Pembukaan Rasmi Harley-Davidson Petaling Jaya
DIDI Resources Sdn Bhd (DRSM) telah dilantik oleh pengeluar motosikal Amerika Syarikat, Harley Davidson sebagai pengedar tunggal terbaru di Malaysia. Dengan perlantikan ini, pusat pameran Harley-Davidson terbaru berkonsep 3S yang beroperasi di Gasket Alley, Petaling Jaya telah pun dirasmikan pada awal Mac lalu.
“Bersama-sama dengan pengedar tunggal baru ini, kami cukup gembira dan percaya jenama Harley-Davidson yang telah bertapak di Malaysia sejak 2009 akan lebih kukuh. Selepas Petaling Jaya, kami akan memperluaskan rangkaian para pengedar terbaru di Melaka dan Pulau Pinang tidak lama lagi.
Harley-Davidson akan terus berkhidmat kepada para pelanggan sedia ada dan yang berpotensi untuk memiliki kecintaan terhadap jenama ini,” kata Pengarah Urusan Harley-Davidson Bahagian Pasaran Baru Asia Harley-Davidson, Johan Kleinsteuber.
Harley-Davidson PJ berkeluasan 20,000 kaki persegi yang mampu memuatkan kesemua rangkaian model termasuklah edisi terhad 115th Anniversary Street Glide, Road Glide Special dan barisan model MY18 Softail. Pusat pameran ini turut menawarkan barangan koleksi dan pakaian berjenama Harley-Davidson yang cantik dan bergaya. Ruang servis di tingkat bawah berhawa dingin cukup luas dan selesa dengan enam ruang servis (bay), tempat mengecat dan ruang penyimpanan stok alat ganti. Untuk menjamin kualiti servis yang tinggi, para mekanik dan juruteknik terdiri daripada mereka yang telah dilatih di Universiti Harley-Davidson.
Sempena perasmian Harley-Davidson PJ ini, pihak DRSM turut menganjurkan konvoi dari Gasket Alley ke Sarang Art Hub, Tanjung Malim yang disertai lebih daripada 500 buah jentera Harley-Davidson pelbagai jenis. Di sebelah lewat petang pula, majlis makan malam khas telah dianjurkan khusus buat para pemilik Harley-Davidson yang hadir. Selain alunan muzik dan juadah yang menyelerakan, sesi cabutan bertuah berupa sebuah jam tangan mewah Bell&Ross.
Pelancaran pusat Harley-Davidson Petaling Jaya terbaru ini lebih bermakna apabila model 2018, Harley-Davidson Fat Bob juga diperkenalkan. Model baru ini memiliki tubuh badan yang cukup tegap, mantap dan menggiurkan. Fat Bob disempurnakan dengan enjin MilwaukeeEight yang bersesaran 1,745cc dan menawarkan tork maksimum setinggi 149Nm pada 3,000rpm. Model baru ini ditawarkan pada harga RM128,900 (tidak termasuk GST). RR
Popular