Bergembira Bersama Yamaha Big Bike Fun Ride
Tahniah diucapkan kepada 29 orang peserta selepas berjaya menyusuri perjalanan hampir 500 kilometer yang merangkumi empat buah negeri di selatan tanahair menerusi acara Yamaha Big Bike Fun Ride yang diadakan pada 27 dan 28 Februari lalu. Program yang melibatkan jentera-jentera berkuasa tinggi Yamaha seperti MT-09, MT-07 dan siri XJ6 merupakan anjuran syarikat Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd (HLYM) buat kali keempat selepas dua kali diadakan konvoi sambutan MotoGP dan sekali ke Muar.
Sebanyak 26 buah jentera Yamaha telah berjaya dilepaskan oleh Pengurus Kanan Big Bike, En. G.S Tan di perkarangan ibu pejabat HLYM pada pagi itu. Selain dapat menikmati perjalanan di pelbagai lokasi dan tempat, penganjuran ini juga bertujuan untuk mengeratkan hubungan di antara para penunggang Yamaha khususnya yang berkuasa tinggi. Secara tidak langsung, konvoi ini juga mampu 'melatih' setiap peserta mengendalikan jentera masing-masing dengan lebih selamat.
Pihak HLYM telah bermurah hati memberikan sebuah MT-09 untuk tunggangan wakil RR. MT-09 yang berisipadu 847cc ini terkenal dengan kepantasannya memecut dan dilengkapi dengan tiga mod tunggangan iaitu Mod A (kuasa tertinggi), Standard dan Mod B (kuasa paling rendah). Semestinya untuk berada lancar dan mampu memecut ke hadapan dengan mudah, Mod A adalah pilihan terbaik.
Perjalanan di lebuhraya kemas dan terkawal, terima kasih diucapkan kepada para marshal Yamaha yang bertugas dengan cekap sekali. Semestinya disiplin yang tinggi adalah faktor utama menjadi suatu perjalanan itu selamat dan tidak mengganggu kelancaran pengguna jalanraya yang lain. Ketika di Tol KLIA, para peserta konvoi terpaksa melalui sekatan jalan raya yang diadakan oleh pihak PDRM dan sekali lagi pujian wajar diberikan kerana kesemua peserta lengkap dengan lesen dan cukai jalan yang sah.
Dari Sepang, konvoi menggunakan jalan lama menuju ke Lukut yang menyajikan jalan-jalan berselekoh. Keadaan permukaan jalan yang baik memberi peluang kepada peserta melepaskan gian untuk 'meleper' dalam kelajuan yang ideal. Sempat juga RR menguji kelincahan MT-09 ini meratah setiap selekoh di jalan ini dan merasakan Mod A tawarkan kuasa hantaran yang agak kuat. Seriau dibuatnya. (Untuk pandu uji lengkap MT-09RR, sila rujuk RR September 2014).
Ternyata enjin model ini terus menawarkan tindak balas serta merta walaupun dalam mod Standard. Bagi kesesuaian penggunaan di jalanan sebegini mahu pun di bandar, mod B mungkin pilihan terbaik kerana kuasa dapat dikurangkan dan lebih konsisten pada awal bukaan pendikit. Konvoi selamat tiba di Port Dickson lebih kurang pada jam 1.00 petang. Selepas mengisi minyak, para peserta berhenti seketika di Muzium Tentera Darat untuk bergambar kenangan sebelum memulas semula pendikit ke Hotel Thistle untuk menikmati makan tengahari.
Di sini juga lokasi pertemuan beberapa peserta dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor. Riuh rendah dibuatnya apabila rakan taulan kembali bersua selepas beberapa lama tidak menunggang bersama. Bagi peserta yang baru, ia adalah masa paling sesuai untuk menambah kenalan, berkongsi pengalaman dan kisah hidup yang kesemuanya berkisarkan dunia motosikal.
“Ini merupakan pengalaman pertama saya menyertai konvoi seperti ini dan ia memang sangat mengujakan. Saya baru sahaja memiliki sebuah MT-07. Perjalanan hari ini membantu saya untuk lebih mengenali mesin saya dan cara mengendalikannya dengan lebih cekap,” kata Rudy ak Jeffery dari Kuala Lumpur.
Ketika memasuki bandar Melaka, deruman jentera-jentera Yamaha ini menarik perhatian ramai. Walaupun terpaksa berasak-asak dengan kenderaan lain, kesabaran dan gaya tunggangan yang berhemah para penunggang ini memudahkan konvoi tiba ke destinasi terakhir pada hari pertama di Melaka. Selepas mendapat rehat yang mencukupi, majlis pada malam itu diteruskan dengan acara 'lucky draw' yang dimeriahkan dengan kehadiran En. G.S Tan.
Berlainan sedikit dengan acara 'lucky draw' yang biasa diadakan, acara kali ini memberi peluang kepada setiap penunggang mencabut nombor hadiah masing-masing berupa beg galas, tali pinggang, pouchbag dan topi Yamaha. Sudah tentu ramai yang mengidamkan beg galas Yamaha menyebabkan suasana riuh rendah apabila rakan-rakan mereka seorang demi seorang berjaya memenangi hadiah itu. Bagi mereka yang ingin melihat keadaan bandar Melaka di malam hari, pihak Yamaha cukup bermurah hati dengan mengadakan sesi Teh Tarik Session (TTS) bertempat di Hard Rock Cafe.
“Memang seronok dan patut dianjurkan lagi. Saya memang suka menunggang motosikal, tidak kiralah sama ada motosikal kecil atau besar.... saya akan cuba menunggang sejauh mungkin. Saya bertolak dari Pulau Pinang lebih kurang jam 6.00 pagi, berseorangan dan syukur perjalanan hari ini selesa, selamat dan lancar!” Kata En. Halimien Mohd Fizall yang menunggang MT-07 dari Pulau Pinang semata-mata untuk menyertai konvoi ini.
Hari Kedua
Selepas mendengar taklimat daripada para marshal, perjalanan hari kedua bermula dengan cukup bersemangat menuju ke bandar Muar yang terletak kira-kira 47 kilometer sahaja dari Melaka. Walaupun jaraknya agak pendek, ianya cukup bermakna buat para peserta kerana dapat menunggang bersama-sama rakan dan teman rapat. Walaupun cuaca agak panas ketika memasuki bandar Muar tetapi segalanya bagaikan hilang apabila ditiupi angin laut sewaktu berehat seketika di Dataran Tanjung Emas.
Selepas puas bergambar dengan berbagai-bagai aksi, perut mulai lapar 'memaksa' para peserta singgah di Restoran Mango Corner yang terkenal dengan masakan asam pedasnya. Restoran ini turut dilengkapi dengan ruang karaoke untuk rakan-rakan bikers yang mempunyai bakat nyanyian.
“Abang memang suka dengan aktiviti seperti ini cuma apa yang boleh dicadangkan ialah perubahan lokasi yang ingin dikunjungi pada masa hadapan. Jika dua kali kami sudah ke selatan, jom kita mengembara bersama ke pantai timur atau pun ke utara. Komuniti jentera berkuasa tinggi Yamaha seperti XJ6 berada di seluruh negara, pastinya lebih meriah jika kita menunggang di tempat-tempat baru,” kata En. Khairudin, bekas anggota polis tugasan am.
Jentera MT-09 ternyata bukan sahaja jimat tetapi juga amat mesra penunggang. Walaupun sudah lebih daripada 500 kilometer perjalanan telah dilalui, kita tidak terasa sakit-sakit atau lenguh-lenguh badan. Ia mampu memecut, selesa ditunggang, jimat dan paling best...cantik bergaya! Terima kasih MT-09...terima kasih HLYM... sehingga jumpa lagi. RR
Popular