Kawasaki Raikan Pengembara Indonesia
Kemampuan dan kejayaan beberapa pengembara motosikal Malaysia seperti En. Zainal Baharuddin dan En. Sham yang telah menjelajah ribuan kilometer bersama Kawasaki Versys 650 ke seluruh dunia ternyata memberi semangat dan motivasi buat seorang pencinta motosikal dari seberang untuk turut mencabar diri mengembara ke dunia serba baru.
Stephen Langitan seorang pencinta motosikal dan blogger dari Jakarta kini sedang mencipta sejarah menyempurnakan pengembaraan solonya ke London dengan menunggang sebuah Kawasaki Versys X 250. Perjalanan yang bakal ditempuh adalah sejauh 30,000 kilometer dengan merentasi 26 buah negara. Ketika ditemui di Ibu Pejabat Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB), Stephen telah membuat perancangan yang cukup teliti untuk bertolak pada 25hb Mac dan tiba di London pada tanggal 17 Ogos 2018 bersempena Hari Kemerdekaan Indonesia yang ke-73.
“Saya memilih Kawasaki Versys X 250 kerana ia telah terbukti tahan lasak, ringan, pengendalian mudah dan cukup jimat. Walaupun telah dikemaskan dengan pelbagai jenis kelengkapan mengembara, Versys ini tetap ringan. Jika terjatuh sekalipun, saya masih mampu untuk mendirikannya tanpa perlu bantuan orang lain. Sesuai dengan taglinenya, “Any Road, Any Time”, saya cukup selesa dan yakin dengan prestasi jentera ini. Satu tangki penuh 17 liter Versys ini dapat mengembara sejauh 450km dan sememangnya penjimatan bahan api sangat diperlukan dalam sebarangan pengembaraan,” kata Stephen.
Untuk kekal stabil dalam semua keadaan, Versys X 250 itu telah dilengkapkan dengan tayar-tayar Metzeler Tourance yang telah diubahsuai oleh Stephen menjadi tayar tubeless. “KMSB sentiasa menyokong dan berbesar hati dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh Stephen. Kami juga bersedia untuk membantu dari segi alat ganti jika beliau memerlukannya. Tidak kira di mana sahaja, kami akan mencuba sebaiknya untuk menghantar apa juga alat ganti Kawasaki yang diperlukan agar perjalanan beliau tidak terganggu,” kata Pengurus Besar dan Pengarah KMSB, Dato' Jeffrey Lim. RR
Popular