ATM Gathering 2018
ATM Adventure Touring Malaysia ditubuhkan sejak 2012. Pengasasnya ialah En. Shuib Sidek atau lebih dikenali di kalangan para biker sebagai Eid Sidek, seorang pencinta dunia pengembaraan yang berasal dari Jitra, Kedah. Ketika ditubuhkan, ATM hanya disertai oleh lebih kurang 200 ahli saja yang kesemua dari media sosial facebook group.
ATM ditubuhkan bagi bertujuan mewar-warkan aktiviti para pengembara Malaysia tanpa mengira kenderaan dan cara mereka beraktiviti seperti kenderaan lasak 4x4, motosikal besar dan kecil, basikal serta penggunaan perkhidmatan awam dan sebagainya. Kehadiran peserta pada perhimpunan ATM di Kuala Selangor lebih kurang 500 orang.
Antara nama-nama overlander yang cukup popular hadir memberi sokongan kepada penganjuran ini ialah En. Zainalb Celestet bersama isterinya (Pengembara Dunia dengan motosikal Versys 650 dan kenderaan pacuan 4x4), sdr Alfishahrin dan isterinya Diana, dengan menunggang Honda RS150, En Rial Hamzah, rider dari Indonesia (Explorasi Indochina), Cikgu Joe Satun (sukarelawan bebas rakyat Malaysia yang menetap di Thailand) dan Pak Hamid (Yellow Cruiser 4x4 Jelajah Tanah Melayu dan Asean).
Tujuan program ini diadakan adalah untuk berkumpul dan perkongsian sesi bual bicara mengenai informasi serta panduan cara-cara memasuki sesebuah negara dengan menggunakan jalan darat, laut atau udara.
Menerusi perkongsian ini, rakan-rakan pengembara berpengalaman boleh memberikan maklumat penting agar perjalanan di dalam negara asing lebih selamat dan sempurna.
Turut dibincangkan ialah pelancaran Pitstop yang merupakan sebuah tempat singgahan buat para pengembara yang dibina di beberapa daerah di seluruh negara. Di Pitstop ini, para pengembara dapat berkumpul sesama rakan, menikmati pelbagai juadah, cenderahati dan juga informasi mengenai daerah atau tempat tempat yang boleh dikunjungi dan tujuan utamanya juga sebagai bahan tarikan pelancong untuk bergambar sebagai kenangan. Pitstop ini juga dikenali sebagai Malaysia Local Route (MLR) yang kini jumlahnya semakin berkembang dengan pesat.
19 Oktober 2018
Walaupun sudah menjelang 12.30 tengah malam, ramai penunggang motosikal dari Perlis, Kedah dan Penang sudah mulakan perjalanan mereka menuju ke tempat acara perhimpunan iaitu di Kuala Selangor. ATM Gathering mendapat kerjasama dari pihak Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) dan kehadiran Pn. Rahilah Binti Rahmat selaku Yang DiPertua MDKS untuk merasmikan program ini cukup mengujakan. Hadir bersama di majlis tersebut ialah Dato Mohd Yaacob Bin Dato Ismail, Orang Besar Daerah Kuala Selangor.
Antara intipati dari ucapan YDP MDKS, beliau mengharapkan agar acara ini menjadi program tahunan di Kuala Selangor agar ia lebih dikenali di mata dunia khasnya oleh para pengembara dan pelancong dari luar negara.Antara keunikan yang terdapat di Kuala Selangor ialah pengalaman melihat kelip kelip yang kedua besar di dunia di waktu malam, bergambar kenangan di pantai sky mirror dan khasnya dalam industri perikanan dan perladangan.
Program lawatan yang disediakan untuk peserta-peserta ATM Gathering ialah Festival of Wings yang menghimpunkan burung-burung sedunia di Taman Alam. Peserta konvoi kemudiannya berkunjung ke Bukit Melawati yang penuh indah dan bersejarah.
Turut mengisi jadual pada hari tersebut ialah Lawatan ke Tapak Kesenian Arca Seni dan Grafik yang terletak di Jalan Sasaran Jeram, Kuala Selangor yang turut dihiasi dengan arca-arca yang cukup unik. Untuk menyegarkan badan, para peserta dibawa pula menikmati makanan di dalam kampung seperti cendol sawit, nasi ambeng dan banyak lagi.
20 Oktober 2018
Setelah selesai makan tengah hari, para peserta bebas untuk melakukan aktiviti masing-masing hinggalah ke petang. Di sebelah malam pula, para peserta dibawa ke tempat Klip Klip di Kampong Kuantan.
21 Oktober 2018
Selesai sarapan pagi, peserta bergerak pulang ke destinasi masing masing. Pihak penganjur mengucapkan jutaan terima kasih buat rakan biker yang sudi meluangkan masa untuk datang ke perhimpunan ATM di Kuala Selangor. RR
Popular