Bubur Lambuk Special Kawasaki
Lebih 2,000 bungkus bubur lambuk telah berjaya dimasak dan disediakan oleh kakitangan Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd, rakan-rakan pemilik Kawasaki dan para media sempena program 2018 Bubur Lambuk Special Kawasaki yang diadakan pada 26 Mei lalu. Hadir memeriahkan majlis penyediaan bubur ini ialah Pengarah dan Pengurus Besar KMSB, Dato' Jeffrey Lim yang tidak melepaskan peluang menunjukkan bakatnya dalam memasak.
Bubur lambuk merupakan antara juadah berbuka puasa yang popular di Malaysia dan pada hari tersebut, persiapan serta penyediaan memasak telah diketuai oleh En Zaidi Omar. Proses bermula pada jam 9.00 pagi dan berkat kerjasama yang telah diberikan, juadah istimewa ini siap sepenuhnya kira-kira pada jam 2.00 petang.
Dengan bantuan para bikers Kawasaki yang sentiasa memberi sokongan pada program anjuran KMSB, proses penghantaran bubur lambuk ke beberapa rumah anak yatim di Klang, Shah Alam dan PJ dapat disempurnakan dengan cukup teratur dan cepat. Penghantaran turut dibuat ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dan Balai Bomba Bukit Jelutong. Kawasaki turut mengagihkan sebahagian lagi bubur lambuk kepada orang ramai di Pasar Ramadhan Stadium Shah Alam pada petang tersebut.
Melalui program murni ini, ia bukan sahaja memberi peluang buat para penganjur dan peserta untuk beramal di bulan mulia tetapi juga merapatkan hubungan kekeluargaan di antara kakitangan KMSB dan para pemilik Kawasaki. RR
Popular