Rimba Raid Kelima Di Mat Daling
Acara Rimba Raid asalnya bermula dengan sembang-sembang di antara beberapa kenalan motosikal yang menyintai aktiviti menunggang santai dan lasak, off road. Maka secara tidak langsung, acara ini tidaklah begitu asing lagi buat pengemar sukan motosikal lasak di tanah air kita. Sejak pada tahun 2015, ketika Rimba Raid pertama dianjurkan, para peserta hanya ada lima orang sahaja iaitu dari Malaysia dan Singapura. Lama-kelamaan, keghairahan menunggang di dalam alam semula jadi semakin digilai dan digemari. Dari lima orang pelumba, jumlah kian hari kian bertambah dan dibuktikan dengan jumlah penyertaan acara Rimba Raid ke empat yang mengagumkan.
Penganjuran kali kelima yang berlangsung di Mat Daling pada 6hb Julai lalu ternyata lebih meriah dengan hadirnya GIVI Asia memberi sokongan penuh sebagai penaja rasmi disamping kerjasama daripada Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd, BMW Motorrad Malaysia, Ducati Malaysia dan lain-lain. Pengasas dan Pengarah Urusan Rimba Raid, Dato' Kapten Nik Huzlan pastinya amat berbangga dengan kehadiran para peserta yang datang dari pelbagai negara selain Malaysia seperti Thailand, Singapura, Itali, Kanada, Scotland, China dan Indonesia yang semuanya berkumpul di Xcapt Resort, Taman Negara Kuala Tahan. Lebih kurang 249 orang peserta telah mendaftar untuk mewakili persaingan dan perlumbaan kali ini. Hari pertama, semua peserta dan krew bertugas bermalam di Kuala Tahan.
7 Julai 2018: Peserta bersiap sedia ke dewan untuk sarapan dan pada masa yang sama, krew pasukan telah bersiap sedia sekali lagi untuk memeriksa jentera dengan teliti sebelum perlepasan dijalankan. Untuk perlumbaan pada hari tersebut, para peserta dikehendaki menguji kecekapan diri di jalan jenis trail yang sejauh 128 kilometer. Seramai 99 peserta untuk acara ini, termasuk seorang peserta wanita, Echo yang berasal dari China, berumur 26 tahun dan kini bertugas di Singapura sejak 17 tahun yang lalu. Echo baru dua tahun berjinak-jinak dengan dunia motosikal kuasa tinggi.
Lebih kurang jam 9.30 pagi, Pengarah Luar Negara GIVI, En. Joseph Perucca menegaskan bahawa pihaknya cukup berbangga kerana GIVI menjadi penaja utama untuk penganjuran acara yang cukup luar biasa itu. Beliau juga diberi penghargaan untuk melepaskan para peserta pada hari tersebut. GIVI juga menaja bekas pelumba Cub Prix Racer Hj Wazi Abdul Hamid yang menunggang KTM 690.
Kami juga sempat bertemu tiga orang pelumba termuda dalam penganjuran Rimba Raid kali ini iaitu Ahmad Dainel Haiqal Bin A.S. Nizam (19 tahun), adiknya Ahmad Farhan Iqwan yang sudah didedahkan dalam sukan motosikal lasak sejak berumur 15 tahun manakala seorang lagi pelumba, Muhammad Hazim Bin Ahmad Nazri (19 tahun) yang sudah menceburi sukan ini sejak berumur 5 tahun. Hazim merupakan anak kepada pelumba motosikal lasak wanita yang cukup dikenali iaitu Khai Zabidin yang kini masih bersaing dalam perlumbaan WOMEN GS THROPHY CHALLEGE di South Africa tahun ini.
Perlumbaan yang benar-benar mencabar ini julung kalinya diadakan dengan jarak 128km bermula dari Kuala Tahan, Jerantut melalui trek hutan hingga ke penamat di Kg Mat Daling, Ulu Tembeling. Terdapat beberapa cabaran dan rintangan perlu ditempuhi oleh setiap peserta dalam kategori Heavy Dual Purpose. Antara jentera yang menjadi pilihan para pelumba ialah BMW GSA 1200 LC, GS 1200 LC, F 800 GS, F 700 GS, F650GS, YAMAHA XT1200Z, Super Tenere, Honda Africa Twin, Honda CBX500, Kawasaki Versys, Ducati Multistrada, Ducati Scrambler, Triumph Tiger 800, KTM dan semestinya Royal Enfield Himalayan.
Beberapa peserta lain yang memacu jentera enduro seperti Husqvarna, KLX 250, KLX 150, KLR 250, Honda CRF 250 turut menghadapi sedikit kesukaran ketika melalui laluan yang telah cukup teknikal. Turut menyukarkan pergerakan peserta ialah keadaan permukaan jalan yang berpasir dalam, licin dan laluan sungai yang wajib untuk mereka lalui.
Perlumbaan ini adalah cabaran fizikal dan mental. Ia memerlukan gabungan hebat di antara kemantapan jentera tunggangan serta dedikasi dan semangat tinggi seseorang pelumba dalam mengharungi perjalanan yang direka cukup sukar. Ketika menempuhi laluan yang ada kalanya terlalu sukar untuk dilepasi, semangat setia kawan telah ditunjukkan oleh beberapa orang pelumba yang turun membantu agar perjalanan dapat diteruskan dengan selamat.
Pemenang dinilai berdasarkan jumlah masa yang diambil ketika menyempurnakan perjalanan. Bagi penunggang berpengalaman, purata masa ialah sekitar dua jam lebih manakala bagi pelumba biasa, mungkin perjalanan mengambil masa yang sedikit lama iaitu sekitar empat jam malah lebih. Dalam Kelas A iaitu untuk jentera Dual Purpose (DP) 800cc dan ke atas, pelumba negara, Gabit Salleh telah dinobatkan sebagai juara dengan catatan masa 2'33”07 saat meninggalkan pencabarnya dari Itali, Matteo Graziani yang menunggang Ducati Desert Sled tiba tujuh minit kemudian. Tempat ketiga dimenangi oleh Zulkarnain Tahir yang menunggang BMW HP2.
Dalam Kelas B (jentera DP 400cc - 650cc), hadiah pertama telah dimenangi oleh pemilik BMW Sertao iaitu Nazmee Ramli yang berjaya mencatatkan masa 2:35.28 saat diikuti Mohd Syahidan yang melintasi garisan penamat kira-kira 10 minit kemudian. Manakala Khairul Alif, di tempat ketiga dengan catatan masa selama 3:01.04 saat.
Kelas C pula adalah untuk jentera Adventure yang bersesaran di antara 250cc – 750cc. Dalam kelas C, pemenang pertama yang tiba dalam masa 2:28.41 saat ialah Ahmad Iezzam dengan menunggang jentera Honda CRF250L diikuti M. Hairy di tempat kedua juga dengan menunggang Honda CRF250L. Jentera DP yang baru dilancarkan iaitu Royal Enfield Himalayan telah membuktikan kelasakannya menerusi tunggangan mantap Rizal Zakaria yang berjaya menamatkan cabaran di tempat ketiga dengan catatan masa 3:26.09 saat.
Di sebelah malam, para peserta dan para tetamu Rimba Raid dapat menikmati pengalaman berkhemah di kawasan yang disediakan. Bagi kebanyakan para peserta yang sememangnya pencinta alam semulajadi, perkhemahan adalah satu perkara biasa tetapi bagi beberapa peserta luar negara, ia adalah satu pengalaman baru dalam hidup mereka bermalam di dalam hutan belantara di Malaysia.
Ini juga merupakan masa yang paling sesuai untuk bertemu dengan rakan lama dan yang baru dari dalam dan luar negara. Dengan berkongsi minat yang sama, tiada langsung terasa sempadan bahasa, latar belakang dan warna kulit. Selain berbual mengenai perlumbaan yang dijalankan pada siang harinya, kesempatan ini diambil sebaiknya untuk bercerita mengenai pengalaman menunggang sepanjang hidup. Menikmati keheningan malam bersama rakan-rakan yang mempunyai hobi dan minat yang sama adalah saat yang paling berharga.
8 Julai 2018: Perlumbaan hari kedua adalah untuk mencari siapakah yang akan menjulang piala Raja Pasir. Para peserta dan krew kembali sibuk dengan jentera masing-masing sebelum memulakan perlumbaan yang diadakan di tepi sungai. Berbanding sebelum ini, perlumbaan piala Raja Pasir (dimenangi oleh Gabit) tertumpu kepada corak kawalan pendikit dan pengendalian di laluan berpasir. Bagi mereka yang sering berlumba di dalam sukan motocross dilihat ada mempunyai sedikit kelebihan. Perlumbaan yang cukup menarik ini dimulakan pada jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 5.30 petang.
Setelah selesai, sesi cabutan bertuah diadakan dengan menawarkan pelbagai hadiah-hadiah menarik untuk dibawa pulang sebagai kenangan. Para peserta kemudiannya bergerak semula ke kawasan perkhemahan yang jaraknya lebih kurang 10 kilometer untuk berehat. Ada juga peserta dan krew bersiap-siap untuk pulang tetapi masih ramai yang membuat keputusan untuk bermalam sehari lagi.
Berharap penganjuran perlumbaan lasak seperti Rimba Raid ini bukan hanya dapat mencabar kelasakan jentera dan penunggangnya tetapi juga menjadi platform terbaik untuk mempromosikan Taman Negara buat para pengembara motosikal dari luar negara. RR
Popular