Konvoi Media Bersama Modenas
Tahun 2017 merupakan tahun untuk MODENAS menyerlahkan lagi potensi mereka dalam industri motosikal tanahair. Pelbagai rancangan dan program telah diadakan untuk memantapkan penguasaan pasaran jenama buatan Malaysia ini. Setelah pelancaran dua buah model skuter pada penghujung tahun 2016, MODENAS kini kembali di landasan permotoran negara dengan lebih agresif tahun ini dengan persediaan untuk melancarkan sekurang-kurangnya lima model motosikal dalam beberapa kategori yang popular.
Sehubungan dengan itu, MODENAS telah menjemput beberapa wakil media (enam orang) untuk menguji model terbaru mereka ke negeri Melaka pada Januari lalu. Konvoi ini turut mendapat tajaan daripada pihak GIVI Malaysia yang menaja jaket hujan untuk setiap wakil media. Konvoi dilepaskan kira-kira pukul 9.30 pagi di perkarangan Kompleks EON, Glenmarie, Shah Alam dengan kibaran bendera MODENAS.
“Menerusi perancangan tahun 2017 dan tahun- tahun berikutnya, kami (MODENAS) yakin dan optimis akan dapat memperbaiki kedudukan untuk mempertingkatkan prestasi jualan motosikal tahun ini. Kami menguasai pasaran sebanyak 9% pada tahun lalu, angka berkenaan dijangka dapat dipertingkatkan kepada 13% untuk tahun ini dengan pengenalan enam model baru yang bakal menemui peminat dan pengguna jenama MODENAS,” jelas En. Amirudin Abdul Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif MODENAS.
Tambah En. Amirudin lagi, para wartawan permotoran juga adalah tunjang kejayaan dan kebangkitan semula jenama MODENAS. Dengan memberikan keyakinan kepada peminat dan pelanggan melalui pandu uji serta ketahanan enjin yang telah terbukti, MODENAS yakin dengan produk-produk yang dipasarkan akan berjaya menarik minat pembeli.
Model motosikal yang disediakan adalah dua buah Elegan 250, dua buah Karisma 125, sebuah CT115S dan sebuah Kymco Downtown 250. Pihak media berpeluang menguji kesemua model motosikal yang disediakan mengikut giliran seperti yang diaturkan. Tiga buah kenderaan bantuan turut disediakan oleh pihak MODENAS.
Konvoi bergerak dengan selamat dari Shah Alam melalui lebuh raya Elite dan PLUS menuju negeri Melaka. Setelah lebih sejam menunggang sehingga hentian rehat Seremban, konvoi berhenti untuk mengisi petrol dan menukar motosikal. Kemudiannya meneruskan perjalanan melalui daerah Pedas, Linggi (Negeri Sembilan) dan menuju ke Pengkalan Balak untuk makan tengahari di situ. Walaupun menunggang dalam situasi hujan sepanjang hari, para peserta masih fokus dan bertenaga untuk meneruskan perjalanan sehingga ke bandaraya Melaka. Jaket hujan model RRS03 yang disediakan oleh pihak GIVI memberikan perlindungan daripada air hujan dengan optimum sepanjang satu hari berkonvoi. Terima kasih GIVI!
RR berkesempatan menguji dua model MODENAS iaitu Karisma 125 dan Elegan 250. Prestasi Karisma 125 agak mengejutkan dengan membuat perjalanan dari Shah Alam ke Melaka. Walaupun bersaiz kecil, dengan posisi tunggangan yang ergonomik, ia membuatkan kita tidak berasa letih untuk menunggang dalam jangka masa yang agak lama. Rekaan bahagian hadapannya memberikan perlindungan daripada percikan air hujan dengan baik sekali.
Manakala Elegan 250 amat stabil ditunggang tidak mengira apa jua keadaan jalanraya. Dengan saiz tayar yang lebar depan dan belakang ia mencengkam dengan kemas permukaan jalan. Hamburan kuasa enjinnya juga amat bertenaga dan tangkas. Manakala saiz pelananya yang luas dan empuk dapat memberikan keselesaan kepada penunggang dan juga pembonceng.
RR juga telah menguji model Karisma 125 selama seminggu untuk mengenali karakter skuter comel ini. Sila rujuk ruangan Pandu Uji yang turut disiarkan dalam keluaran bulan Mac ini.
Sekitar jam 2.30 petang, para peserta tiba di Bandaraya Melaka dan meneruskan perjalanan sehingga ke tempat penginapan yang telah disediakan di hotel Imperial Heritage. Majlis makan malam turut diadakan di hotel.
Keesokan paginya, para peserta mengambil motosikal ujian masing-masing untuk sesi bergambar di sekitar Bandaraya Melaka. Antara tempat-tempat menarik yang dikunjungi adalah Kota A’Famosa, Memorial Peng-isytiharan Kemer-dekaan, Jonker Street, Muzium Samudera, Menara Taming Sari, Dataran Pahlawan dan banyak lagi. Selesai mengambil gambar di sekitar bandar, para peserta pulang ke Glenmarie untuk memulangkan semula motosikal MODENAS dengan selamat.
Selain dapat menikmati keindahan Bandaraya Bersejarah Melaka, para media juga dapat mengetahui dengan lebih dekat mengenai hala tuju MODENAS di masa akan datang. Nantikan pelancaran motosikal yang popular 150cc dalam kelas supermoped pertengahan tahun ini! RR
Popular