Warna Terbaru Honda RS150R
Jentera Honda RS150R pastinya lebih menyegat dan menarik perhatian dengan pengenalan skim warna terbaru iaitu Hitam Mutiara Magellanic yang menjadikan jentera ini tampan lebih eksklusif, anggun dan sporty. Seperti yang dikatakan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, En. Keiichi Yasuda, “Kami tahu bahawa RS150R amat istimewa dan sering diubahsuai untuk kesesuaian identiti pemiliknya. Oleh itu, kehadiran warna terbaru ini pastinya lebih meyakinkan dan seiring dengan penampilannya yang agresif.”
RS150R dikuasakan oleh enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 3 yang memastikan prestasi enjin mantap serta penjimatan bahan api optimum. Untuk kemudahan pengendalian dan kestabilan ketika meredah pelbagai jenis jalan, Honda telah menyempurnakan RS150R dengan kerangka jenis twin-perimeter yang digabungkan dengan saspensi hadapan jenis teleskopik dan penyerap hentak tunggal di belakang yang berprestasi tinggi. Untuk gaya lebih mantap, lampu utamanya adalah daripada jenis LED yang menawarkan suluhan cukup terang di waktu siang mahu pun malam.
Enjin RS150R bersesaran 149.16cc berkuasa 11.4kW pada 9,000rpm dan tork 13.5Nm pada 6,500rpm. Kedua-dua tayar hadapan dan belakang dikawal dengan cemerlang oleh sistem brek cakera hidraulik. Kecekapan dan ketahanan enjin jentera Honda tidak perlu diragui dan model ini ternyata telah mendapat kepercayaan ramai dengan jumlah pemiliknya yang cukup tinggi serta semakin meningkat dari masa ke semasa.
Warna sedia ada iaitu Pearl Nightfall Blue, Candy Scintillate Red dan Edisi Repsol turut diberi sentuhan baru dengan reka corak grafik yang moden. Harga untuk RS150R berwarna hitam, biru dan merah ialah RM7,999 manakala untuk model Repsol pula ialah RM8,299. RR
Popular