Kem Kota Xtreme Park Perak: Dibina Untuk Sukan Motorcross
Pada 24 Februari lalu, telah diadakan satu Majlis Perasmian Kem Kota Xtreme Park yang terletak di Kem Kota, Layanglayang Kiri, Parit, Perak. Majlis ini dianjurkan oleh A.D.E Water dan Aura Seven Racing dengan kerjasama Badan Penguasa Tempatan serta Kementerian Belia & Sukan. Majlis ini dirasmikan oleh Tuan Pegawai Daerah Perak Tengah, Tuan Muhamad Ghopran Bin Yeop Hamzah serta ADUN Belanja, YB Dato' Drs. Mohd Nizar Bin Zakaria.
Tujuan majlis ini diadakan adalah untuk merasmikan trek yang dibina khas untuk trek latihan sukan motocross di negeri Perak. Aura Seven Racing sebagai konsultan telah diberikan kepercayaan oleh Pegawai Daerah Perak Tengah untuk menaiktaraf kawasan yang berkeluasan tujuh ekar ini sebagai kawasan rekreasi sukan lasak tersebut. Kem Kota Xtreme Park ini mula dibangunkan secara agresif pada awal Disember 2017.
Majlis ini berlangsung secara tertutup dan penyertaan adalah percuma dengan menjemput rider-rider tempatan sekitar daerah Perak Tengah, Kinta, Manjung dan Kuala Kangsar. Hampir 90 penunggang motosikal lasak menyertai fun race pada majlis tersebut. Sebanyak empat kategori dipertandingkan iaitu kategori Kadet MX, Cubcross MX, CKD MX dan Open MX.
Hadiah berupa hamper ditawarkan untuk peserta yang mendapat tempat pertama hingga kelima dalam setiap kategori. Hamper juga diberikan kepada setiap wakil kumpulan yang hadir pada majlis tersebut. Selain itu terdapat juga acara sampingan yang dijalankan bersama seperti berkayak, pertandingan memancing “Raja Seluang” dan juga Sepak Raga Tuju. Acara sepak raga tuju ini sangat unik kerana permainan ini seperti liga “underground”. Ada peserta yang datang dari Kedah, Selangor dan juga Kuala Lumpur yang bermalam di sini kerana minat dan ingin beradu kehandalan walaupun tiada hadiah yang dipertandingkan.
Seramai 30 peserta kayak termasuk YB Adun Belanja dan Pegawai Daerah sendiri telah dilepaskan dari Jeti Jambatan Nordin, Kampung Tanjung Belanja yang terletak lebih kurang 12 kilometer dari Kem Kota Xtreme Park. Hampir 3,000 pengunjung yang rata-rata penduduk setempat hadir bagi memeriahkan suasana pada hari tersebut. Lebih menarik, para pengunjung yang hadir disajikan dengan jamuan makan tengahari berkonsepkan “kenduri kampung.” RR
Kiriman: Ahmad Fitri Idris
Popular