Warisan Husqvarna Terus Dipelihara di Muzium
Kehadiran model Svartpilen dan Vitpilen di dalam segmen jentera jalanan adalah satu 'kepulangan' motosikal berjenama Husqvarna yang sangat di tunggu-tunggu. Husqvarna dimiliki oleh KTM dan dengan kerjasama di antara Bajaj-KTM, kedua-dua model tersebut kini bersedia untuk mewarnai pasaran dunia dengan menawarkan pelbagai keistimewaan untuk kepuasan para pemiliknya. Ini juga merupakan 'peringatan' buat para peminat motosikal bahawa pengeluar dari Sweden itu sememangnya mempunyai pengalaman luas dalam merekacipta jentera jalanan biasa sebelum mereka menjadi lagenda pengeluar motosikal lasak hingga ke saat ini.
Apa pun, Husqvarna bukan sahaja sebuah syarikat yang menjual motosikal semata-mata tetapi juga cukup mahir dalam pengeluaran produk lain seperti gergaji, traktor taman, pemotong rumput dan banyak lagi. Ibu pejabat Husqvarna terletak kira-kira 320km arah barat daya dari Stockholm di negara Sweden iaitu di bandar Huskvarna – begitulah ejaan sebenar bandar ini yang bererti 'Rumah Di Tepi Kilang'. Kilang yang terletak berdekatan dengan Jönköping ini diasaskan oleh King Gustav II Adolf pada tahun 1620 dan asalnya ia adalah tempat pembuatan senapang musket.
Pada tahun 1867 pula, terdapat sebuah syarikat persendirian yang telah membina kilang di tepian Tasik Vattern dan bersebelahan dengan air terjun untuk tujuan penjanaan kuasa hidro-elektrik. Tempat tersebut kini terletaknya Muzium Husqvarna yang dibina pada tahun 1993 berkeluasan 2,400m persegi. Di dalamnya tersimpan kira-kira 100 buah motosikal dan basikal pelbagai jenis yang disusun cukup kemas untuk tujuan pameran. Kesemuanya dibuat di Sweden sebelum divisyen dua roda mereka berpindah ke Itali pada tahun 1987 dan kemudiannya ke Austria. Kita boleh melihat bermacam-macam model motosikal Husqvarna yang telah dikeluarkan sejak dari dulu hingga yang terkini termasuklah barangan lain seperti senapang, mesin basuh, ketuhar, mesin pertukangan hinggalah ke model-model traktor taman.
Selepas peperangan Denmark-Prussia pada tahun 1864 dan konflik Franco-Prussian pada tahun 1870-71, kadar pesanan untuk bekalan senjata daripada pihak tentera Sweden mula menurun dan pihak Husqvarna mula mencari pasaran baru dengan menghasilkan senapang buruan. Dengan peralatan yang semakin canggih dan moden, firma ini mula melakukan kepelbagaian dan pada tahun 1872, mereka telah mengeluarkan mesin jahit. Dengan serta merta ia menjadi pengeluar utama mesin ini di Eropah ketika itu.
Dua tahun kemudian iaitu pada tahun 1874 dan menerusi kilang serba baru yang lebih lengkap, Husqvarna memacu pengeluaran dengan pengenalan kepada produk-produk baru yang amat diperlukan oleh setiap golongan masyarakat seperti dapur, periuk, pembakar roti, basikal dan senjata pemburu. Tahun 1903 merupakan detik penting buat mereka dan seluruh peminat motosikal di dunia apabila syarikat ini berjaya menghasilkan jentera dua roda.
Rakyat Sweden berubah begitu cepat, dengan kepesatan teknologi dan perbandaran, anak-anak muda mula meninggalkan kehidupan sebagai petani dan sektor perladangan untuk mencari peluang baru di bandar-bandar. Golongan ini sudah tentu menjadi pelanggan untuk perkakas rumah. Di bawah Presidennya yang berpandangan jauh iaitu Wilhelm Tham, Husqvarna menjadi pengeluar utama dalam pelbagai industri. Secara total, kadar pengeluaran barangan berkembang di bawah pimpinannya meningkat sebanyak 35 kali ganda dalam perolehan tahunan sejak di awal pentadbirannya 1877 hinggalah pada tahun 1911.
Tham kemudian digantikan oleh anaknya, Gustaf yang merupakan seorang peminat motosikal yang cukup bersemangat dan berjaya menjadikan pengeluaran mesin-mesin dua roda Husqvarna semakin penting pada tahun-tahun berikutnya. Husqvarna telah mula membina basikal pada akhir abad ke-19 (banyak dengan roda-roda kayu!) tetapi pada tahun 1903 ia mula menggunakan enjin FN Belgium 225cc untuk menggerakkan jentera bermotornya yang pertama. Dengan kuasa hanya 1.25 bhp, jentera ciptaan mereka mampu bergerak sepantas 50km/j. Pada tahun 1908, mereka telah menghasilkan sebanyak 14 buah jentera bermotor dengan enjin NSU yang berkuasa 3.25 bhp.
Pada tahun 1910, Husqvarna menghasilkan mesin pertama mereka yang secara rasminya boleh diklasifikasikan sebagai sebuah motosikal. Kejayaan tersebut membolehkan mereka mengeluarkan sebanyak 48 buah motosikal untuk dipasarkan. Ia adalah Model 65 yang dikuasakan oleh enjin v-kembar 298cc buatan Swiss yang digunakan hingga pada tahun 1919. Pada tahun 1920, Husqvarna dengan bangganya memiliki sebuah kilang sendiri dan menghasilkan jentera pertama mereka di situ iaitu sebuah mesin v-kembar 550cc.
Kejayaan ini membolehkan mereka mendapat kepercayaan untuk terus membekalkan motosikal buat tentera Sweden dan pada masa yang sama Husqvarna mula menyertai perlumbaan di litar, jalan raya, jalan lasak dan juga ujian perjalanan jauh. Pada awal tahun 1930an, Husqvarna juga mula menyertai perlumbaan dalam kelas 350cc dan 500cc dengan menggunakan enjin v-kembar yang direka oleh Folke Mannerstedt. Bagaimana pun, syarikat ini menarik diri daripada perlumbaan tersebut secara rasmi pada tahun 1935 kerana ingin menumpukan perhatian dalam pengeluaran motosikal komuter. Ia adalah model 301, sebuah jentera 98cc dengan enjin dua lejang. Ketika itu, pengguna motosikal di Sweden tidak memerlukan lesen untuk menunggang dan Husqvarna menjadi pengeluar motosikal terbesar di Sweden.
Sweden mengambil dasar berkecuali sepanjang tempoh Perang Dunia Kedua dan memberi banyak kelebihan buat mereka. Sweden tidak pernah dibom dan walaupun tetap mengalami kejatuhan ekonomi akibat sekatan pihak Nazi dan Sekutu Jerman, negara ini pulih dengan cepat berbanding negara-negara lain di Eropah. Pada tahun 1950an, masyarakat Sweden menikmati kadar hidup yang semakin selesa dan mewah. Husqvarna mengambil inisiatif ini untuk mengembangkan sayap mereka dengan menambah bilangan pengeluaran untuk produk-produk kelengkapan taman.
Rangkaian motosikal perang yang berenjin dua lejang kemudiannya diubahsuai untuk perlumbaan lasak termasuklah beberapa versi jentera moped bersesaran 50-75cc dan sejumlah jentera skuter turut dipamerkan di muzium tersebut. Jentera Husqvarna paling laris ialah Silverpilen (Silver Arrow) yang berjaya dijual sebanyak 11,000 unit pada tahun 1955-1965. Ia adalah motosikal idaman buat para penunggang muda (16 tahun) yang ketika itu sudah dibenarkan secara sah untuk menunggang.
Pada tahun 1957-1959, model Guldpilen (Golden Arrow) bersesaran 200cc pula diperkenalkan – ia berkuasa 10.5bhp dan merupakan versi Silverpilen yang lebih berprestasi. Bagaimanapun, sistem brek yang dilengkapkan pada model tersebut tidak dapat menyaingi kepantasan serta prestasi Guldpilen sehingga menyebabkan berlakunya beberapa kemalangan. Akhirnya, model ini ditarikbalik dari pasaran atas arahan kerajaan Sweden.
Kepakaran para jurutera Husqvarna jelas semakin tinggi dari masa ke semasa terutamanya dalam pembangunan jentera lasak. Di antara tahun 1959 hingga 1963, mereka telah berjaya memenangi enam Kejuaraan Motocross Dunia dalam kategori 250cc dan 500cc menerusi pelumba lagenda mereka iaitu Rolf Tibbin, Torsten Hallman dan Bill Nilsson. Sepanjang tahun 1960an dan 1970an, syarikat ini menjadi kuasa dominen dalam dunia offroad dengan n merangkul kejayaan sebanyak 14 kejuaraan Motocross Dunia dalam kelas 125cc, 250cc dan 500cc. Antara pelumba yang telah menaikkan nama jenama ini ialah Bengt Aberg, Heikko Mikkola dan Hakan Carlqvist. Ini menyumbang kepada penjualan dan penjenamaan Husqvarna di Amerika yang menjadikan mereka semakin kukuh. Kebanyakan jentera lumba ini dipamerkan di Muzium Husqvarna.
Populariti dan kualiti produk-produk Husqvarna membolehkan mereka berjaya menahan arus perubahan yang datang dari negara-negara timur. Pada tahun 1977, ia dibeli oleh konglomerat utama Sweden, Electrolux dan pada awalnya tujuan pembelian adalah untuk 'melaraskan' hala tuju Husqvarna tetapi akhirnya sebahagian besar daripada produk-produk dijual satu demi satu untuk melengkapkan tabung korporat Electrolux. Ini meninggalkan Husqvarna dengan produk-produk kehutanan seperti gergaji, pemotong rumput, trimmers dan mesin jahit. Senapang terakhir dari syarikat penuh sejarah ini dihasilkan pada tahun 1989.
Banyak lagi perubahan hak milik berlaku selepas itu. Antaranya ialah pembelian Husqvarna oleh Cagiva. Electrolux yang kemudiannya dimiliki oleh Ducati Energia turut bertukar hak milik kepada keluarga Castiglioni yang ketika itu memiliki Cagiva dengan syarat, pembelian tersebut mestilah termasuk anak syarikat mereka iaitu Husqvarna. Pemilik barunya membuat keputusan untuk berpindah ke Itali tetapi beberapa pengurus Husqvarna tidak bersetuju lalu menubuhkan jenama saingan iaitu Husaberg. Husaberg kini dimiliki oleh KTM yang dibeli pada tahun 1995.
Tahun 2007, Husqvarna Motorcycles dan kilangnya di Cassinetta telah dibeli oleh BMW yang ketika itu sedang menjalankan kempen untuk mendapatkan minat golongan muda pada jenama Bavaria. Pada tahun 2013, BMW mengumumkan bahawa syarikat pelaburan swasta, Pierer Industrie AG Presiden KTM, Stefan Pierer telah membeli Husqvarna. Husqvarna pada tahun itu dipindahkan ke KTM AG, dengan pengeluaran Husqvarna dimulakan semula di kilang Mattighofen di KTM pada Oktober 2013 dan berjaya mencipta sejarah penjualan tertinggi sepanjang 110 tahun dengan jumlah 16,337 unit.
Kejayaan ini membuatkan Pierer selaku pemilik baru ingin membawa Husqvarna pergi lebih jauh dengan memperkenalkan Svartpilen dan Vitpilen. “Visi saya ialah untuk menjadikan Husqvarna sebagai pengeluar ketiga terbesar di Eropah. Tempat pertama kini jelas milik KTM diikuti BMW dan saya mesti mengisi tempat ketiga itu dengan jenama ini. Husqvarna mesti menjual sekurang-kurangnya 65,000 unit setahun untuk tujuan ini,” kata Pierer.
Pada tahun 2006 pula, Electrolux telah melepaskan Husqvarna (bahagian elektrik dan perkakas tanaman) untuk bergerak sebagai sebuah syarikat bebas. Kini Husqvarna merupakan kuasa produk luaran antara yang terbesar di dunia dengan pelbagai produk-produk kelengkapan tanaman yang dijual lebih daripada 100 buah negara seluruh dunia. Semua produk mereka dijaga dengan sangat rapi terutamanya menjelang sambutan ke-400nya pada tahun 2020 akan datang.
Muzium Husqvarna disusunkan dengan barisan jentera dua roda sejak ia dilahirkan pada tahun 1910 termasuklah model-model offroad juara yang pernah menggegarkan dunia pada tahun 1960-1970an. Terdapat 23 buah jentera perlumbaan GP v-kembar yang direka oleh syarikat ini pada tahun 1930an yang lalu. Model 500cc, dua lejang tunggangan oleh Bo Granath yang berjaya meraih tempat kelima dalam Kejuaraan World Championship.
Motosikal terakhir yang disiapkan di Sweden turut dipamerkan. Ia adalah TE510 Enduro yang dicipta sebelum Husqvarna berpindah ke Itali dan jentera ini belum perah ditunggang oleh sesiapa pun. Muzium ini dibuka setiap hari sepanjang tahun dan akan ditutup hanya pada hari cuti-cuti umum.
Sila layari www.husqvarnamuseum.se untuk maklumat lebih lanjut dan terkini. Sememangnya ia adalah muzium yang penuh sejarah... apa yang anda perlu hanya masa kerana ruang pamerannya memang cukup besar. Bandar Huskvarna terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Stockholm dengan motosikal (empat jam dengan keretapi) atau dua jam dari Gothenburg dan percayalah, ia adalah satu perjalanan yang sangat berbaloi. RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Ola Osterling dan AC Archives
Popular