Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung YAMAHA 2018
Kempen murni yang dianjurkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) iaitu Kempen Keselamatan Jalan Raya Balik Kampung kini masuk tahun ke-20. Tahniah diucapkan. Usaha murni adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pengguna jalan raya untuk sentiasa memandu dan menunggang dengan selamat terutamanya ketika menjelang musim perayaan. Intipati kempen terdiri daripada pameran keselamatan dan pemeriksaan ciri-ciri keselamatan secara percuma. Saban tahun, kira-kira sebanyak 900 buah motosikal telah diperiksa tanpa mengira jenama motosikal.
Tahun ini, HLYM dengan usaha bersama Persatuan Penjual Motosikal & Skuter Malaysia kembali dengan menambah lebih banyak elemen mengenai keselamatan jalan raya khusus buat para penunggang. Dengan tema '20 Tahun – Bersama Menjana Keselamatan Jalan Raya', pihak HLYM berharap agar para penunggang motosikal akan lebih berwaspada dan sedar betapa pentingnya pemeriksaan motosikal serta tunggangan yang selamat.
“Kerjasama ini dianjurkan dengan tujuan untuk menanam dan meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya di kalangan netizen dan ia adalah satu tanggungjawab bersama untuk semua pihak. Selain itu, HLYM turut menganjurkan pelbagai program lain seperti Yamaha Safety Riding Science (YSRS), YSRS Kids, Meta Program dan Celik Yamaha,” kata Pengarah Urusan HLYM, Dato' Jim Khor.
Hadir merasmikan kempen tersebut ialah Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang menegaskan bahawa program-program berhubung keselamatan jalan raya akan terus diperkasakan agar dapat membantu menurunkan kadar kemalangan yang melibatkan pengguna jalan raya. Beliau turut menyarankan agar pendekatan berhubung isu ini mula dititik beratkan kepada anak-anak di usia yang masih kecil menerapkan nilai-nilai murni.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, para mekanik HLYM telah melakukan pemeriksaan pada 15 titik keselamatan dengan rapi pada setiap jentera yang didaftarkan disamping pemberian topi keledar dan jaket keselamatan dengan percuma. Bersempena dengan kempen tersebut, HLYM turut mengadakan pemeriksaan keselamatan percuma di tiga buah cawangan mereka sebelum menjelangnya aidilfitri bulan lalu. RR
Popular