Jelajah Kasih Merdeka 2018 Bersama JPJ Kedah & HUG
Buat pertama kalinya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah bergabung bersama HUG (Harley Utara Group) untuk menganjurkan konvoi Jelajah Kasih Merdeka 2018 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.
Mereka telah bersepakat untuk menjemput 21 orang penunggang motosikal dari JPJ Kedah dan 40 orang penunggang motosikal dari Harley Utara Group (HUG) yang diketuai oleh En. Azilan Musa, Timbalan Presiden HUG.
25 Ogos 2018: Selepas sarapan pagi, kesemua rider berkumpul di Pejabat JPJ Alor Setar pada jam 9.00 pagi. Lebih kurang jam 10.00 pagi, YB Dr. Robert Ling Kui Ee iaitu ADUN Sidam Jawatan Kuasa Tetap Pengangkutan Negeri Kedah melepaskan para peserta konvoi dengan penuh bangga dan tertib sekali. Lebih bermakna, konvoi diketuai oleh Tuan Isma Suhaimi sendiri dengan menunggang motosikal BMW GSA1200.
Konvoi bergerak menuju ke Baling dengan melalui jalan bandaran ke Kuala Nerang dan disambut oleh Baling Bikers Club. Mereka berhenti untuk makan tengahari di bandar Sik dan selamat sampai di Maahad Tahfiz dan Pengajian Islam Darul Hijrah di Kampong Tandop lebih kurang jam 2.30 petang.
Acara penyerahan sumbangan dari Jabatan Zakat Negeri Kedah kepada 10 keluarga asnaf yang berdekatan dan anak-anak Maahad Tahfiz. Selepas majlis selamat disempurnakan, konvoi menuju ke Kampung Dusun Raja di Mukim Bongor untuk meraikan majlis perkahwinan di antara LKpl Noor Amira Bt. Musa bersama pasangannya LKpl Mohd Amirul Asyraf Bin Bahanudin, seorang biker yang menunggang sebuah Yamaha RXZ.
Setelah itu tayar bergolek semula, kali ini ke Ahsana Homestay dan Chalet Pusat Rekreasi Air Panas, Ulu Legong. Selepas semuanya dapat berehat dan membersihkan diri, para peserta meneruskan aktiviti ke stadium Baling untuk acara perlawanan persahabatan bolasepak antara JPJ dan Majlis Daerah Baling.
26 Ogos 2018: Selepas menikmati sarapan pagi yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Baling, konvoi bersiap sedia untuk bergerak ke JPJ Sungai Petani. Dalam perjalanan ke sana, konvoi berhenti di Stesen Penguatkuasa Kecil Kuala Ketil dan disambut oleh Ketua Stesen, Tuan Syahril Bin Kasim.
Peserta konvoi bersama pegawai-pegawai dan anggota Penguatkuasa Kecil JPJ bersama-sama menyerahkan bendera Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya. Selesai acara di Kuala Ketil, perjalanan disambung menuju ke JPJ Sungai Petani untuk tujuan yang sama. Adalah satu kebanggaan mengibarkan Jalur Gemilang beramai-ramai tanpa mengira agama dan bangsa... sesuai dengan tema tahun ini iaitu Sayangi Malaysiaku.
Lebih kurang jam 3.30 petang, para peserta bersiap sedia untuk bergerak dari Sungai Petani melalui laluan luar bandar menuju ke Merbok, Yan, Kubang Rotan dan Kuala Kedah. Syukur pada yang Maha Esa, konvoi Jelajah Kasih Kemerdekaan 2018 sampai dengan selamat di Kelab House HUG. Majlis ditamatkan dengan acara penyerahan sijil dan cenderahati buat para peserta konvoi.
Sememangnya perpaduan dan kecintaan kita sebagai warga Malaysia dapat diperkukuhkan menerusi penganjuran sebegini. Ia amat penting agar semangat setia kawan tanpa sempadan bangsa dan agama yang sedia ada di antara para bikers ini diperturunkan kepada generasi akan datang. RR
Popular