KYB Raikan Perayaan Bersama Anak-Anak Istimewa
Perayaan Tahun Baru Cina bagi anak-anak istimewa di Genpact Development Centre, Jenjarom tahun ini pastinya lebih meriah dan bermakna dengan kehadiran warga kerja KYB-UMW Malaysia Sdn Bhd. Program Tanggungjawab Sosial Korporat ini merupakan acara tahunan pihak KYB yang dianjurkan di pelbagai lokasi berbeza dan ianya bertujuan untuk berkongsikan kemeriahan sempena hari perayaan.
Genpact Development Centre merupakan sebuah pusat pendidikan dan literasi yang mempunyai seramai 25 orang pelajar yang mengalami sindrom down, autism, hiperaktif dan slow learners. Hadir sama menyempurnakan majlis perayaan tersebut ialah Pengarah Urusan KYB, En. Iwao Mizuno, Pengurus Besar KYB, En. Cheow Lip Heng dan Pengurus Kanan, HR dan GA, En. Mohd Norrazi Khairudin bersama-sama 15 kakitangan dari KYB.
Majlis pada hari tersebut dimulakan dengan ucapan ringkas daripada wakil pihak pengurusan KYB dan persembahan nanyian 'Gong Xi Fa Cai' daripada semua para pelajar. Kemeriahan dan keseronokan diteruskan dengan persembahan muzikal dan perkongsian hasil lukisan para pelajar di pusat tersebut.
Ruang-ruang Genpact Development Centre dihiasi dengan belon-belon KYB. Pihak KYB turut menyerahkan cenderahati dan goodies bag buat para guru tenaga pengajar dan tetamu yang hadir. Pastinya kehadiran perayaan Tahun Baru Cina lebih sempurna dengan pemberian 'angpau' buat para pelajar di pusat tersebut.
Sebelum bersurai, para pelajar diceriakan dengan makan tengahari berupa KFC. Walaupun program murni ini hanya mengambil masa selama dua jam sahaja, kemeriahan yang dibawa oleh KYB ternyata menceriakan hari tersebut buat para pelajar dan tetamu yang hadir. RR
Popular