Konvoi Chear Motor Club Ke Bukit Fraser
Sebanyak 130 buah motosikal berkuasa tinggi yang terdiri daripada pelbagai jenama telah menyertai konvoi 'ecoride' dan bersantai sambil menikmati keindahan tempat peranginan yang terkenal iaitu Bukit Fraser di negeri Pahang. Konvoi ini dianjurkan oleh Chear Motor (HQ) Sdn Bhd dibuka kepada semua pelanggan yang terdiri daripada CMC Club dan MV Agusta Fan Club. Tujuan penganjuran konvoi ini adalah untuk mengeratkan hubungan sesama ahli baru dan lama yang selama ini tidak pernah bersua.
Para peserta konvoi mula berkumpul di R&R Sungai Buloh arah utara seawal jam 8.00 pagi pada hari Sabtu 28 Februari. Selepas semua peserta bersarapan pagi dan mendapat t-shirt percuma Bellray, mereka diberikan taklimat keselamatan dan dipecahkan kepada dua kumpulan agar perjalanan menjadi lebih lancar dan selamat.
Jam 9.00 pagi, Dato’ Chear Kin Keong mengetuai konvoi ini dengan menunggang model terbaru MV Agusta, Turismo Veloce Lusso 800. Konvoi mula bergerak dengan kemas menuju ke tol Bukit Beruntung melalui lebuhraya Plus. Para peserta konvoi dibawa melalui jalan Batang Kali, berhenti di Kuala Kubu Bharu untuk mengisi minyak sementara menunggu seramai 20 orang lagi peserta yang datang dari Ipoh, Perak.
Konvoi meneruskan perjalanan melalui tasik buatan manusia di empangan Batang Kali yang luas, cantik dan jalan berselekoh yang boleh 'mengiurkan' buat 'kaki meleper'. Suhu mula menurun apabila laluan semakin tinggi dari paras laut. Ini menjadikan para peserta kembali bersemangat setelah mengharungi cuaca panas. Setelah tiba di persimpangan Gap, konvoi berhenti seketika untuk menghirup udara dingin dan menyamankan.
Di bulatan yang menempatkan menara jam besar di Bukit Fraser, konvoi bergambar beramai-ramai. Bukit Fraser terkenal dengan suasana ala Inggeris seperti perkampungan di pendalaman negara Scotland, bangunannya berdinding batu dan berwarna kelabu gaya tudor.
Bagi saudara Thanaraj serta rakan-rakannya dari Ipoh, mereka amat berpuas hati dengan konvoi ini kerana pertama kali dapat berkonvoi bersama Chear Motor Club. Bagi kebanyakan peserta, ini merupakan kali pertama mereka sampai di tempat peranginan ini.
Para peserta kemudiannya dibawa ke Air Terjun Jeriau untuk bermandi-manda. Air terjun ini berketinggian kira-kira 30 kaki menghasilkan bunyi deruan air yang kuat dan hamburan angin yang menenangkan. Airnya yang dingin dan jernih menjadi tarikan pelancong untuk ke sini. Air terjun Jeriau terletak 4.5 km dari pusat peranginan Bukit Fraser.
Puas bermandi-manda, para peserta mula berasa lapar untuk makan tengahari. Mereka menjamu selera di Restoran Puncak Fraser yang menyajikan makanan menyelerakan seperti ikan bakar, sup ekor, pelbagai jenis ulam, masak lemak, kari dan pelbagai lagi. Puas makan!
“Ini adalah pertama kali saya mengikuti konvoi seperti ini. Semangat 'bermotosikal' amat ketara, apalagi dengan penglibatan semua kaum dan pelbagai jenis motosikal. Ia memupuk persaudaraan dan menggalakkan kita untuk bergaul dan berkongsi pengalaman sesama peserta,” jelas Norlizahana yang menunggang MV Agusta Brutale Dragster. Manakala rakannya, Yulina amat seronok melayan selekoh-selekoh mencabar dengan Kawasaki Ninja 250R miliknya.
Bagi pihak Chear Motor, mereka amat gembira dengan kejayaan konvoi ecoride ini sekali gus mengeratkan hubungan sesama pelanggan-pelanggan setianya. “Kami komited untuk memberikan kepuasan kepada mereka untuk bermotosikal. Konvoi seperti ini akan diadakan setiap bulan dan destinasi yang seterusnya adalah ke Hutan Simpan Jerantut, Pahang selama dua hari satu malam,” kata Dato' Chear Kin Keong.
Konvoi bertolak kembali ke R&R Sungai Buloh pada pukul 4.30 petang untuk sesi minum petang dan kemudiannya bersurai menuju destinasi masing-masing. RR
Popular