BMW Motorrad Nightfuel 2018: Dapat Sambutan Meriah!
BMW Motorrad Malaysia telah menyambut Making Life a Ride bersempena BMW Motorrad Nightfuel 2018. Acara ini telah diadakan pada 7 April lalu di Putrajaya Recreation Airport (Airfield). Majlis pada malam tersebut dimeriahi dengan muzik, pelbagai aktiviti dan makanan. Ini merupakan pertemuan terbesar buat para penunggang serta peminat-peminat motosikal premium khususnya BMW dari seluruh pelusuk Negara.
Acara yang cukup meriah ini merupakan penganjuran keempat selepas dua kali di Bangsar dan di Pulau Pinang tahun lalu. Pihak BMW Motorrad Malaysia tidak ragu-ragu untuk mengadakan penganjuran ini setelah mendapat sambutan yang hangat pada majlis sebelum ini. Program ini bertujuan untuk memberikan sesuatu penghargaan kepada Bike Community dan juga untuk mengucapkan terima kasih kepada pelanggan BMW di seluruh Malaysia. “Kami amat gembira kerana mendapat maklum balas yang baik pada majlis hari ini. Ramai para bikers tidak melepaskan peluang untuk datang ke sini. Pada acara yang lepas telah mendapat sambutan lebih kurang 600 orang yang hadir tetapi kali ini mungkin lebih lagi,” kata Mr. Owen Riley, Ketua BMW Motorrad.
Peserta yang hadir telah dipratontonkan dengan sembllan model BMW terkini iaitu S 1000 XR, R 1200 GS Rallye, R nineT Urban G/S, R nineT Pure, S 1000 RR, S 1000 R, K 1600 B, R 1200 RT dan HP4 Race. Turut diadakan pertunjukan fesyen di mana para model telah memaparkan peralatanperalatan menunggang terkini BMW Motorrad seperti jaket, kasut, seluar helmet dan sut perlumbaan. Antara salah seorang model adalah En. Nasarudin Mat Yusop, pelumba jentera BMW yang bersaing dalam Malaysia Superbike Championship (MSC).
Bagi memeriahkan majlis pada malam tersebut, para hadirin telah dihiburkan dengan pelbagai alunan muzik tempatan yang dipersembahkan oleh kumpulan 9 Live Band menerusi lagu-lagu yang diminati ramai. Disamping itu, peserta yang hadir turut disajikan dengan pelbagai makanan yang cukup lazat seperti spaghetti, nasi lemak, lauk pauk, pelbagai jenis kek dan lain-lain.
Satu acara permainan memasang puzzle turut mendapat sambutan daripada peserta yang hadir. Mereka telah dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlu menyempurnakan puzzle yang bergambar jentera BMW. Siapa cepat dia yang menang! Walaupun nampak mudah, jika tidak bekerjasama dengan betul, pasti sukar untuk sempurnakannya.
Setiap peserta yang hadir telah diberikan satu baucer untuk cabutan bertuah, “Win with BMW Motorrad.” Pelbagai hadiah menarik yang disediakan. Tahniah kepada En. Casaudi dari Sentul yang membawa pulang hadiah utama berupa beg pengembaraan BMW. Suasana riuh rendah dengan gelak ketawa para tetamu yang cukup berpuas hati pada penganjuran kali ini.
“Saya menunggang jentera BMW S 1000 R sejak setahun yang lalu. Mengendalikannya cukup mudah sekali dan tidak perlu risau untuk memandu jauh. Ini merupakan kali kedua saya menyertai Nightfuel. Program ini sangat memberikan maklum balas yang positif. Kita juga berpeluang berkenalan dengan penunggang-penunggang BMW yang lain” kata En. Hafiz dari KL. RR
Popular