Perkasa Remaja 2016
Sejak kelahiran Pusat Pemerkasaan Remaja (PERKASA) Universiti Kebangsaan Malaysia pada 1 Februari 2010 hingga kini, ia telah melaksanakan sebanyak lapan siri kem khusus untuk remaja dengan jumlah penyertaan seramai 250 orang.
Misi utama PERKASA adalah untuk menjadi pusat kecemerlangan bertaraf antarabangsa yang mendalami isu-isu remaja berisiko melalui pelbagai pendekatan strategi pemerkasaan. Program Perkasa Remaja berusaha untuk membantu pembangunan remaja dan mengatasi penglibatan mereka dalam masalah sosial di samping membina keupayaan sendiri dan mendidik mereka menjadi individu bertanggungjawab.
Program ini perlulah bersifat dinamik dengan mengambil kira perkembangan terkini dan semasa. Oleh itu buat pertama kalinya, Permata Universiti Ke-bangsaan Malaysia telah bekerjasama dengan Bikerz United Motorsport Club dan PULAPOT (Pusat Latihan Kor Polis Tentera DiRaja) untuk menganjurkan program Perkasa Remaja di Kem Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur.
Tujuannya adalah untuk memantapkan lagi pengisian kem ini dengan memasukkan modul baharu agar selaras dengan keperluan peserta. Kem Perkasa Remaja 9 bermula pada 28 November hingga 17 Disember 2016. Peserta seramai 30 orang lelaki adalah dalam lingkungan umur 16 hingga 26 tahun.
Antara program yang dijalankan adalah seperti senaman pagi, kawad, tempur tanpa senjata bagi menerapkan disiplin dan membina ketahanan diri. Juga diperkenalkan aktiviti lasak tato bermotosikal, cara menggunakan komputer, cara menunggang motosikal dengan berhemah dan membaiki motosikal. Peserta juga diberi peluang menembak air pistol dan senapang, bermain paintball dan berkhemah di Shah Alam Extreme Park.
Mereka juga berkunjung ke litar Lumba Rakyat Kuala Selangor untuk menyaksikan perlumbaan. Kesemua aktiviti ini dilakukan dengan harapan agar Kem PERKASA@remaja dapat menjadi platform perubahan bagi para remaja terlibat dalam usaha untuk lebih bertanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga dan masyarakat.
Disember 6-7. Peserta dibawa ke sebuah institut memandu di Ulu Langat untuk menduduki kelas lisan dan ujian lesen memandu L. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan dan Putra Jaya telah memberi ceramah serta taklimat mengenai undang-undang lalu lintas di jalan raya. Seramai 17 orang peserta telah berjaya menduduki peperiksaan undang- undang lesen L untuk motosikal.
Para peserta Kem Perkasa Remaja 9 2016 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat. Mudah-mudahan peserta Perkasa Remaja 9 akan diberi peluang untuk menyambung pelajaran ke pelbagai institusi pengajian, peluang pekerjaan dan peluang untuk berniaga sendiri. RR
- Nz York
Popular