Yamaha Y15ZR Edisi GP Diperkenalkan!
Pastinya sambutan MotoGP musim ini lebih meriah jika kita merupakan salah seorang daripada pemilik Yamaha Y15ZR Edisi GP yang telah dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) bulan lalu. Selain mengekalkan warna biru perlumbaan yang cukup menawan, model terhad ini telah diberi sentuhan terkini dengan rekabentuk grafik berasaskan jentera lumba pasukan Yamaha Factory yang ditunggangi oleh pelumba lagenda, Valentino Rossi dan Maverick Vinales.
Sejak dilancarkan kira-kira tiga tahun lalu, model bersesaran 149.7cc ini merupakan antara moped paling digilai oleh para pengguna motosikal di Malaysia tidak kira tua atau muda, lelaki atau perempuan. Komuniti pemilik jentera juga besar dengan pelbagai aktiviti menarik dianjurkan di seluruh negara.
Selain memiliki rekabentuk menarik dengan lampu hadapan dan belakang mirip jentera Yamaha berkuasa tinggi, Y15ZR meraih kepercayaan para pengguna dengan menawarkan hantaran kuasa maksimum setinggi 11.3kW pada 8,500rpm dan tork 13.8Nm pada 7,000rpm. Enjin serba baru dengan sistem suntikan bahan api bukan sahaja menawarkan pecutan yang mengagumkan tetapi juga menjanjikan pada masa yang sama kadar penjimatan bahan api yang optimum.
Untuk disesuaikan dengan kemantapan prestasi enjinnya, Yamaha ini telah diperkemaskan dengan penggunaan brek cakera jenis hidraulik di depan dan belakang serta sistem saspensi yang efisien.
Turut menanti para pembeli bertuah ialah model miniatur jentera Y15ZR Edisi GP dan Jam Tangan Fitness Yamaha Y15ZR yang cukup menarik. Harga untuk Y15ZR Edisi GP ini RM700 lebih tinggi daripada harga model biasa iaitu RM8,588 (harga cadangan tanpa cukai jalan dan insurans). Jadi... jangan lepaskan peluang untuk dapatkannya! RR
Popular