan model sensasi, Suzuki Katana 2019. Model lagenda ini mula diperkenalkan pada tahun 1981 dan dengan sekelip mata ia mencairkan jiwa para peminat dua roda. Impak terhadap Katana kekal dari dulu hingga ke hari ini. Hakikatnya Suzuki tidak pernah ketepikan model lagenda ini dan selepas 37 tahun, penantian kita telah berakhir.
Katana baru ini menawarkan rekabentuk sporty yang direka untuk prestasi unggul di jalanan biasa, lebuhraya dan di laluan berliku. Pada masa yang sama, Katana baru ini mempunyai pengendalian yang mudah dan posisi menunggang cukup selesa. Ia juga dikemaskan dengan lampu utama, lampu posisi dan lampu belakang LED yang terang dan jelas. Pelana dua ton warna menjadikannya lebih anggun dan eksklusif. Paparan info yang berwarna dan moden dapat dilihat menerusi meter digital serba baru yang direka dengan baik.
Enjin model baru ini direka berasaskan model GSX-R1000 dengan sesaran 999cc, sistem penyejuk cecair yang menjanakan kuasa maksimum 110kW pada 10,000rpm dan tork 108Nm pada 9,500rpm. Katana dilengkapi dengan beberapa ciri-ciri keselamatan seperti sistem ABS, Low RPM Assist System, Traction Control tiga tahap dan Suzuki Easy Start System. Buat masa ini, Katana 2019 didatangkan dengan warna Metallic Mystic Silver.
Suzuki turut melancarkan model lasak, RM-Z250 yang kini dengan rekabentuk baru, enjin lebih mantap (5% lebih tinggi daripada model terdahulu), pelana lebih mantap, brek hadapan lebih besar, kerangka serta lengan ayun baru dan sistem elektronik yang lebih moden. Antara pembaharuan bahagian enjin yang menanti pemiliknya kelak ialah pembangunan terkini Suzuki Holeshot Assist Control (S-HAC) yang membantu pecutan awal dapat dilakukan dengan lebih tepat.
Model sport, GSX-R1000 diperhalusi dengan warna baru, rekabentuk grafik terkini lebih segar manakala warna sistem ekzosnya juga ditukar dari kelabu kepada hitam. Model ini menggunakan enjin berisipadu 999.8cc, sistem penyejuk cecair, empat lejang dan antara mesin GSX-R paling cemerlang pernah dihasilkan.
BMW MOTORRAD telah melancarkan dua buah model terbaru iaitu R 1250 GS dan R 1250 RT. Kedua-dua model ini menggunakan enjin boxer dengan BMW Shiftcam Technology untuk kuasa lebih mantap, mengurangkan emisi dan penjimatan bahan api. Kedua-dua model ini didatangkan dengan dua mod tunggangan (Road dan Rain), Automatic Stability Control (ASC), Riding Modes Pro, Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro, Hill Start Control Pro, sistem saspensi elektronik Dynamic dan yang terbaru ialah Dynamic Brake Assistant (DBC).
BMW R 1250 GS disempurnakan dengan lampu hadapan LED manakala penggunaan LED pada lampu Daytime Riding Light (DRL) adalah sebahagian daripada aksesori pilihan bagi kedua-dua model R 1250 GS dan R 1250 RT. DRL asal menggunakan lampu halogen. Model GS baru kini dilengkapi dengan meter TFT warna-penuh bersaiz 6.5 inci manakala meter TFT untuk model RT bersaiz 5.7 inci. Untuk model GS, terdapat dua jenis pelana yang berlainan saiz tinggi iaitu 800mm dan 900mm (pelana Rallye dan saspensi jenis sport).
Dari segi spesifikasi enjin pula, R 1250 GS dan R 1250 RT masing-masing dilengkapi dengan enjin empat lejang, sistem penyejuk udara/cecair yang menjanakan kuasa setinggi 136hp pada 7,750rpm dan tork 143Nm pada 6,250 rpm dengan isipadu enjin 1,254cc berbanding model terdahulu yang hanya 1,170cc. Untuk model GS, ia dikawal oleh sepasang brek cakera hadapan bersaiz 305mm manakala brek pada model RT pula besar sedikit iaitu 320mm. Berat kering untuk model GS ialah 249kg manakala di RT pula seberat 279kg.
KAWASAKI memperkenalkan sekurang-kurangnya tiga model terbaru iaitu H2/H2 Carbon, Ninja125 dan Z125 manakala sedikit pembaharuan dilakukan pada model ZX10R. Jom kita lihat dengan lebih dekat!
Dari segi kuasanya, H2/H2 Carbon 2019 mempunyai hamburan kuasa yang kini meningkat sebanyak 30bhp tetapi... corak hantaran kuasa model baru ini tidak lagi menakutkan seperti model generasi pertama sebaliknya memiliki sifat-sifat cukup linear seperti versi SX. Model 2019 turut dilengkapi dengan meter TFT (juga diambil dari model SX) tetapi dipertingkatkan dengan sistem connectivity menerusi aplikasi Kawasaki Rideology terkini. H2 dan H2 Carbon 2019 juga didatangkan dengan brek Brembo Stylema sepertimana yang dimiliki oleh Ducati Panigale V4 – lebih ringan dan lebih tegar.
Ini pastinya saat yang menggembirakan buat para peminat motosikal berkuasa kecil, 125cc. Selepas ketiadaan selama 25 tahun, Kawasaki dengan rasmi menambah lagi koleksi jenteranya dengan pelancaran Z125 (model jalanan) dan Ninja125 (model berfairing). Z125 dan Ninja125 direka berasaskan model bersesaran tinggi Kawasaki seperti ZX-10R dan ZX-6R. Rekabentuk Z125 memang cukup garang dengan barisan lampu-lampu LED dengan kerangka jenis trellis sepertimana yang digunakan oleh model H2. Pelananya cuma setinggi 815mm dan ia adalah sebuah jentera yang ramping – amat sesuai untuk tunggangan bandar.
Sekali tengok model Ninja 125, kita sudah dapat mengagak ia adalah adik bongsu kepada jentera juara, ZX-10R. Dengan ketinggian pelana 785mm dan posisi menunggang yang sporty, Ninja 125 pastinya pilihan mereka yang ingin menikmati perjalanan yang lebih mantap dan agresif. Ninja 125 berkuasa 14.75bhp pada 10,000rpm dan tork 11.7Nm pada 7,700rpm. Z125 dan Ninja 125 kedua-duanya didatangkan dengan tangki sebesar 11 liter yang cukup ideal dan menjimatkan.
DUCATI terus mempertingkatkan prestasi model-model Joyvolution mereka dengan pelancaran tiga model terbaru dalam keluarga Scrambler iaitu Full Throttle, Cafe Racer dan Desert Sled. Ternyata model Scrambler Ducati telah menambat hati para pencinta motosikal dengan penghantaran lebih daripada 50,000 unit ke seluruh dunia.
Model Full Throttle berinspirasi model Scrambler trek rata yang ditunggangi oleh pelumba California, Frankie Garcia dalam kejuaraan Super Hooligan Amerika 2018. Tangkinya direkacorak dua tona warna kuning-hitam di atas tangki, pelana dan kerangka juga berwarna hitam. Dengan posisi menunggang yang selesa, Scrambler menawarkan jentera yang sempurna untuk tunggangan harian mahupun ke laluan lasak.
Model ini pula direka seperti model lagenda tahun 1960an yang ketika ini disasarkan untuk para peminat motosikal yang inginkan revolusi semangat kebebasan dan tunggangan penuh gaya. Untuk terus mengekalkan identitinya, Scrambler Cafe Race terbaru ini dimantapkan dengan rim bersaiz 17 inci yang disepadankan dengan tayar Pirelli Diablo Rossi III bersaiz 120/70 ZR17 di depan dan 180/55 ZR17 di belakang. Memang teruja melihat jentera ini lebih-lebih lagi dengan adanya sistem ekzos dari jenis dual tailpipe, tangki jenis teardrop, bar hendal aluminium, pemegang nombor pendaftaran dan fairing cafe racer.
Model ini sememangnya mendapat pujian kerana kemantapan beraksi di laluan-laluan yang sukar. Scrambler Desert Sled ternyata menghidupkan semula semangat dan impian jentera offroad yang mengekalkan gaya hidup hebat. Kali ini, ia dilengkapi dengan mod tunggangan offroad, sistem penyerap hentak Kayaba boleh laras yang meningkatkan erti keseronokan. Ia dilengkapkan dengan tayar Pirelli Scorpion Rally yang bersaiz 120/70 R19 di depan dan 170/60 R17 yang merupakan kombinasi terbaik untuk jalanan biasa dan lasak.
Kesemua model ini dilengkapi dengan enjin L-Kembar, bersesaran 803cc, brek-brek ABS, sistem klac hidraulik yang lembut, Ducati Multimedia System dan lampu-lampu LED. Enjin model-model ini berkuasa setinggi 73bhp pada 8,250rpm dan tork 67Nm pada 5,750rpm.
HARLEY DAVIDSON turut tidak ketinggalan memeriahkan 'pesta' pameran motosikal Intermot dengan memperkenalkan beberapa model baru seperti FXDR 114 dan Street Rod. Dengan pentas yang diubahsuai umpama gelanggang tinju, majlis pelancaran penuh gimik ini memang cukup mengujakan. FXDR 114 memiliki rekabentuk baru yang sememangnya segar – tidak lagi seperti model-model HD lama terutamanya pada rekabentuk enjin, sistem ekzos dan bahagian belakang.
FXDR 114 dikuasakan oleh enjin bersesaran 1,868cc dengan kekuatan tork 119ft-lb pada 3,500rpm. Model ini juga menjanjikan pecutan yang lancar dengan adanya Electronic Sequential Port Fuel Injection (ESPFI) manakala panel meter LCD 2.14 inci lengkap dengan info penting seperti tahap kelajuan, posisi gear, tahap bahan api, masa, trip, tahap rpm dan purata jarak perjalanan.
Street Rod pastinya sebuah jentera yang sesuai di jalanan biasa kerana memiliki sifat cukup ranggi seperti bar hendal gaya-drag, cermin sisi bar-end dan pastinya enjin v-kembar Revolusi-X 750cc yang cukup berkuasa. Enjin baru ini mempunyai kuasa tork 47ft-lb pada 4,000rpm dengan penjimatan bahan api sekitar 4.35 liter untuk setiap 100 kilometer. Untuk lebih responsif ketika tunggangan di dalam bandar, Street Rod dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik 43mm dan penyerap hendal piggyback yang berupaya menyerap segala hentakan dengan cemerlang.
Terdapat dua model utama serba baru yang diperkenalkan oleh SYM iaitu SYM-NH X 125 untuk segmen streetbike dan SYM-NH T 125 khusus buat penggemar jentera pengembaraan. Kedua-dua model ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal, 124cc yang mempunyai hantaran kuasa maksimum 10.2Ps pada 8,500rpm dan tork 9.5Nm pada 6,500rpm. Model jalanan dan pengembaraan dari SYM ini mempunyai tangki bahan api bersaiz 10.3 liter dan kedua-duanya menggunakan fork hadapan jenis teleskopik 36mm. Walaupun begitu, terdapat perbezaan yang ketara pada kedua-dua model ini seperti saiz brek, saiz tayar, tapak roda, tinggi dan panjang keseluruhan.
HONDA memilih untuk tidak melancarkan model terbaru 2019 di Intermot. Tetapi ruang pameran Honda yang dihiasi dengan model-model 2018 yang telah dipermantapkan dari segi warna dan aksesori, tetap menarik perhatian ramai pengunjung. Ada juga yang mengatakan model terbaru Honda akan dilancarkan sempena Tokyo Motor Show 2018 atau Pameran Motosikal Antarabangsa EICMA pada 6 November nanti.
Pengeluar tuan rumah, HOREX bakal melangkah ke tahun 2019 dengan sebuah model serba baru iaitu Horex VR6 Raw dan beberapa model yang dikemas kini. Model baru ini berwarna serba hitam (berkilat dan matte) dan dihasilkan lebih ringan dengan rim aluminium, lampu-lampu LED dan penyenyap ekzos serba baru penampilan lebih bergaya. VR6 Raw dilengkapi dengan enjin enam silinder, sistem penyejuk cecair, bersesaran 1,218cc yang berkuasa setinggi 120kW dan tork 128Nm. Untuk prestasi cemerlang, model ini telah dilengkapkan dengan brek jenis Brembo, penyerap hentak Ohlins dan pelana yang dibuat menggunakan Cover Microfibre Dinamica yang berkualiti tinggi.
Model-model lain yang telah dipermantapkan untuk 2019 ialah V6 Classic, VR6 Cafe Racer, VR6 Classic Heritage Line (HL) dan VR6 Cafe Racer Heritage Line (HL). Kesemua model tersebut menawarkan rekabentuk tersendiri yang eksklusif dengan hantaran kuasa yang menggiurkan. Antara ciri-ciri menarik yang dimilikinya ialah enjin dengan teknologi perlumbaan, sistem ABS baru, komponen saspensi dunia perlumbaan, kerangka bertegaran tinggi, panel meter TFT terkini dan banyak lagi.
Jentera pengembaraan berkuasa tinggi, itulah yang dilancarkan oleh KTM menerusi model 1290 Super Duke GT dan 1290 Super Duke R. Model GT disempurnakan dengan enjin 1,301cc yang berkuasa cukup hebat iaitu 175hp pada 9,750rpm dan tork 141Nm pada 7,000rpm. Antara keistimewaan model baru ini yang disediakan ialah Quickshifter, KTM Ride Mode, Traction Control, Motorcycle Stability Control, penyambungan dengan telefon pintar, sistem navigasi, cermin pengadang udara baru, lampu-lampu LED dan pemanas pendikit.
Model R pula memiliki pakej yang tidak kurang hebatnya. Enjin berkuasa 177hp pada 9,750rpm dan tork 141Nm pada 7,000rpm. Dengan kerangka jenis trellis, kestabilan dan pengendalian jentera ini di laluan lurus dan berliku tidak perlu dirisaukan lagi. Selari dengan peredaran masa, 1290 Super Duke R dilengkapi dengan cruise control, quickshifter, launch control, traction control, tiga mod tunggangan, sistem ABS dan banyak lagi.
Sebagai antara peneraju dunia skuter, Kwang Yang Motor Co. atau KYMCO telah melancarkan dua buah skuter terbaru iaitu Like 110 EV dan Nice 110 EV. Menerusi dua model ini, Kymco memperkenalkan bateri mudah alih yang cukup ringan dan boleh dicas semula di rumah atau pun di pejabat. Like 110 EV direka dalam bentuk retro seperti model-model skuter di Itali pada tahun 1970an lalu. Walaupun begitu, ia berkuasa 3kW yang menawarkan jarak perjalanan sejauh 60km dengan kelajuan maksimum 45km/j.
Model Nice 110 EV pula lebih sesuai untuk penunggang wanita atau si cilik kerana pelananya yang hanya setinggi 730mm. Model ini dilengkapi dengan tayar hadapan dan belakang yang bersaiz 80/90-10. Dikatakan kelajuan maksimumnya juga sekitar 45km/j dan hanya seberat 77kg.
Dua model terbaru dari MOTO GUZZI yang dilancarkan di Intermot ialah V9 Bobber Sport dan V85 TT. V9 Bobber Sport menawarkan rekabentuk retro, bertayar besar, pelana lebih rendah dan sistem ekzos hitam yang mantap. Jentera ini dikuasai oleh enjin 853cc dengan kekuatan 60bhp dan untuk menyaingi prestasinya, V9 Bobber Sport dilengkapi dengan sistem saspensi Ohlins yang cemerlang.
V85 TT pula merupakan model pengembaraan yang tawarkan prestasi enjin yang mantap dalam semua jenis perjalanan. Enjin bersesaran 850cc ini menawarkan kuasa maksimum setinggi 80hp yang sangat dikehendaki ketika menyusuri perjalanan yang sukar. Walaupun rupabentuk nampak retro, V85 TT ini masih mempunyai banyak teknologi seperti ABS, traction control, mod tunggangan (Road, Rain dan Offroad), panel meter TFT dan sistem bluetooth.
ROYAL ENFIELD menggamit kehadiran para pengunjung dengan susun atur ruang pameran yang kemas dan moden. Antara model-model yang digemari ialah Himalayan, Interceptor 650 dan Continental GT yang menawarkan bukan sahaja keselesaan tetapi juga gaya tahan yang benar-benar mengagumkan. Jentera-jentera Royal Enfield telah membuktikan keupayaannya dengan kejayaan membawa ramai pencinta motosikal mengembara ke seluruh dunia.
Pengeluar-pengeluar lain seperti Triumph, kumpulan Piaggio, Husqvarna dan lain-lain turut tidak melepaskan peluang memperkenalkan model terbaru masing-masing. Intermot ternyata terus memberi peluang dan platform yang masih relevan buat banyak syarikat untuk memperkenalkan kehebatan produk masing-masing ke persada dunia. RR
Teks & Foto: RR
Popular