Honda Custom Cub Hasil Kreativiti Yang Menawan
Tidak boleh dinafikan Honda Super Cub adalah jentera paling popular di dunia dan juga merupakan model ikon kenderaan persendirian yang boleh dilihat hampir di seluruh dunia. Kemasyhuran model ini setanding dengan Ford Model T, Volkswagen Beetle, Land Rover dan Jeep. Honda Cub diperkenalkan pada tahun 1958 atau pada tahun ke-10 kemunculan Honda ke pasaran motosikal dunia.
Ia adalah ciptaan Soichiro Honda dan rakan niaganya Takeo Fujisawa yang sama-sama mengimpikan untuk 'memberikan kegembiraan buat orang ramai dengan mesin yang berguna'. Hasil idea kedua-dua sahabat ini membolehkan Honda menjadi gergasi automotif hingga ke hari ini. Honda kini bukan sahaja 'menggegarkan' jalan dengan barisan jentera-jentera hebat tetapi juga dibuktikan dengan dominasi dalam dunia perlumbaan seperti jentera GP berenjin empat, lima dan enam silinder pada tahun 1960an dulu.
Model NSH500 V4, NS5500, MotoGP RC211V dan terkini RC213V V4 kesemuanya adalah hasil daripada keuntungan penjualan berpuluh-puluh juta unit model Super Cub di seluruh dunia. Lihatlah betapa pentingnya sebuah motosikal kecil kerana tanpanya, mustahil kita dapat melihat jentera lumba beraksi cemerlang di litar dengan penuh gaya.
Dengan peningkatan jumlah pengeluaran model ini sejak ia diperkenalkan dulu, terdapat 16 buah kilang di 15 buah negara seperti di Asia, Afrika dan Amerika Selatan yang mampu mengeluarkan sebanyak 60 juta unit pada tahun 2008 dan mencecah 100 juta unit pada tahun 2017. Menerusi jumlah pengeluaran tersebut, Honda berada di posisi paling atas sebagai pengeluar kenderaan paling berjaya dalam sejarah permotoran dunia.
Super Cub begitu popular dan dikenali sehinggakan menerima tanda dagang tiga dimensi pertama di Jepun. Pada tahun 1960an, kempen pemasaran jentera ini memasuki pasaran Amerika dengan iklan cukup menarik iaitu You meet the nicest people on a Honda. Kumpulan muzik terkenal, The Beach Boys turut mencipta lagu hit mereka iaitu My Little Honda yang menjadi siulan anak muda ketika itu.
Terdapat pelbagai varian yang diperkenalkan ke pasaran dunia. Bermula dengan C100 yang kemudiannya bertambah kepada C50, C70, C90 dan C110. Terbaru ialah model Super Cub C125 yang dihasilkan di kilang pemasangan Honda Kumamoto, Jepun pada Oktober 2017 lalu bersempena kejayaan pengeluarannya yang ke-100 Juta. Ia juga amat bertepatan dengan ulang tahun Honda yang ke 60 tahun.
Model baru yang diperkenalkan ini masih mengekalkan format underbone dan pelindung kaki plastik tetapi enjin barunya memang mantap – sistem pancitan bahan api berpiawaian Euro4, sistem ABS dan penghidup tanpa kunci. Transmisi empat kelajuan dilengkapkan dengan klac centrifugal yang membolehkan ia bergerak seperti sebuah skuter dan menjadikannya sebuah motosikal yang mudah ditunggang.
Gaya terbaru yang sedang 'merebak' ke seluruh dunia ialah jentera cub kustom yang pada asalnya bermula di Jepun dalam awal era milinium yang lalu dan semakin popular sejak 10 tahun kebelakangan ini. Industri motosikal kustom untuk model cub ini semakin pesat sehingga meraih populariti yang tinggi di negara-negara lain terutamanya negara-negara Asean seperti Malaysia, Thailand, Taiwan, Vietnam dan termasuklah Indonesia yang juga mempunyai pasaran motosikal ketiga terbesar dunia – boleh layari https://rocketnews24. com/2018/04/08/1040741. Budaya pengubahsuaian ini sudah tiba di Eropah dan saya dapat tahu mengenainya ketika berbual dengan sepasang wartawan.
Mereka sememangnya pencinta dunia motosikal kustom dan lebih manis, mereka saling menyintai yang akhirnya membawa ke gerbang perkahwinan. Mereka ialah Lee dan Hayley Vigor. Pasangan suami isteri ini memiliki Honda Custom masing-masing yang disimpan dengan baik di dalam garaj rumah mereka. Mereka berdua boleh menunggang motosikal ini ke mana sahaja mereka inginkan dengan tenang dan santai – amat berbeza dengan pekerjaan mereka yang perlu menguji beratus kilometer menggunakan jentera prototaip atau yang akan dilancarkan.
“Dalam tugasan, saya akan menunggang sekitar 160,000 kilometer setahun dan Hayley pula kira-kira 128,000 kilometer. Ini kerana sebagai ibu, Hayley juga perlu menjaga soal rumah walaupun anak lelaki kami semakin dewasa. Kami berdua selalunya akan menunggang dalam anggaran 800 kilometer sehari dan apabila tidak bertugas, kami tetap menunggang bersama cuma kali ini dengan menunggang Honda Cub Kustom,” kata Lee, 47 tahun.
Bagaimana hobi ini boleh timbul? “Semuanya bermula apabila saya melihat laman FB seorang warga tempatan bernama James Gibson. Dia bagaikan 'Guru' untuk dunia kustom motosikal cub dan semua orang memanggilnya Gibbo. Dialah yang memulakan scene kustom di UK dan ketika mula-mula melihat hasil ciptaan beliau, saya terus ketagih. Seperti kebanyakan pengguna motosikal lain, saya juga memiliki sebuah cub di rumah kerana itu merupakan motosikal pertama yang saya naiki untuk belajar menunggang. Satu lagi motosikal hampir sama dibeli ketika berumur lingkungan 20an untuk dipakai ke tempat kerja,” tambah Lee.
“Model kedua yang saya beli ialah sebuah Honda C90 yang dicat menggunakan tangan. Harganya £50 dan memang cukup mengagumkan kerana ia murah tetapi Lee Vigor cukup praktikal. Selepas itu, saya sibuk bekerja sehingga lupa pada Super Cub ini sehinggalah saya kembali jatuh cinta 20 tahun kemudian,” kata Lee.
Menerusi dunia kustom, Gibbo dan rakan-rakan lain mencari kegembiraan dengan merekabentuk motosikal mengikut personaliti sendiri dan tema yang diinginkan. Setiap kali orang akan tersenyum bila melihat hasil karya yang dicipta, sudah memuaskan hati. Bila kita bersiar-siar dengan sebuah jentera dua roda dan disapa oleh seorang wanita tua sambil bertanyakan mengenai motosikal yang sedang ditunggang itu, teringat benar pada slogan Honda dulu.
Ok..... bagaimana Lee dan Hayley merekabentuk motosikal masing-masing? Rupa-rupanya pasangan ini mendapat cuti panjang selepas bekerja hampir setiap hujung minggu. Honda C90 merah jambu milik Hayley diberi perubahan unik pada bahagian hadapan dengan mengubah posisi bar hendal, lampu belakang, lampu utama, pelana, mudgad depan/belakang dan beberapa bahagian lain agar tampak lebih unik.
Lee membeli Honda Cubnya di ebay pada harga £450 yang dalam keadaan cukup baik dan harga untuk model-model lama ini semakin tinggi sehingga mencecah £1,000 tetapi apabila sudah diubahsuai, harganya boleh meningkat sebanyak dua kali ganda. “Selepas membeli motosikal tersebut, saya miliki idea hebat iaitu dengan menunggangnya balik ke rumah yang jarak sekitar 260 kilometer. Sayangnya tayar motosikal saya pecah walaupun ketika itu perjalanan baru sahaja mencecah 36.8 kilometer. Akhirnya saya pulang dengan menggunakan perkhidmatan bantuan AA Recovery tetapi itulah 36.8 kilometer paling seronok dalam hidup saya,” kata Lee.
Sebaik sahaja tiba di rumah, Lee terus membuat pengubahsuian termasuk pada motosikal Hayley sekali kerana dia pernah katakan untuk ingin memiliki model cub kustom yang sama. Menurut Lee, dia memang seronok membuat dua pengubahsuaian serentak kerana jika melakukan kesilapan pada motosikal satu, proses yang sama akan menjadi lebih mudah pada motosikal kedua. Selepas menyembur cat di beberapa bahagian, barulah tiba masanya memberi tumpuan dalam proses penyempurnaan pada tayar, enjin, kabel penyambungan dan lain-lain. “Tanpa disangka, pengubahsuaian motoskal memberikan ketagihan dan lebih banyak kita ubah, lebih unik sesebuah motosikal itu.”
Kedua-dua jentera ini menggunakan enjin 150cc Motosylo Hybrid yang dibuat oleh Zong Ho di negara China dan kemudiannya ditala semula untuk prestasi yang lancar. Enjin 150cc itu bersaiz 56 x 60mm yang menghasilkan kuasa setinggi 15hp – dua kali ganda lebih mantap berbanding C90 asal dan bunyinya juga memang cukup sedap. Model ini juga disempurnakan dengan karburetor Molkt 26mm, CDI digital dan koil perlumbaan.
Kemantapan rekabentuknya hadir menerusi tayar lebar KKS 110 WW berdinding putih dan rim 17 inci yang dipesan dari Malaysia dan dikemaskan dengan brek gelendong SLS. Untuk membolehkan jentera ini menanggung bebanan dengan lebih baik, jentera Lee dilengkapkan dengan penyerap hentak berspesifikasi tinggi RFK buatan China yang boleh dilaras. Untuk jentera Hayley pula, dia menukarkan yang asal kepada penyerap hentak Honda Super Cub baru.
Untuk menceriakan setiap motosikal kustom mereka, stiker memainkan peranan dan saya sukakan salah satu yang berada pada motor Lee yang tertulis “Dibina Bukan Dibeli'. Apabila telah siap, hasilnya memang Hayley memberi kegembiraan kerana ia berbeza dengan apa yang lazimnya dilihat dan lebih istimewa, motosikal kustom tersebut adalah hasil tangan sendiri.
“Apabila mendapati Lee menghabiskan masa berjam-jam di garaj, saya membayangkan dia sedang menghadapi krisis berkaitan usia. Lapan minggu saya tidak melihatnya di atas motor dan ia adalah suatu yang pelik lebih-lebih lagi apabila dia pula melarang saya melihat apa yang sedang dilakukannya di garaj,” kata Hayley sambil tersenyum.
Kemudian... 'Voila!' Lee menghadiahkan isterinya dengan rekaan unik cub kustom yang berwarna pink cantik. Kesungguhan Lee amat membanggakan Hayley dan kini, dia pula menambah aksesori sedikit demi sedikit agar lebih unik dan mewakili diri Hayley. “Memang memberikan perasaan cukup seronok dan istimewa apabila cuba menghidupkan enjin dengan cara tendang. Oleh kerana enjinnya dalam keadaan baik, saya tidak perlu menendang beberapa kali. Bila sudah bergerak, kita akan menarik perhatian ramai kerana motosikal yang ditunggang ini memang cantik. Memang cukup cool rasanya tau!”
Saya kemudiannya berjumpa dengan Gibbo, orang yang memberi inspirasi buat para pencinta dunia cub kustom – layari www.facebook.com/pages/CamphillChop-Shop/142478842487312 untuk melihat pelbagai rekaan menarik.
“Lebih kurang empat tahun yang lalu, saya bekerja di sebuah syarikat pemasangan CCTV keselamatan dan ketika itu, saya sendiri mempunyai sebuah C90 'tersadai' di rumah. Saya bersihkan dan cuba mencari alat ganti menggunakan FB dan salah seorang kenalan berkongsikan satu kumpulan pengubahsuai Honda Cub dari Malaysia yang benar-benar mengagumkan. Mereka menggunakan tayar yang lebar, enjin bersesaran tinggi, penuh dengan aksesori dan jujurnya... saya belum pernah melihat rekaan begini,” kata Gibbo.
“Kebanyakan alat ganti mungkin didapati dari Thailand tetapi pereka dari Malaysia memang benar-benar hebat. Mereka 'lepak' dan bertukang di garaj hanya menggunakan flip flops (selipar) dan berseluar pendek sambil membuat pengubahsuaian menggunakan tangan dan idea sendiri. Sebelah tangan memegang grinder dan sebelah lagi memegang pengimpal... hasilnya memang satu seni hebat!”
“Saya tahu tiada siapa pun di UK yang berbuat pengubahsuaian seperti ini... tiada lagi pada masa itu walaupun ada unit kustom yang dijual. Saya mulakan projek menggunakan unit C90 sedia ada dengan sedikit demi sedikit. Tayar ditukar kepada yang besar, kemudian enjin, bar hendal lebih unik, ekzos besar dan macam-macam lagi asalnya ia berbeza daripada yang lain. Saya kemudiannya membawa Honda Cub Kustom ini berjumpa dengan seorang kawan yang menunggang sebuah KTM untuk meminta pandangannya.”
Selepas kawan Gibbo menunggang uji cub kustom ciptaannya, dia terus menjual motosikal lasak miliknya itu keesokan hari dan membeli motor saya! Beberapa minggu kemudian kawan Gibbo itu datang dengan sebuah lagi motor Honda Cub bersama seorang lagi kawan yang turut membawa motosikal. Sejak dari saat itu, Gibbo terus menerima tempahan yang bermula dari dua orang pelanggan tetapi kini jumlahnya semakin banyak.
“Untuk lebih serius dan mudah, saya menubuhkan Camp Hill Chop Shop di laman FB yang kini sudah mempunyai lebih daripada 9,000 orang ahli dari seluruh dunia. Rakan-rakan Manchester, Ireland, Scotland dan London tidak putus-putus menyuruh saya mengubahsuai motosikal mereka. Ini menyebabkan saya kini merancang untuk menganjurkan beberapa pameran motosikal cub kustom agar lebih popular,” ujar Gibbo.
Tiga orang pelumba British Superbike yang turut sama memiliki jentera Custom Cub seperti Lee Jackson dan Richard Coper yang memenangi BSB musim lalu. “Saya ada menerima permintaan daripada seseorang untuk membuat dan mengubahsuai motosikalnya setiap hari malah ada kalanya hingga dua buah sehari. Saya terpaksa menolak kerana senarai pelanggan yang semakin ramai. Sesiapa pun terpaksa menunggu gilirannya! Harga untuk mencipta sesuatu yang unik juga perlu mengikut keadaan motosikal tersebut tetapi ia selalunya di dalam lingkungan £1,000 hingga £3,000,” kata Gibbo lagi.
Lee juga gembira apabila anaknya pula sedang cuba menyiapkan sebuah lagi Honda Cub Kustom di garajnya. “Sememangnya membuat pengubahsuaian ini sangat mengujakan asalnya kita minat tanpa perlu modal yang besar atau daya kreativiti yang tinggi. Saya menunggang motosikal hari-hari kerana ia adalah tugas tetapi untuk duduk berseorangan menyiapkan motosikal bercitarasa sendiri memang lebih menggembirakan dan memberi ketagihan!”
Soalan paling penting: Adakah Lee menunggang Honda Cub Kustomnya ke tempat kerja? “Saya akan lakukannya tidak lama lagi dan ini kerana majikan saya benar-benar ingin melihatnya, Tidak mustahil, dia berminat untuk menunggangnya juga, apa lagi dari syarikat motosikal yang berlainan jenama! Dia kena hati-hati kerana keterujaan motosikal kustom boleh 'berjangkit'... nanti dia pula sibuk mengubahsuai!” RR
Laporan: Alan Cathcart
Kredit Foto: Kyoichi Nakamura
Popular