Ducati Multistrada 950 Media Test Ride
Terima kasih buat Next Bike Sdn Bhd (Ducati Malaysia) atas kesudian menjemput RR menyertai Ducati Multistrada 950 Media Test Ride buat kali kedua. Seperti sebelum ini, tujuan utama penganjuran ini adalah untuk memberi pendedahan mengenai prestasi, kemampuan dan kemajuan teknologi yang dimiliki oleh model pengembaraan Ducati Multistrada 950.
Ruang pejabat Ducati Malaysia PJ mula sibuk dan bertambah meriah apabila seorang demi seorang jemputan media hadir mendaftarkan diri. Sebaik sahaja memandang tepat kepada barisan Ducati Multistrada 950 yang bersih dan berkilat, perasaan teruja tidak dapat diselindung lagi. Kami kemudiannya diperkenalkan dengan tiga orang marshal bertugas iaitu Haizal, Zaid dan Diddy yang juga merupakan Ducati Riding Experience Instructor.
Untuk memulakan 'hari' yang cukup bermakna itu, para peserta terlebih dahulu diberikan taklimat oleh Eksekutif Pemasaran Ducati Malaysia, En. David Lim. Beliau turut sempat berkongsikan info-info dan spesifikasi penting Ducati Multistrada 950 agar setiap penunggang dapat menikmati kehebatan jentera ini di sepanjang perjalanan. Selepas itu, giliran ketua konvoi iaitu Haizal pula memberi taklimat. Haizal memberi penekanan tentang tips dan kaedah berkonvoi paling popular iaitu The Pace serta terdapat beberapa perkara penting yang dipatuhi dan diikuti jika menggunakan kaedah ini.
Pertama: Persetujuan kelajuan maksimum oleh semua peserta sebelum memulakan perjalanan. Mungkin ada yang mampu memecut sehingga 250km/j tetapi bagi peserta lain, dia hanya selesa pada kelajuan maksimum 170km/j. Jadi, persetujuan bersama amat penting agar konvoi tidak berpecah.
Kedua: Tunggangan harus tertumpu kepada keseronokan menunggang di jalan-jalan berselekoh dan bukannya hanya memecut laju di laluan lurus. Ketiga: Menunggang dalam formasi Single File. Keempat: Memastikan jarak di antara motosikal sejauh kiraan dua saat (jalan kering) dan empat saat (jalan basah). Kelima: Para penunggang dinasihatkan untuk tidak bergantung kepada brek atau brek enjin tetapi perlu cekap mengawal pendikit. Keenam: Setiap peserta (penunggang) akan bergilir-gilir untuk memimpin konvoi. Ketujuh: Setiap penunggang harus peka dan mengawasi rakan di belakangnya.
Turut ditekankan oleh Haizal ialah tahap keselamatan diri sewaktu di jalan raya seperti menggunakan lampu isyarat, lihat sejauh mungkin ke hadapan, perlahankan kelajuan di persimpangan, bersiap sedia dengan brek – guna dua jari pada tuas brek dan latih diri untuk menggunakan M.I.B (Mirror, Indicator, Blind Spot) iaitu cermin sisi, lampu isyarat dan titik buta sebelum memintas.
Sememangnya tumpuan dan penekanan dalam pengembaraan kali kedua jauh berbeza daripada pengembaraan sebelum ini dan untuk melihat tahap kefahaman setiap penunggang serta kelincahan mesin Ducati 950cc ini, Ducati Malaysia telah 'menyediakan' laluan yang cukup sempurna.
Sebelum kami 'melompat' naik ke atas motosikal, En. David Lim membuat kejutan dengan meminjamkan setiap seorang peserta dengan jaket Ducati. Apabila semuanya mengenakan jaket Ducati, memang nampak lebih ranggi! Bertambah semangat dibuatnya.
Dari Ducati Malaysia, kami menuju terus ke Gombak untuk masuk ke lebuhraya Karak yang menawarkan laluan mendaki yang terkenal dengan selekoh-selekoh menarik. Ducati Multistrada 950 ini dilengkapi dengan empat mod tunggangan iaitu Sport, Touring, Urban dan Enduro – sememangnya sesuai untuk semua jenis tunggangan. Selain daripada itu, jentera ini turut disempurnakan dengan Ducati Cornering ABS, Ducati Traction Control, Power Modes dan Vehicle Hold Control.
Tunggangan pada pagi Rabu (18 Disember 2018) di lebuhraya Karak memang cukup seronok – kenderaan pun tak banyak! Dalam mod Touring, jentera Ducati ini memiliki hantaran kuasa setinggi 113hp pada 9,000rpm dan tork 96.2Nm pada 7,750rpm yang melayarkan kita dengan cukup lancar di semua laluan sehingga mampu dipecut mencapai 195km/j.
Ketua konvoi 'membawa' kami semua keluar daripada lebuhraya dan menggunakan jalan luar bandar menuju ke hentian pertama iaitu di Empangan Felda Lembah Klau yang terletak di dalam daerah Raub. Laluan di kawasan perkampungan dan ladang kelapa sawit sememangnya lebih dingin dan lebih segar. Cermin pengadang udaranya boleh dilaras denga mudah (secara manual) dan ketika di kawasan ini, kami turunkannya agar tubuh badan sejuk ditiup angin.
Jentera Ducati ini juga direka cukup bijak untuk menangani laluan sebegini. Casisnya yang bertegaran tinggi menawarkan tahap kestabilan yang benar-benar memuaskan dan dengan adanya Ducati Traction Control (DTC), perjalanan lebih terjamin. Oleh kerana asyik dengan pemandangan yang segar serta kualiti tunggangan yang tinggi, kami cepat tiba di Empangan Felda Lembah Klau. Terima kasih rakan-rakan dari Ducati Malaysia yang menyediakan pelbagai jenis minuman segar serta tuala sejuk yang benar-benar diperlukan ketika matahari terpacak di atas kepala.
Deruman jentera-jentera Ducati kembali 'menggegarkan' Lembah Klau sebaik sahaja kami menghidupkan enjin. Konvoi diteruskan semula tetapi hanya berjarak kira-kira 10 kilometer sebelum sampai di Yes Orchard & Cafe. Ia sebuah kafe di tengah-tengah kebun durian. Kami sungguh beruntung kerana dihidangkan sebakul durian Musang King dan boleh dikatakan, ia adalah antara durian paling sedap pernah kami rasai.
Sementara menunggu juadah untuk makan tengahari, kami sempat berbual dan bertukartukar pandangan bersama Haizal, Diddy dan Zaid. Haizal meminta kami cuba untuk melakukan countersteering agar tunggangan di selekoh lebih selamat dan menyeronokkan. Haizal juga kongsikan posisi jentera paling selamat sebelum memasuki satu-satu selekoh tajam.
Nasi putih, ikan patin tempoyak, telur dadar, sayur bayam dan kacang bendi memang sangat menyelerakan. Kalau diikutkan hati memang boleh makan banyak tetapi hampir kesemua peserta terdiri daripada penunggang motosikal berpengalaman yang tahu akan pantang larang ketika berkonvoi jauh. Makan tengahari terutamanya perlu dikurangkan agar tidak terlalu kenyang yang boleh menyebabkan mengantuk.
Dari Raub, kami meneruskan perjalanan menuju ke Cameron Highlands dengan menggunakan laluan popular di kalangan pencinta motosikal iaitu Jalan Sungai Koyan. Untuk menguji sama ada rakanrakan konvoi mempraktikkan kaedah The Pace yang dikongsikan pada awal perjalanan tadi, Diddy (Sweeper) dan Zaid beberapa kali berhenti atau memperlahankan kelajuan. Tujuannya adalah untuk menguji keprihatinan para peserta ketika berdepan dengan situasi sebegitu. Memang ada peserta yang menunggu, ada yang berpatah balik dan ada juga yang terus maju ke depan.
Laluannya berselekoh dan pemandangan yang mengagumkan memang cukup sesuai untuk Multistrada 950 yang dilengkapi dengan saspensi depan dan belakang yang menyerap segala hentakan dengan cemerlang sekali. Turut membantu menjadikan prestasi jentera ini begitu 'melekat' ketika mendaki ke Cameron Highlands ialah cengkaman daripada tayar hadapannya jenis Pirelli Scorpion Trail II bersaiz 120/70 ZR19 dan Pirelli Scorpion Trail II 170/60 ZR 17 di belakang.
Selepas mengharungi perjalanan lebih daripada 300 kilometer, konvoi akhirnya sampai di sebuah pusat peranginan terkenal BBQ di Cameron Highlands dalam suhu yang dingin. iaitu Jim Thompson's Cottage. Bagi rakanrakan yang kurang mengenalinya, Jim Thompson merupakan seorang warga Amerika yang juga seorang peniaga yang cukup berjaya. Pada 26 Mac 1967, beliau dikatakan bersedia untuk makan malam dan meninggalkan rumah kepunyaan kawannya (Moonlight Bungalow yang terletak di Cameron Highlands) untuk berjalan seketika di persekitaran kawasan. Dari saat itulah, sesiapa pun tidak pernah lagi melihatnya di mana-mana.
Kehilangan Jim Thompson mendapat liputan meluas di seluruh dunia sehinggakan pelbagai teori konspirasi mula tersebar tidak lama selepas insiden tersebut. Antara yang popular ialah beliau menghilangkan diri kerana bagi mengelak dijejaki agen perisik Amerika, menukar identiti dan pulang ke Amerika malah ada juga yang katakan beliau mati diserang binatang buas. Apa pun, tiada siapa yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku pada pengeluar sutera Thailand itu. Untuk yang berminat bermalam di Moonlight Bungalow atau Jim Thompson Cottage, sila hubungi 054913188 / 054914367 atau email ke jtcottage_ch@hotmail. com.
Majlis makan malam memang cukup menyelerakan. Selain kakitangan Ducati Malaysia yang ceria dan cukup ramah, kami turut berterima kasih kepada Ms Anis Ayuni dan Chegne Shuk Yin dari Naza Corporation Holdings Sdn Bhd serta Bernard dan Evelyn dari agensi pengurusan acara yang bertungkus lumus memastikan segalanya berjalan dengan lancar.
Memang 'terangkat' juadah yang disediakan pada malam itu. Dari sotong hingga ke kambing bakar, dari sayuran segar hingga direbus (steamboat)... semua membuka selera dan sangat sesuai dengan suhu yang cukup sejuk dan suasana yang nyaman. Ducati Malaysia turut bermurah hari untuk memberikan sijil buat para peserta dan hadiah istimewa buat mereka yang berjaya mempraktikkan The Pace dengan baik.
Cuaca sekali lagi menyebelahi kami pada hari berikutnya. Perjalanan hari kedua agak menarik! Kami perlu menggunakan jalan Cameron – Simpang Pulai yang sejauh 83 kilometer. Walaupun trafik di Cameron Highlands agak sibuk (cuti sekolah ketika itu), kelincahan dan pengendalian mudah Ducati ini membolehkan kami dapat meninggalkan kawasan bandar dengan cepat. Ketinggian posisi pelananya (840mm) membolehkan kami melihat keadaan trafik di hadapan melepasi bumbung kereta dengan mudah.
Dengan pengalaman yang ada ditambah dengan beberapa tips terbaru yang didapati bersama para marshal DRE, tunggangan di selekoh semakin meyakinkan. Dengan penunjuk posisi gear yang cukup mudah dilihat serta sistem transmisi enam kelajuan yang lembut, setiap selekoh diratah dengan kemas dan tepat.
Cuaca panas terik 'menunggu' kami sebaik sahaja tiba di bandar Simpang Pulai. Kami menggunakan jalan lama menuju ke Gopeng untuk berehat dan makan tengahari di Adelin Villa dan Rest House. Ia adalah satu lagi destinasi percutian yang cukup menarik. Terletak di Sungai Geroh, Gopeng dan selain makanan 'ala kampung' dan tempat penginapan alam semulajadi, tempat ini juga terkenal dengan akvititi lasak seperti Wet Abseiling, White Water Rafting, Jungle Trekking kawasan air terjun, jelajah gua dan pengalaman menunggang ATV. Apa yang mengejutkan kami ialah... setiap pelanggan dikehendaki membasuh pinggan dan gelas mereka sendiri selepas makan di ruang yang disediakan.
Dalam perjalanan pulang, kami menggunakan Lebuhraya Utara Selatan menuju ke Kuala Lumpur. Walaupun menggunakan mod tunggangan Sport, kami tidak dapat menikmati kepantasan jentera ini kerana laluan di lebuhraya sesak dengan kenderaan. Mungkin kerana terlalu panas dengan cuaca dan haba dari kesesakan lalu lintas, salah seorang daripada peserta k a m i agak keletihan dan rentak tunggangannya mula perlahan.
Melihat kepada situasi ini, Diddy cepat mendekatinya dan memimpin terus ke R&R Sungai Buloh untuk berehat dan menyejukkan diri manakala yang lain terus ke ibu pejabat Ducati Malaysia dengan selamat. Ternyata Ducati Multistrada sentiasa cemerlang dan tidak pernah mengecewakan untuk tunggangan santai mahupun yang mencabar. Ia adalah satu bukti kebijaksaan para pereka dan jurutera Ducati dalam penghasilan sesebuah jentera yang begitu mengujakan. Tahniah buat Ducati Malaysia atas penganjuran ini.
Sedikit info mengenai jaket yang dipinjamkan untuk kami. Ducati memiliki pelbagai jenis jaket dari beberapa jenama seperti Dainese dan Rev'it yang boleh dipilih untuk pelbagai jenis tunggangan. Ada yang cukup selesa dipakai dikala cuaca panas dan ada juga yang sesuai untuk tunggangan kawasan bersuhu rendah seperti di Cameron Highlands. Kualiti pembuatannya memang cukup tinggi dan lengkap dengan perlindungan keselamatan.
Untuk melihat jaket atau motor dengan lebih dekat, sila berkunjung ke Ducati Malaysia yang terletak di Lot 1, Jalan 51A/221 46100 Petaling Jaya, Selangor. Dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam. RR
Popular