Jenama CONTINENTAL Membentuk Trend Automotif
Bagi pengguna motosikal di Malaysia khususnya yang berkuasa tinggi, tayar berjenama Continental mungkin tidak begitu popular seperti jenama lain yang lazim kelihatan di pasaran. Hakikatnya, Continental Tyre Malaysia Sdn Bhd yang beroperasi di Alor Setar, Kedah turut mengeluarkan tayar-tayar yang cukup berkualiti tinggi jenis radial seperti Conti Sport Attack dan Conti Motion.
Tayar-tayar Continental dihasilkan dengan kepakaran dan kebijaksaan para jurutera yang memberi tumpuan sepenuhnya pada tahap cengkaman optimum di samping jangka hayat yang tinggi. Kecemerlangan tahap cengkaman ini datangnya daripada gabungan teknologi terkini pembuatan tayar dari Continental seperti MultiGrip, TractionSkin, ZeroDegree, RainGrip dan Grip Limit Feedback.
Menurut Timbalan Presiden Bahagian Pemasaran dan Jualan PLT & TT Malaysia, En. Cameron Wilson, industri pengeluaran tayar telah menyumbang sebanyak 28% kepada jumlah jualan keseluruhan syarikat Continental untuk tahun 2014 selain industri Casis & Keselamatan, Powertrain, Ruang Dalaman dan Teknologi. Di Malaysia, Continental Automotive Components Malaysia Sdn Bhd pula bertanggungjawab dalam pengeluaran peralatan automotif di Malaysia sejak 30 tahun yang lalu. Syarikat yang juga sebahagian daripada Continental AG yang berpengkalan di Jerman ini membekalkan pelbagai peralatan kenderaan empat roda seperti unit fuel supply, unit kawalan elektronik, sistem pengurusan enjin, immobilizers dan panel meter untuk beberapa jenama motosikal seperti Modenas, Vespa, Aprilia dan Harley-Davidson.
Kilang Continental Automotive Components Malaysia yang berpengkalan di Pulau Pinang ini seluas kira-kira 7,000 meter persegi dan mempunyai tenaga kerja lebih daripada 1,200 orang. “Setiap pengeluar motosikal yang bekerjasama dengan kami akan memberi rekabentuk motosikal yang telah mereka hasilkan dan dari situ, para pereka akan membuat beberapa lakaran untuk dipilih. Selalunya mereka akan membuat beberapa perubahan dari segi warna lampu, susun atur info dan lain-lain lagi,” kata En. Mohd Akhir Hassan, Pengarah Bahagian Pengeluaran Continental Automotive Components Malaysia ketika membawa para wartawan melawat kawasan kilang pada 24 November lalu.
Melihat akan hasil ciptaan panel meter ini telah membuktikan kesungguhan dan minat yang tinggi para petugas Continental dalam penghasilan suatu produk untuk pasaran di dalam dan luar negara. RR
Popular