Isu Terkini

Julai 2024

Warta Roda / 10 Januari 2019

Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS'18)

Pada 23 November hingga 2 Disember lalu telah berlangsungnya Kuala Lumpur International Motor Show 2018 (KLIMS'18) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC). Sepanjang tempoh penganjuran tersebut, terdapat pelbagai pameran yang menanti para pengunjung yang terdiri daripada syarikat pengeluar empat dan dua roda, kenderaan komersial, kereta konsep, vintaj, produk penjagaan dan pelbagai aksesori serta yang berkaitan dengan dunia kereta dan motosikal.

Antara pengeluar motosikal yang memeriahkan KLIMS edisi ke-9 ini ialah Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB), Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dan Benelli Malaysia. Turut mempamerkan pelbagai produk hebat ialah PETRONAS Malaysia. Selain itu, syarikat pengeluar jentera empat roda yang memilih KLIMS kali ini sebagai platform terbaik untuk memperkenalkan model model terbaru antaranya ialah Proton, Toyota, Ford, Mitsubishi, Hyundai, Daihatsu, Nissan dan banyak lagi.

Boon Siew Honda Sdn Berhad (BSH) memilih tarikh hari pelancaran KLIMS, 22 November untuk melancarkan tiga buah model terbaru yang cukup memukau. Tiga model baru tersebut ialah PCX Hybrid, Forza dan CBR1000RR Fireblade. Hadir menyempurnakan majlis pelancaran tersebut ialah Pengerusi BSH, Dato' Sri Datuk Wira Tan Hui Jing ditemani oleh Pengarah Urusan/CEO BSH, Keiichi Yasuda. “Honda  menyertai KLIMS 2018 di bawah satu tema iaitu 'Frontier of Innovation' yang berinspirasikan daripada falsafah terkenal Honda, Power of Dreams Honda yang memberikan lebih manafaat buat kehidupan manusia. Dengan berbekalkan Semangat Menyahut Cabaran, kami ingin menambah keseronokan menunggang disamping membayangkan masa depan yang cemerlang dan penetapan hala tuju yang lebih baik,” kata En. Keiichi Yasuda.

PCX Hybrid merupakan sebuah jentera automatik (AT) premium yang direka dengan rekabentuk cukup anggun, selesa dan lengkap dengan teknologi terkini. Model ini dilengkapkan dengan sistem hybrid Honda bersesaran 150cc yang memiliki kuasa maksimum 10.8kW pada 8,500rpm dan tork 13.6Nm pada 6,500rpm yang dibekalkan oleh bateri Lithium-ion yang berkuasa tinggi.

PCX baru ini turut memiliki mod tunggangan yang mantap seperti mod Drive (D) yang menawarkan tunggangan lebih santai, selesa dan menjimatkan. Mod Sport (S) pula sesuai untuk para penunggang yang minat dengan gaya tunggangan sporty dan pantas manakala mod Idling OFF pula disediakan buat para pemilik jentera ini untuk mematikan Honda Monkey & Honda Super Cub C125 turut dipamerkan.penggunaan/fungsi Idling Stop System (ISS) tetapi masih mengekalkan prestasi seperti dalam mod D.

Antara ciri-ciri menarik lain yang dipadatkan pada PCX Hybrid ini ialah lampu-lampu LED, panel meter digital, ruang barang bawah pelana dan soket pengecas. Untuk kemantapan tunggangan, nikmati PCX baru ini yang hadir dengan Enhanced Smart Power (eSP), Combined Brake System (CBS) dan sistem Kunci Pintar Honda. PCX Hybrid ditawarkan pada harga asas RM13,499.

Forza adalah pilihan bagi mereka yang inginkan sebuah skuter maksi yang mewah, selesa, berteknologi moden, sporty dan cukup menarik. Skuter ini menawarkan enjin 279cc dengan kuasa maksimum setinggi 18.5kW pada 7,000rpm dan tork 27.2Nm pada 5,750rpm. Tarikan utama skuter ini tentunya datang dari rekabentuk luaran yang dicipta dengan cukup bijak.

Lampu-lampu skuter Forza adalah jenis LED yang bukan sahaja tampak menarik tetapi juga memberikan pancaran yang terang dan jelas. Panel meter jenis digital memastikan penunggang skuter ini mudah untuk melihat segala paparan dan segala info dengan jelas. Pelananya cukup empuk dan ruang kaki yang luas menjanjikan keselesaan buat penunggang yang sukakan pengembaraan.

Pengendalian yang unggul di setiap keadaan turut disumbangkan oleh tayar tayar Pirelli Diablo Scooter bersaiz 120/70 15MC di depan dan 140/70 14MC di belakang. Forza boleh dimiliki pada harga RM30,999 dengan tiga pilihan warna iaitu Pearl Horizon White, Sword Silver Metallic dan Asteriod Black Metallic.

CBR1000RR Fireblade adalah model sportbike yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Jentera popular ini telah berada di pasaran sejak di awal 1980an lagi dan terus mendapat kepercayaan jutaan pencinta motosikal hingga ke hari ini. Untuk edisi 2019, model ini direka berkonsepkan 'Next Stage Total Control' yang sudah pasti menawarkan prestasi dan pengendalian yang unggul.

Jentera bersesaran 998cc ini memiliki kuasa sehebat 141kW pada 13,000rpm dan tork 114Nm pada 11,000rpm. Fireblade baru ini juga disempurnakan dengan teknologi terkini seperti Honda Selectable Torque Control System (HSTC), Honda Selectable Engine Brake (SEB), sistem ABS, sistem Quickshifter dengan Downshift Assist, Power Selector, Honda Electronic Steering Damper (HESD) dan banyak lagi.

Untuk disesuaikan dengan tahap kecekapan para penunggang yang berlainan, CBR ini didatangkan dengan tiga mod tunggangan yang sesuai untuk litar, jalan berliku dan di jalanan biasa. Menerusi mod tunggangan ini, tahap hantaran kuasa akan ditala mengikut pilihan penunggang dan tempat yang dituju. Nikmati kepantasan dan kehebatan CBR1000RR dengan memilikinya pada harga RM91,999 dengan dua warna menarik iaitu Grand Prix Red dan Matt Ballistic Black Metallic.

Benelli pula merupakan jenama motosikal yang ditubuhkan di Pesaro, Itali pada tahun 1911. Jentera yang dilahirkan oleh syarikat berpengalaman ini sentiasa mementingkan beberapa perkara utama seperti rekabentuk elegan, berprestasi tinggi, tahan lasak dan memenuhi kehendak setiap penunggang motosikal. Pengalaman para jurutera jenama ini terbukti bukan sahaja di jalanan biasa, malah di litar lumba juga.

Untuk terus merancakkan industri motosikal negara, Benelli Malaysia telah melancarkan tiga buah jentera serba baru pada hari keempat acara KLIMS diadakan iaitu pada 25 November yang lalu. Majlis pelancaran yang diadakan di KLIMS ini berjaya menarik minat ribuan pengunjung yang hadir menerusi spesifikasi dan ciri-ciri menarik yang ditawarkan oleh Benelli 502C, Benelli Leoncino 250 dan Benelli TRK251. Kehadiran ketiga-tiga model ini sudah pasti memberikan lebih banyak pilihan buat para pengguna motosikal di seluruh negara untuk memenuhi kehendak dan keperluan masing-masing.

Benelli 502C didatangkan dengan rekabentuk yang cukup agresif. Lampu utama dan belakang jenis LED bukan sahaja tampak elegan tetapi juga menawarkan suluhan yang terang. Dengan ketinggian pelana 750mm, sesiapa sahaja dapat menunggang jentera ini dengan mudah sekali. Posisi menunggangnya cukup selesa – mudah untuk tunggangan di bandar dan untuk perjalanan jauh. Bagi mereka yang ingin menunggang penuh bergaya di lebuhraya, kerangka jenis trellis dan sistem saspensi mantap yang dikemaskan pada model ini menjanjikan pengendalian yang stabil dalam semua keadaan.

Model ini didatangkan dengan enjin dua silinder, bersesaran 500cc dengan kuasa  maksimum setinggi 47.6hp pada 8,500rpm dan tork 45.0Nm pada 5,000rpm. Lebih mengagumkan, Benelli 502C adalah sebuah jentera yang menepati piawaian Euro4 dan dengan penggunaan sistem suntikan bahan api elektronik, jentera ini bukan sahaja pantas malah ia juga jimat petrol. Benelli 502C menggunakan tayar Metzeler Sportec M5 Interact hadapan bersaiz 120/70-R17 dan 160/60-R17 di belakang yang dikawal oleh brek-brek cakera yang cukup efisien.

Benelli Leoncino 250 pula adalah teman terbaik buat mereka yang inginkan sebuah jentera jalanan untuk pelbagai jenis tujuan. Seperti 'abang'nya, Leoncino 500, model baru ini menarik minat ramai dengan rupabentuk sentuhan kreativiti dari Itali yang cukup unik. Rekabentuk lampu hadapannya (LED) dan bahagian ini diserikan lagi dengan penggunaan meter digital terkini yang cukup jelas, lengkap dan mudah dilihat. Bahagian sisi model ini tampak cukup tegap dengan penggunaan kerangka jenis trellis, sistem ekzos mantap dan rim jenis sport.

Jentera bersesaran 249cc ini disempurnakan dengan enjin silinder tunggal, DOHC yang memiliki hantaran kuasa maksimum 26.8hp pada 10,500rpm dan tork 21Nm pada 9,000rpm. Untuk mengimbangi kekuatan kuasa hantaran Leoncino 250 ini, tayar-tayarnya disempurnakan dengan sistem brek jenis cakera bersaiz 280mm (depan) dan 240mm di belakang.

Dengan peningkatan jumlah peminat jentera pengembaraan, kehadiran model TRK 251 adalah tepat pada masanya.Dengan enjin bersesaran 249cc, TRK 251 sudah tentu boleh dimiliki oleh para pemilik lesen B2 tanpa sebarang isu. Pelananya hanya setinggi 835mm, mudah untuk ditunggang dan dikawal oleh semua jenis penunggang. Bahagian hadapan dikemaskan dengan lampu utama jenis LED, panel meter digital dan berparuh (peak).

Model ini disempurnakan dengan enjin silinder tunggal, empat lejang DOHC yang mempunyai hantaran kuasa tertingg 26.8hp pada 10,500rpm dan tork maksimum 21Nm pada 9,000rpm.Kerangkanya jenis trellis menawarkanketegaran dan kestabilan tinggi sewaktu menunggang di laluan-laluan sukar dan ketika di lebuhraya. TRK 251 didatangkan dengan brek hadapan jenis cakera bersaiz 280mm dan brek belakang 240mm untuk mengawal tayar-tayar Metzeler Sportec M5 Interact.

Ketiga-tiga model ini dijangka akan memasuki pasaran motosikal negara pada  pertengahan tahun hadapan dan buat masa ini, harga masih belum ditentukan.

Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd (KMSB) secara rasminya telah memperkenalkan dua model terbarunya iaitu Kawasaki Ninja ZX-10RR dan Ninja ZX-6R pada 23 November 2018. Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh En. Ahmad Faez Tan Sri Yahaya, Pengurus Eksekutif Kawasaki Motors Malaysia dan Dato’ Jeffrey Lim, Pengarah Kawasaki Motors Malaysia.

Kedua-dua model ini telah dikemaskini secara keseluruhan dengan agihan kuasa serta pengendalian yang hebat ketika berada di atas jalan raya mahupun litar.

Kawasaki Ninja ZX-10RR dibina berasaskan jentera perlumbaan yang ditunggang oleh Jonathan Rea, Kawasaki Racing Team (KRT) dalam kejuaraan WorldSBK. Jentera ini merupakan model edisi terhad yang dikeluarkan sebanyak 500 unit sahaja di dunia dan setiap model akan mempunyai nombor siri pembuatannya. Model ini telah dinaik taraf dengan rod penyambung jenis titanium kustom yang ringan mampu mengurangkan momentum daripada crankshaft sebanyak 5%.

Sistem saspensi hadapan dan belakang Ninja ZX-10RR telah diubahsuai untuk memastikan pemindahan berat yang lancar ketika memecut dan ketika menurunkan kelajuan. Model ini tampak lebih garang kerana tayar hadapan dan belakang dipadankan dengan tayar jenis Pirelli Diablo Corsa SP. Model yang bakal tiba di pasaran pada April 2019 ini ditawarkan pada harga RM159,900 dengan satu pilihan warna sahaja iaitu Lime Green.

Untuk Ninja ZX-6R 2019, ia dijana oleh enjin bersesaran 636cc, empat .silinder yang dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan. Ia mampu menawarkan kuasa sehingga 103PS pada 13,500rpm dan tork 70.8Nm pada 11,000rpm. Penunggang turut disediakan dengan tiga jenis mod tunggangan iaitu Low, Mid dan Full Power.

ZX-6R tampil dengan lampu hadapan berkembar dan lampu belakang jenis LED yang diinspirasikan daripada Ninja ZX-10R serta panel meter analog dengan LCD pelbagai fungsi. Model ini hadir dengan Kawasaki Quick Shifter (KQS), Kawasaki Intelligent anti-lock Brake System (KIBS) dan Kawasaki Traction Control (KTRC). Kawasaki Ninja ZX-6R dijual pada harga RM79,900 dan dijangka berada di pasaran pada Mac 2019.

Pada majlis pelancaran yang sama, KMSB turut melancarkan minyak pelincir motosikal tulen hasil kerjasama dengan Idemitsu Lube (Malaysia) Sdn Bhd. Minyak pelincir baru Kawasaki ini didatangkan dalam dua jenis iaitu Semi Synthetic 10W-40 dan Fully Synthetic 10W-40.

Kedua-dua minyak pelincir 4T ini menawarkan kecekapan penggunaan bahan api, memudahkan kawalan penukaran gear dan prestasi klac basah yang lebih baik. Minyak ini dapat bertindak dengan cemerlang sekali, pada suhu rendah membantu mengurangkan kesan pada enjin apabila dihidupkan ketika sejuk.

Minyak pelincir ini boleh didapati di kedai Kawasaki GT World Ninja dan Green Station. Untuk Semi Synthetic dijual pada harga RM29.90 manakala Fully Synthetic berharga RM39.90.

Ruang pameran PETRONAS merupakan antara yang terbesar di KLIMS 2018. Rekaan bagaikan stesen minyak yang penuh beroperasi lengkap dengan hos pam minyak dan kedai Mesra. Turut tersergam di hadapan ruang pameran PETRONAS ialah beberapa buah jentera seperti kereta perlumbaan F1, Mercedes-Benz AMG - C43, CLS450 dan Mercedes Benz S450 dan beberapa buah motosikal Yamaha R1 yang mempunyai rekacorak mesin MotoGP.

Ruang jualan pula dihiasi dengan pelbagai barangan yang cukup menarik seperti pelbagai jenis baju t, cermin mata hitam, topi, payung, pot USB, berbagai saiz dan rekabentuk beg, keychain, kad Touch N Go dan banyak lagi. Bagi pelanggan yang membeli pelincir Syntium atau Sprinta, mereka menerima potongan harga bagi barangan premium seperti baju T, Duffel Bag, Glass Container dan lain-lain dari PETRONAS. Para pengunjung turut berpeluang memenangi hadiah-hadiah menarik menerusi permainan video (Petronas E-Motorsports Challenge 2018) yang turut disediakan di ruang pameran tersebut. RR

Isu Pada

Januari 2019

Popular

  • Model Baru

    EICMA 2024: Moto Morini Alltrhike 450: Makin Meriah Segmen Kembara

  • Warta Roda

    Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

  • Dari Litar

    Honda HRC - Repsol: Penghujung Suatu Era

  • Dari Litar

    Jorge Martin Cipta Sejarah, Pelumba Pasukan Satelit Pertama Jadi Juara MotoGP!

  • Warta Roda

    Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Artikel berkaitan

Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung

Honda BigWing Melaka Dibuka Secara Rasmi

Penunggang Motosikal Antara Yang Maut Dalam Nahas Tiga Kenderaan

Warga Emas Meninggal Dunia Motosikal Dilanggar Dari Belakang

Pos Malaysia Terima 1,092 Jentera Elektrik, MEV-1 Pro dari MODENAS

RXZ Twin Boss V2 Oleh FNG Works Akan Dipamerkan di Yokohama Hot Rod Custom Show 2024 di Jepun!

Kemalangan Kereta Dengan Motosikal Berkuasa Tinggi, Penunggang Maut

Hong Leong Yamaha Motor Rasmikan Space Y, Muzium Motosikal Pertama di Malaysia

Disyorkan untuk anda
Dari Litar

Pelumba Negara Tampilkan Aksi Memberangsangkan

Tahniah buat para pelumba muda negara telah mempamerkan aksi yang cukup hebat dalam saingan FIM MiniGP World Finals.

Dari Litar

CP125: Syamil Akan Raikan Gelaran Juara Lebih Awal Jika Menang Hujung Minggu ini?

Gelaran juara keseluruhan CP125 buat pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha - 31 Racing, Md Syamil Amsyar semakin cerah.

Dari Litar

Francesco Bagnaia Tawan GP Thailand Dalam Hujan

Francesco Bagnaia (pecco) membuktikan keupayaannya apabila menjuarai GP Thailand dalam keadaan cuaca dan litar yang sangat sukar.

Yamaha R9 - Generasi Terbaru Supersport

Untuk tahun 2025, Yamaha memperkenalkan model Supersport terbaru, R9 yang menawarkan prestasi cukup mantap dan teknologi canggih Siri R. Model ini direka berasaskan jentera perlumbaan sebenar.