Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 29 Disember 2020

Muzium Sejarah Motorsport Di Phillip Island

Para penonton yang hadir ke perlumbaan pusingan pertama WSBK di litar ikonik Phillip Island, Australia pastinya telah berkesempatan mengunjungi satu tempat yang cukup istimewa iaitu Muzium Sejarah Motorsport atau lebih tepat, History Motorsport Museum yang terletak di Pusat Pengujung litar tersebut. Di sini para pencinta motosikal akan dapat melihat koleksi hebat jentera kilang dua lejang buatan Itali dari jenama Aprilia dan Cagiva yang baru sahaja dimiliki oleh pemilik litar ini, keluarga Fox.

Sumber jentera hebat ini diperoleh daripada simpanan peribadi warga Itali dan juga dari Roberto Ziletti, dahulunya cukup popular kerana memiliki Mondial Superbike dan jentera offroad VOR. Di ruang pameran telah disusun 24 buah jentera – 15 Aprilia dan sembilan Cagiva, termasuk beberapa mesin yang pernah menjuarai World Championship.

Jentera-jentera ini telah beraksi di litar seluruh dunia dengan megahnya di antara tahun 1987 hingga tahun 2000 dan pernah ditunggangi oleh bintang motosikal era baru termasuk Valentino Rossi, Max Biaggi dan Loris Capirossi bersama Aprilianya serta pelumba Amerika Eddie Lawson, Randy Mamola dan John Kocinski yang menunggang Cagiva. Benar, daripada semua motosikal yang dipamerkan di sini, 15 buah Aprilia itu telah pun menjadi juara sebanyak 15 kali dengan jumlah keseluruhan podium sebanyak 152 kali. Sembilan buah Cagiva turut mencipta kemenangan penuh bersejarah dengan menewaskan banyak pengeluar lain.

Principal kami, Andrew Foz terdengar mengenai jentera Aprilia ketika dalan penerbangannya ke Milan dan terus berminat untuk mendapatkan jentera-jentera ini agar dibawa pulang ke litar, Australia. Kami kemudiannya mendapati terdapat muzium swasta yang mempunyai koleksi Cagiva dan kami terus menemuinya, Roberto Ziletti. Selepas bersetuju dengan harganya, maaflah ya… ini rahsia, motosikal akhirnya dibawa masuk. Oleh kerana ia dihantar menggunakan kapal, kesemua jentera ini tiba kira-kira seminggu sebelum Mesyuarat Tahunan Motosikal Bersejarah dimulakan.

Kevin Prendergast merupakan kurator untuk koleksi ini. Dia berjaya menyempurna-kan tugasnya untuk menyusun setiap jentera di ruang pameran tepat pada masanya. Selain terdapat sedikit masalah di beberapa komponen magnesium dalam pelayaran, boleh dikatakan kesemua jentera yang dibawa ke Australia berada dalam keadaan yang cukup baik.

Saya amat suka dengan maklum balas dan respon yang cukup positif daripada para pengunjung yang melihat setiap jentera ini di depan mata. Usaha untuk menyimpan dan memelihara motosikal penuh sejarah ini memang satu usaha yang cukup baik yang sedang dilakukan oleh keluarga Fox. Sebagai pencinta motosikal, kita pastinya sangat teruja apabila dapat melihat dan membelek sebuah jentera lumba yang sebelum ini pernah ditunggang oleh para pelumba terkenal.

Sembilan buah Cagiva yang tersusun megah ini adalah satu daripada kebanggaan Itali. Era tersebut amat bermakna sekali buat mereka kerana Cagiva berjaya memberi ancaman dan cabaran buat pengeluar Jepun. Nama Cagiva muncul dalam perlumbaan 500GP Racing dan ia dibuat sepenuh di bekas kilang Harley Davidson – kini dimiliki oleh MV Agusta. Walaupun begitu, adik beradik Castiglioni yang memiliki Cagiva terpaksa menunggu sehingga tahun 1987 untuk melihat jentera mereka yang berkuasa 153bhp, V4 ditunggang oleh Raymond Roche dan Didier de Radigues dalam perlumbaan 500GP. Jentera tajaan Roche Bastos V587 merupakan model tertua yang dipamerkan di litar ini.

Aprilia RS125R ditunggang oleh Alessandro Gramigni dan Valentino Rossi.
Aprilia RS125R ditunggang oleh Alessandro Gramigni dan Valentino Rossi.

Turut dipamerkan ialah model V590, enjin V4, 162hp yang ditunggang oleh bintang dari Brazil, Alex Barros pada tahun 1990 dan naib juara 500GP, Randy Mamola dalam perlumbaan terakhirnya bersama pasukan Itali. Randy berjaya mendapatkan podium pertama di Belgium pada tahun 1988 tetapi telah terlibat dalam kemalangan ketika berlangsung sesi pemanas di Litar Assen.

Turut dipamerkan ialah model GP500 paling cantik yang pernah dibuat, jentera eksperimen Barros tahun 1990 yang menggunakan casis gentian kaca dari kejuruteraan Ferrari. Pastinya para pengunjung akan mencari jentera Cagiva paling popular yang pernah digunakan oleh pelumba lagenda dunia, Eddie Lawson yang bukan sahaja memberi kejutan hebat di kemunculan awal beliau bersama pengeluar Itali ini malah berpotensi besar untuk muncul juara.

Pada tahun 1992, Cagiva memperkenalkan enjin konsep Big Bang pada perlumbaan di Assen dan ia adalah satu penciptaan sangat hebat apabila Lawson telah membawa Cagiva ke petak pertama dalam sejarah jentera ini dalam GP500. Namun begitu, jentera V592 ini terpaksa menunggu kira-kira seminggu untuk dinobatkan sebagai juara dan ya... jentera ini turut dipamerkan di Phillip Island.

Selepas Lawson bersara daripada dunia perlumbaan, dia telah diganti oleh pelumba dari Amerika, Doug Chandler yang dengan pantas menunjukkan kemantapannya mengendalikan jentera berkuasa 178bhp V593. Ketika sedang cuba memperbaiki kedudukannya, Chandler tercedera dalam perlumbaan kedua di Malaysia manakala rakan sepasukannya Mat Mladin masih sedang bergelut untuk mencari keserasian memacu 500GP.

Model RSW250s yang pernah ditunggang oleh Marco Melandri (2002) dan Manuel Poggialli (2003).

Pada tahun 1994, kemunculan model Massimo Tamburini V954 yang menggunakan casis jenis komposit digabungkan dengan spar karbon yang diperketatkan ke kepala stering dan komponen lengan ayun dibuat dengan aluminium. Jentera ini berkuasa 185bhp – membolehkan John Kocinski mencapai kejayaan di GP Australia dan kemudiannya mendapat tempat kedua di Malaysia. Cagiva ini berjaya berada tujuh kali di podium seterusnya menamatkan cabarannya tahun itu di tempat ketiga keseluruhan.

Daripada Cagiva, ruang pameran ini turut memberi kita peluang mendekati jentera Aprilia yang kesemuanya pernah berada di litar-litar perlumbaan ketika persaingan jentera dua lejang sejak tahun 1985. Pengasasnya, Iwan Beggio merupakan seorang pencinta dunia motocross yang kemudiannya dipujuk untuk menyertai perlumbaan jalanan.

Banyak model Aprilia di muzium ini seperti model yang dibangunkan oleh jurutera dari Belanda, Jan Witteveen. Dia telah mengharumkan nama Aprilia banyak kali di Kejuaraan Dunia ketika berkhidmat untuk syarikat ini selama 16 tahun. Kejayaan awalnya tiba pada tahun 1989 – ironinya dia daripada Cagiva. Witteveen adalah orang yang bertanggungjawab melakukan evolusi untuk Aprilia Corse untuk berada sama hebat dengan Honda HRC. Aprilia ketika itu mempunyai 90 orang kakitangan yang sentiasa membangunkan dan mencipta kira-kira 50 buah jentera lumba setiap tahun.

Roberto Ziletti sendiri mempunyai koleksi jentera Aprilia ini yang dibeli terus daripada Witteveen beberapa tahun lalu dan juga telah beberapa kali menunggang-nya di litar. “Bagi saya, adalah satu penghargaan dapat membeli dan menyimpan jentera istimewa yang dihasilkan oleh jurutera yang bijaksana. Saya tidak mempunyai kemudahan untuk mempamerkannya kepada orang awam jadi apabila Fergus Cameron datang berjumpa dan memberitahu saya untuk meletakkan koleksi saya di litar terhebat dunia, sudah pasti saya bersetuju,” komen Ziletti.

Roberto Ziletti bersama koleksi motor Cagiva.
Roberto Ziletti bersama koleksi motor Cagiva.

Roberto Ziletti merupakan seorang pencinta motosikal dan juga merupakan bekas pelumba MX, seorang hartawan yang mula menyimpan jentera GP penuh sejarah ini sejak dipaksa untuk menutup jenama Mondial pada tahun 2014. Dia telah membelanjakan kira-kira 11 juta Euro untuk menghidupkan kembali jenama ini bermula dengan Peiga 1000 Superbike yang menggunakan enjin yang dibekalkan oleh Honda – SP-01/RC51 V-Twin. Sebanyak 35 unit Piega telah dijual di peringkat awal manakala pesanan juga semakin meningkat.

Ziletti kemudiannya telah menerima tawaran yang sangat lumayan untuk melepaskan Lastra Group, syarikat grafik gergasi miliknya yang mempunyai tujuh buah kilang di Eropah, India dan USA – tawaran ini tidak dilepaskannya.

Ziletti kemudiannya menumpukan perhatian dalam bidang pemulihan bangunan dan perumahan di Itali dan terkini beliau menumpukan seluruh perhatiannya dalam perniagaan minyak zaitun iaitu produk extra virgin berkualiti tinggi dengan kejayaan menerima anugerah The World Best Olive Oil untuk dua tahun berturut-turut 2015 dan 2016. Dengan kesibukan jadual pekerjaannya, Ziletti ternyata cukup gembira apabila koleksinya kini berada bersama mereka yang pakar dan pencinta dunia permotoran yang sejati.

Muzium ini turut menempatkan Aprilia RS125R, jentera yang memberikan takhta Juara Keseluruhan pertama buat pengeluar Itali menerusi tunggangan Alessandro Gramigni pada tahun 1992. Lebih istimewa apabila kemenangan itu berjaya dicapai walaupun ketika Gramigni sedang mengalami kecederaan (patah kaki) akibat kemalangan jalan raya di pertengahan musim. Motosikal sama tunggangan 'The Doctor' (Valentino Rossi) yang menang sebanyak 11 kali dan 13 kali ke podium pada tahun 1997.

Pasukan British 2017 Island Classic dari kiri : James Hillier, John McGuiness, Glen Richards, Jeremy McWilliams dan Conor Cummins bersama Aprilia RSV500.
Pasukan British 2017 Island Classic dari kiri : James Hillier, John McGuiness, Glen Richards, Jeremy McWilliams dan Conor Cummins bersama Aprilia RSV500.

Tidak kurang daripada empat buah mesin World Championship Aprilia RSW250 yang dimulakan dengan jentera milik Max Biaggi yang menguasai persaingan ini pada tahun 1994 hingga 1996. Pada tahun 1995, beliau telah muncul juara sebanyak lapan kali dan memperoleh kejayaan ke podium sebanyak empat kali untuk meraih juara keseluruhan. Turut dipamerkan ialah jentera milik Loris Capirossi yang menjadi juara penuh kontroversi pada tahun 1998. Masih jelas di ingatan ketika itu Loris dan rakan sepasukannya Tetsuya Harada bersaing dalam perlumbaan akhir hanya dengan perbezaan empat mata – bererti kedua-duanya boleh menjadi juara keseluruhan.

Ketika berada di selekoh akhir, Harada berada di tempat kedua manakala Capirossi di tempat ketiga. Jentera Harada disondol dari belakang oleh Capirossi menyebabkan dia terbabas ke luar litar. Capirossi dapat mengawal mesinnya untuk meraih tempat kedua, di belakang pelumba rookie iaitu Valentino Rossi yang masih cukup muda. Tempat kedua sudah cukup buat Capirossi untuk menggenggam gelaran Juara Keseluruhan 250cc pada tahun 1998. Diletakkan berdekatan dengan jentera Capirossi ini ialah model RSW250S yang pernah ditunggang oleh Marco Melandri (2002) dan Manuel Poggialli (2003).

Tidak puas dengan jentera-jentera itu, pihak muzium turut menyempurnakan ruang pameran dengan tiga daripada empat buah jentera Aprilia RSW500 v-kembar yang pernah dibina di dunia ini. Dua daripadanya adalah mesin tunggangan Jeremy McWilliams pada tahun 2000 dan satu lagi adalah milik Tetsuya Harada pada persaingan musim 1999.

Muzium ini memang cukup mempesonakan tetapi apakah rancangan mereka selepas ini. Mungkin bilangan dan koleksi boleh diperbanyakkan? Ditambah dengan jentera perlumbaan dari pengeluar Jepun pula? Jentera perlumbaan superbike juga sesuai untuk tatapan umum. Sama-sama kita tunggu! RR

Laporan dan kredit foto: Alan Cathcart

Isu Pada

Mei 2017

Popular

  • Dari Litar

    Voge Formica Rossa 150 Bakal Muncul di Perlumbaan CubPrix & ARRC Musim Depan

  • Warta Roda

    Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

Artikel berkaitan

Honda RS150R Tiba Dengan Warna Baru

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Disyorkan untuk anda
Warta Roda

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pe­ngangkut sampah dan me­lakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.

Warta Roda

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) sehingga kini telah pun menyerahkan sejumlah 1,092 unit motosikal elektrik iaitu MEV-1 Pro khusus kegunaan pihak Pos Malaysia Berhad.

Model Baru

EICMA 2024: Honda Perkenalkan CL500, Jentera Retro Moden

Model baru ini menyasarkan para peminat dua roda muda yang mementingkan gaya retro dengan spesifikasi moden.

Model Baru

Aprilia RS457 Dilancarkan. Harga dari RM33,900

Didi Group selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia telah melancarkan model 'superbike' terbaru iaitu Aprilia RS457.