Kempen Derma Darah Kawasaki "Your Gift Of Life"
Tahniah buat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) atas kejayaan menganjurkan kempen derma darah buat kali ke-9 yang diadakan di Summit USJ Mall, Subang Jaya pada April lalu. Hadir memeriahkan majlis serta penyokong kuat kempen ini ialah Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Dato' Jeffrey Lim sambil ditemani oleh Dr. Ailin Mazuita Mazlan, Pakar dari Pusat Darah Negara.
“Sejak sembilan tahun lalu, kami menganjurkan Kempen Derma Darah untuk menyumbang sesuatu yang berharga kepada komuniti dan ini juga adalah satu lagi program Corporate Social Responsibility (CRS) daripada KMSB. Derma darah demi kebaikan bersama adalah satu usaha murni dan kali ini kami menggelarkannya Your Gift Of Life dan ianya adalah satu 'pemberian' yang tiada nilainya,” kata Dato' Jeffrey.
Kempen tahunan ini yang diadakan pada setiap hari Sabtu, minggu ketiga dalam bulan Mac sentiasa mendapat sokongan yang cukup menggalakkan daripada pengguna Kawasaki yang hadir dari merata tempat. Tahun lalu, kempen ini telah berjaya menerima sebanyak 251 orang penyumbang dan untuk tahun ini jumlahnya meningkat menghampiri seramai 300 orang.
“Saya ikuti kempen ini sejak sembilan tahun yang lalu kerana inilah salah satu cara untuk memberi sumbangan kepada masyarakat. Selain itu di sini juga saya dapat berjumpa dengan kawan-kawan baru dan lama. Saya menunggang Versys 650 dan sudah mengikuti hampir kesemua ride dan program yang dianjurkan oleh pihak KMSB.” kata En. Azmi Idris atau lebih popular dengan panggilan 'Atok Mie'.
“Sejak memiliki Z800, telah banyak kali saya ikuti program dan konvoi anjuran KMSB. Ini adalah kali kedua saya sertai kempen derma darah anjuran KMSB dan kerap juga bersama kumpulan lain untuk tujuan yang sama. Tujuan saya menderma ialah kerana keinginan untuk menyelamatkan mereka yang memerlukan darah manakala Pusat Darah Negara juga ada memaklumkan kekurangan bekalan darah buat ketika ini,” kata En. Zamari Ibrahim dari Selayang. RR
Popular