Malaysia International Classic Bike Festival 2017
Sekali lagi Dataran Pantai Morib dibanjiri dengan motosikal tetapi kali ini dengan perhimpunan sebanyak 200 buah model klasik yang terdiri daripada jenama Triumph, Matchless, AJS, Norton, BSA, Royal Enfield dan lain-lain. Sempena Hari Muzium Antarabangsa peringkat Negeri Selangor, pihak AJK JOWO BROS bersetuju bergabung bersama pihak Muzium untuk menganjurkan perhimpunan ke19 Malaysia International Classic Bike Festival 2017 pada 5-7hb Mei lalu.
Negeri Perak merupakan kumpulan yang terbesar dengan penyertaan sebanyak 53 buah motosikal klasik yang diketuai oleh En Shukri. Tahun ini juga telah memperlihatkan lima orang remaja antara 17-18 tahun turut mengambil bahagian dalam konvoi ini. Antaranya ialah Intan Azanie, berusia 17 tahun yang menunggang sendiri buat pertama kalinya setelah memiliki lesen B penuh. Intan yang ditemani oleh ibubapanya, menunggang sebuah Norton single 350cc yang dimiliki oleh abahnya, Roslan Bin Jusoh.
Sejak berumur 10 tahun, Muhammad Syahril Bin Annuar selalu membonceng dengan abahnya ke mana-mana acara motosikal. Kata abahnya, dia akan pastikan anaknya diikat dengan tali pinggang kerana takut tertidur semasa membonceng. Kini dua orang anak En Annuar mengikuti jejaknya meminati motosikal klasik. Syahril 17 tahun, menunggang BSA –A7, manakala abangnya Shafiq 23 tahun, menunggang BSA – M20 ke acara tersebut.
Mohamad Hamizan, seorang lagi anak muda dari Johor pasti mempunyai semangat yang kuat apabila abahnya En Abbas 42 tahun seorang OKU, menunggang Triumph Speed Twin 1995 dengan hanya menggunakan tangan kanan saja. Akibat kemalangan, tangan kirinya terpaksa dipotong waktu berumur 10 tahun.
Antara peserta yang paling tua ialah En Chow Chew Hock 76 tahun dari Melaka yang tidak melepaskan peluang untuk mengikuti perhimpunan ini dengan lebih kurang 28 buah motosikal dari Kelab Motosikal Klasik Melaka. Mereka semua menunggang motosikal Triumph, Norton, AjS, BSA, Matchless dan Royal Enfield.
Mewakili negeri Cik Siti Wan Kembang, Kelantan ialah En Aziz yang menunggang BSA 500cc – B33 1963 bersama rakannya En Chua yang menunggang sebuah Royal Enfield. Walaupun selepas kemalangan dan patah kaki semasa dalam perjalanan dari Penang ke Morib, Raj bersama isterinya dari Kelab Motosikal Klasik Utara tidak patah semangat untuk ikuti perhimpunan ini.
Tidak ketinggalan juga peminat motosikal klasik dari negara jiran, Singapura seperti En. K A Chua yang menunggang Triumph 3HW 1940 dan En. Nathan dengan Norton Dominator 88 1961. Mereka berkonvoi bersama-sama 10 buah motor klasik dari Skudai. En. Chin dari Johor menunggang model 1952 Triumph Tiger 100, antara koleksi motosikal klasik yang terdapat di rumahnya.
Untuk makan malam, peserta MICBF 2017 dihidangkan dengan nasi ambar. Peserta bersila di atas tikar secara tradisional dan dihidangkan dengan nasi bersama lauk pauk dalam satu dulang besar untuk 4 -5 orang makan bersama-sama. Kesemua peserta memuji hidangan nasi ambar sedap sangat.
Beberapa cabutan bertuah dan penyampaian hadiah disampaikan oleh artis, Wak Doyok yang juga seorang peserta. Sebelum majlis tamat, En Azli, Presiden JOWO BROS Selangor menyerahkan plak Persatuan Motosikal British Klasik Malaysia kepada Cikgu Mat, Presiden Kelab Motosikal Klasik Kelantan, sebagai tuan rumah untuk perhimpunan MICBF 2018. RR
Popular