Jamboree Motor Lasak Di Sungai Congkak
Hampir 250 orang pemilik jentera motocross membanjiri Kampung Parit Belukar, Hulu Langat sempena Moto Moto Hulamox Scrambler Jamboree yang diadakan khusus untuk memberi peluang kepada para pencinta dunia motosikal lasak berkumpul sesama rakan, menikmati keindahan alam, menguji skill tunggangan masing-masing dan semangat kerjasama yang tinggi ketika merentasi laluan-laluan sukar. Jamboree yang diadakan pada awal April lalu juga dianjurkan untuk mempromosikan daerah Hulu Langat khususnya Sungai Congkak sebagai destinasi Eco Tourism yang cukup seronok untuk dilawati. Acara ini telah menerima sambutan yang hebat daripada para pelumba dari Singapura dan Indonesia.
Menurut Tuan Hj Jamil selaku pengasas Moto Moto dan juga penganjur acara ini, ia merupakan penganjuran yang pertama seumpamanya di Malaysia dan beliau cukup teruja dan berbangga dengan jumlah kehadiran peserta yang hadir. Lebih menarik, tiada pemenang dalam acara ini tetapi semua peserta akan menerima medal sebaik sahaja melintasi garisan penamat dan layak menyertai acara cabutan bertuah yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa seperti motosikal Kawasaki KX450f (2013), Yamaha Y15ZR, tiket penerbangan ke Australia, Chiang Mai, Langkawi dan banyak lagi.
“Trek yang kami sediakan ini lebih kurang sejauh 35 kilometer. Ia merangkumi jalan lasak berbukit, merentasi empat buah sungai dan keadaan bumi yang cukup mencabar dengan tiga buah lokasi yang disediakan untuk mereka yang ingin berehat. Bagi penunggang lasak berpengalaman, ia memerlukan sekitar tiga hingga lima jam untuk melengkapkan perjalanan ini. Sememangnya perjalanan yang ditempuhi oleh para peserta cukup lasak dan memerlukan kecekalan serta kerjasama yang baik di kalangan mereka,” kata En. Ahmad Nazri, Pengasas Hulu Langat Motocross (Hulamox).
Para peserta telah dilepaskan pada jam 10.00pagi dan serta merta mereka diuji dengan laluan mendaki yang cukup mencabar. Bagi mereka yang berpengalaman, kawalan pendikit yang baik dan tepat membolehkan pendakian dapat dilakukan dengan cepat tetapi bagi peserta baru, ia sememangnya cukup sukar sekali. Ramai yang terkandas dan terjatuh tetapi dengan bantuan krew Hulamox yang seramai 19 orang dan petugas di kalangan orang asli seramai 20 orang, segala kepayahan akhirnya tetap berjaya diatasi.
“Ia satu penganjuran yang cukup berjaya. Laluan yang dipilih memang lasak dan cukup menarik. Hampir tiada masa untuk rehat…ekstrim sekali. Amat bagus kerana Malaysia kini mempunyai ramai yang minat pada sukan ini. Kami yang datangnya dari Indonesia perlu menyewa motosikal di sini dan harus mencari keserasian terlebih dahulu. Jika di masa hadapan kami boleh membawa jentera sendiri pastinya lebih seronok,” komen Sdr Zainal Aqly dari Palembang.
“Trek memang bagus! Memang perlu skill dan stamina yang tinggi kerana ia cukup sukar. Saya ambil masa lebih kurang tiga jam untuk habiskan perjalanan dan laluan paling sukar ialah ketika menuruni bukit yang terdapat banyak akar kayu. Saya juga lebih seronok sebab menang hadiah utama!” kata Sdr Norazam Mohd Ridzuan dari Kedah yang baru sahaja mendirikan rumah tangga pada 19 Mac lalu.
Kesemua peserta yang menghadiri dan menyertai jamboree ini berharap ianya dapat dilakukan lagi di masa hadapan kerana ianya sangat berbeza dengan perlumbaan biasa. Walaupun terpaksa berhadapan dengan perjalanan yang cukup lasak, para peserta tidak menghadapi sebarang tekanan untuk menang’ sebaliknya dapat menghayati alam sekitar dalam cuaca yang baik sekali dan semangat kerjasama di antara rakan taulan. RR
Popular