Jentera KTNS Buktikan Kemampuan
Jentera pengembaraan KTNS RS3 mula memasuki pasaran negara sekitar Februari 2015... tiga tahun yang lalu. Dengan rekabentuk yang menarik serta spesifikasi yang mantap, model ini telah mendapat sambutan yang cukup hangat oleh para pencinta motosikal pengembaraan berkuasa sederhana. RS3 disempurnakan dengan enjin empat lejang, sistem penyejuk cecair yang berkuasa 18.5kW pada 9,000rpm dan tork 23Nm pada 7,000rpm. Model ini hanya seberat 175kg yang membolehkan ia mudah dikendali di mana-mana sahaja.
Hubungan di antara para pemilik RS3 juga cukup rapat dan saling membantu. Ini dibuktikan dengan bantuan kecemasan atau pertolongan yang datang dengan cepat tidak kira di mana dan pada bila-bila masa sahaja. Jesteru, ia membuatkan komuniti penunggang KTNS RS3 semakin berkembang dari masa ke semasa. Konvoi dan pengembaraan dalam negara sudah tidak asing lagi bagi para penunggang jentera ini dan yang terbaru, kelasakan KTNS RS3 telah dibuktikan oleh dua pasangan iaitu En. Alex Wong dan Allyson Yik serta Mohd Zamri dan isterinya Siti Zarihan.
Majlis penghargaan dan penyampaian sijil di atas kejayaan kedua pasangan ini telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Bahagian Jualan &Pemasaran KTNS, En. Alan Lee dan dimeriahkan lagi dengan kehadiran kira-kira 30 orang pemilik KTNS yang lain.
“Tahniah buat kedua-dua pasangan yang telah berjaya menyelesaikan pengembaraan masing-masing. Memang KTNS RS3 terbukti boleh dibawa ke mana sahaja dan paling membanggakan ialah nilai setiakawan yang dimiliki oleh setiap para pemiliknya yang sanggup membantu tidak kira masa dan di mana sahaja anda berada,” kata En. Alan Lee.
Ride 6 Nation Border: Zamri dan Zarihan
Untuk pengembaraan ini, Zamri dan Zarihan terlebih dahulu membuat persediaan rapi Zamri dan Zarihan bergambar kenangan di Phu Tub Berk. Keindahan air terjun Kuang Si.agar tiada masalah berlaku di sepanjang perjalanan. Mereka banyak bertanyakan dan meminta pandangan daripada rakan rakan motosikal yang pernah ke sana termasuklah daripada pengembara sedunia, En. Zainal dan isterinya Celeste yang telah pun mengembara ke 61 buah negara dalam masa tiga tahun dengan jarak perjalanan sejauh 119,095 kilometer.
Pada masa yang sama, kedua pasangan ini yang juga meneliti lokasi perhentian, berehat, penginapan dan tempat-tempat yang wajib berhenti dalam pengembaraan mereka. Selepas mengumpul dana yang mencukupi serta memberi keyakinan penuh kepada Zarihan, Zamri memulakan pengembaraannya berbekalkan K.T.N.S iaitu K – Kekuatan Mental dan Fizikal, T – Teknologi dan Ketahanan Motor, N – Nikmati Keindahan Alam Semula Jadi dan S – Satu Hati.
Perjalanan bermula pada 16 September 2017 dari Malaysia ke Thailand dengan sangat lancar tanpa menghadapi sebarang masalah atau dugaan. Bagi Zarihan, ia adalah saat yang dinanti-nantikan kerana bukan mudah untuk mendapat cuti yang panjang dan mengembara bersama suami tercinta ke destinasi yang menarik. Posisi penunggang dan pembonceng yang selesa membantu perjalanan lebih lancar dan menyeronokkan.
Antara destinasi menarik di Thailand yang sempat dilawati ialah Tiger Kingdom di Chiang Mai, kawasan pergunungan Phu Tub Berk, Air Terjun Kuang Si di Luang Prabang, 1000 Corners, Route 12 Phitsanulok dan banyak lagi. Antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ketika menunggang di Thailand ialah apabila diminta menandatangani borang di Tiger Kingdom yang mengatakan pihak pusat pemeliharaan harimau tersebut tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kematian atau serangan.
Di Phu Tub Berk pula, pasangan ini sangat terpesona dengan pemandangan alam dan menikmati suhu yang dicatatkan ketika itu di bawah 5 darjah Celsius. Kehijauan mukabumi di Pai juga cukup menyegarkan cuma menurut Zamri, terdapat beberapa kawasan yang jalannya cantik tetapi amat susah untuk berjumpa dengan kenderaan lain. Mujurlah KTNS miliknya langsung tidak menghadapi sebarang masalah dan jimat minyak. Zamri dan Zarihan turut tidak melepaskan peluang untuk singgah dan merasai sendiri pengalaman di sebuah tempat graviti-sifar di Mae Sot Thailand yang terkenal dengan nama The Magic Hill.
Pemandangan indah di Phu Tub Berk. Selamat tiba di sempadan Cambodia. Tiger Kingdom - Teruja tetapi takut juga!Fenomena menarik di sini ialah segala benda atau kenderaan dapat bergerak dengan sendirinya tanpa memerlukan apa-apa bantuan. Walaupun hanya sebotol air mineral yang dibaringkan ke tanah, ia tetap akan bergerak ke arah puncak gunung. Dikatakan ia berpunca daripada tindakbalas medan elektromagnet yang cukup kuat. Selain memiliki tempat yang cantik dan unik, keramahan warganya dan hotel penginapan yang murah adalah salah satu faktor utama mengapa industri pelancongan di Thailand sentiasa diminati oleh sesiapa sahaja.
“Ada lagi satu sebab utama mengapa melancong di Thailand cukup menarik. Jawapannya: Internet di Thailand sangat sangat hebat dan amat mengagumkan. Tidak kira di bandar, kampung, atas bukit atau dalam hutan sekalipun, liputannya 4G dan sangat pantas sehinggakan kami beberapa kali berupaya buat live video,” komen Zarihan.
Destinasi kemuncak dan paling menggembirakan kedua-dua pasangan tentulah selepas berjaya mengharungi laluan mencabar 1000 corners dan tiba di Golden Triangle. Destinasi ini sememangnya impian para pengembara motosikal untuk menjejakkan kaki mereka. Tahniah buat pasangan ini kerana berjaya dalam kesungguhan mereka untuk mengharungi cabaran tersebut.
Dari Thailand, Zamri dan Zarihan memasuki Laos sambil diiringi oleh pihak imigresen tempatan. Seperti di Thailand, proses kemasukan di sempadan mudah dan cepat. Serta merta sistem jalan raya bertukar dari laluan kiri ke laluan kanan. Menurut Zamri, pada mulanya mereka memang berasa agak kekok tetapi hanya untuk seketika. Matlamat pasangan ini adalah untuk tiba di Boten (sempadan Laos – China) dengan melalui laluan yang agak mencabar di Luang Namtha. Walaupun diberi kesempatan untuk menjejakkan kaki di China, Zamri dan Zarihan tidak dibenarkan membawa sebarang peralatan elektronik seperti kamera atau telefon.
Sayang sekali. Dari Boten, pasangan ini menyambung semula perjalanan ke Luang Prabang yang sejauh kira-kira 800 kilometer. Di Luang Prabang, kepenatan Zamri dan Zarihan terubat apabila melihat keindahan air terjun semulajadi Kuang Si. Air terjun ini bertingkat-tingkat dan cukup indah sekali. Kemudian mereka merentasi kawasan pergunungan Kasi dan sekali lagi KTNS RS3 ini membuktikan kemampuan dan prestasinya yang cukup mantap tanpa sebarang masalah. Zamri dan Zarihan berjaya tiba di kawasan pergunungan popular, Phu Thab Berk untuk bermalam. Selain pemandangannya yang sangat cantik, kawasan ini juga sentiasa menarik minat para pelancong kerana suhu yang rendah.
“Boleh dikatakan sepanjang perjalanan kami tidak ada masalah terutamanya ketika berurusan dengan pihak kastam dan imigresen kecuali di Cambodia. Kami diperiksa dan disoal secara berasingan. Saya dibawa ke tingkat atas dan dituduh sebagai warga Thailand walaupun beberapa kali saya tunjuk paspot Malaysia. M a s a l a h komunikasi dan cara layanan mereka memang boleh menyebabkan kita marah tetapi mujurlah akhirnya berjaya juga menyambung perjalanan tetapi saya terus 'down' dan patah semangat,” kongsi Zarihan.
Setibanya di Bangkok, Zamri membuat keputusan untuk menaiki keretapi sehingga Hatyai sebelum kembali menunggang hingga ke tanahair dengan selamat. Zamri dan Zarihan berjaya mengembara ke enam buah sempadan negara iaitu Thailand, Laos, Vietnam, Myanmar, China dan Cambodia dengan jarak sejauh 6,924 kilometer dan perbelanjaan petrol sebanyak RM970 sahaja.
“1000 miles begin with a single step,” kata Zamri menamatkan kisahnya. Zamri dan isteri kini sedang membuat perancangan terbaru untuk ke Yunnan, China pada tahun 2018 ini. Kita doakan agar impian mereka tercapai.
Pengembaraan Indonesia sejauh 16,000km (16hb Julai hingga 25hb Disember 2017)
Alex dan isterinya Allyson sememangnya pencinta pengembaraan motosikal. Mereka berdua pernah mengembara bersama di beberapa buah negara di Amerika beberapa tahun yang lalu dengan menunggang BMW R1200 GS. Sekembalinya ke Malaysia, Alex terus menyambung minatnya dalam pengembaraan motosikal dengan melawat ke beberapa negara jiran seperti Thailand, Laos dan lain-lain.
Untuk perkongsian: Memandangkan pengembaraan Alex dan Allyson mengambil masa lebih daripada dua bulan, mereka berdua telah memohon visa Indonesia yang membenarkan mereka berada di sana selama 180 hari. Pada tarikh kemasukan, mereka diberikan kebenaran berada di sana selama 60 hari dan selepas itu mereka dikehendaki untuk memohon penambahan hari pada setiap 30 hari di sana. Setiap kali permohonan ingin dilakukan, Alex perlu mendapatkan 'tajaan' atau sokongan orang tempatan di sana. Menurut Alex, sokongan itu bukanlah perkara yang sukar kerana di sepanjang perjalanan, dia bertemu dengan ramai rakan-rakan motosikal yang cukup baik dan sedia membantu.
Alex dan isterinya kemudian merancang untuk ke Indonesia kerana ia tidak jauh dan benar-benar ingin melihat budaya dan cara hidup masyarakat di sana. Mereka menggelarkan pengembaraan tersebut The Journey of 100,000 Smiles. Walaupun memiliki sebuah jentera pengembaraan BMW, Alex memilih KTNS RS3 dalam pengembaraannya ke Indonesia kerana jentera ini ringan, mudah dikendalikan, ramping (sesuai dalam kesesakan) dan mudah diselenggara.
“Sebelum ke Indonesia, saya telah pun menunggang RS3 ke Thailand dan Laos untuk menguji prestasinya dan saya cukup berpuas hati. Dari Malaysia, RS3 miliknya dibawa ke seberang negara dengan menaiki kapal dan perjalanannya bermula di Banda Aceh. Menurut Alex, pengembaraan di Indonesia lebih disukai kerana tiada masalah komunikasi dan makanannya cukup lazat.
Terdapat lebih daripada 300 kelompok etnik di Indonesia yang memiliki identiti tersendiri seperti loghat bahasa, pakaian tradisional, makanan, kebudayaan, pertukangan, rekabentuk rumah dan cara hidup. Ini salah satu keunikan negara jiran kita yang hanya dapat dilihat melalui pengembaraan. Dengan mengamal corak tunggangan yang santai dan cermat, Alex dapat bertemu dengan ramai kawan-kawan baru yang ditemui sepanjang perjalanan.
Walaupun mereka santai dan tidak laju, kesesakan jalan raya sentiasa penyebab utama perjalanan Alex dan Allyson tersangkut yang kadang kalanya memakan masa berjam-jam. Kualiti permukaan jalan raya juga tidak semua baik malah masih ada di beberapa daerah yang agak kurang sempurna. Bagi Alex, ia bukan sahaja menguji kemampuan jentera tunggangannya malah skil penunggang juga amat penting untuk kekal selamat ketika berdepan dengan situasi sukar.
Untuk menjamin prestasi enjin bergerak dalam keadaan terbaik setiap masa, Alex sentiasa menggunakan minyak enjin yang berkualiti tinggi dan sentiasa memantau kondisi jenteranya dari masa ke semasa. “Menunggang berdua memang seronok kerana saling memberi semangat dan menemani satu sama lain. Empat mata sentiasa lebih baik daripada dua mata dan Allyson akan memastikan saya menunggang dengan selamat di setiap masa. Apabila tiba di hotel, dia akan menolong menyempurnakan pakaian dan memastikan keselesaan kami berdua. Itu memang sangat membantu khususnya selepas penat menunggang jentera seharian,” kata Alex.
Dari Aceh - Bukit Tinggi - Padang kemudian diteruskan ke Sumatera Selatan sehinggalah di penghujung Kepulauan Sumatera yang jaraknya sekitar 2,200 kilometer. Alex, Allyson dan jentera mereka menaiki kapal di Lampung untuk menuju ke Cilegon. Akhirnya tayar RS3 bergolek semua setibanya di Kepulauan Jawa. Jakarta adalah destinasi terawal dan di sini, mereka 'dikejutkan' dengan tahap kesesakan yang sangat teruk. Untuk perjalanan 130 kilometer, Alex dan Allyson terpaksa menempuh kesesakan sehingga tujuh jam.
Mujurlah keletihan mereka dapat dikurangkan dengan adanya hidangan dan juadah makanan orang-orang di sini yang menepati selera Alex dan isterinya. Antara makanan yang diminatinya ialah Nasi Kapau, Sop Saudara (daging), Indo Mee Bakso, Coto Kuda (Sup Soto Daging Kuda), Nasi Padang dan macam-macam lagi. Yang pasti kata Allyson, semuanya enak bangat!
Seperti yang diimpikan oleh pasangan ini, mereka berjumpa dengan ramai kenalan yang sanggup menolong tanpa sebarang syarat. Apa yang menarik minat kedua-dua pasangan ini ialah jumlah pengguna motosikal di Indonesia yang terlalu ramai memandangkan ia jentera yang paling mudah dan murah tetapi oleh kerana jumlahnya terlalu banyak, motosikal di sana juga mengalami kesesakan. “Kalau di negara kita, motosikal boleh dilihat satu yang lalu dalam 10 saat... di sana pula berbeza, satu saat ada 10 motosikal lalu,” gurau Alex.
Dari Jawa, mereka merentasi lautan lagi untuk tiba di Pulau Bali, Lombok kemudiannya ke rantai pulau-pulau kecil termasuklah di Labuhan Bajo, Flores yang sangat-sangat cantik. Ada ketikanya mereka berdua terpaksa menaiki kapal kecil selama 24 jam untuk menyeberangi lautan dari satu pulau ke pulau yang lain. Memang memenatkan tetapi itulah cabaran yang mereka inginkan demi menyempurnakan pengembaraan.
“Pengiraan masa sangat penting kerana ketika di Labuhan Bajo, saya boleh pergi sejauh mungkin tetapi perlu kembali ke situ kerana hanya ada satu pelabuhan sahaja memberi perkhidmatan kapal ke Makassar, Sulawesi. Kapal ini pula hanya datang seminggu sekali. Kalau terlepas... rugi masa seminggu!” Jelas Alex.
Dengan pengiraan yang tepat, kedua duanya berjaya ke Bira, Sulawesi dalam masa yang dirancangkan. Semangat dan keterujaan kedua-dua pasangan ini diteruskan semula. Bira - Makassar – Palu – Manado (cuba tengok Google Maps untuk melihat jarak dan perjalanan mereka). Alex dan Allyson mengambil masa sebulan di Sulawesi untuk beberapa urusan termasuklah penambahan visa, membuat pesanan alat ganti KTNSnya yang sedikit rosak.
Dari Palu, mereka berdua sekali lagi menaiki kapal selama 24 jam untuk tiba di Balikpapan, Kalimantan. “Ramai orang kata, Kalimantan ini tempatnya agak terpencil. Ia satu tanggapan yang salah. Di sini terdapat bandar yang cukup meriah dan jalan raya yang cantik dan baik. Kasmi berdua cukup 'enjoy' menunggang di sini dan kami menamatkan perjalanan selepas 162 hari di Pontianak dengan kadar perbelanjaan sekitar RM3,500 setiap bulan. Sememangnya perjalanan ini sangat menarik dan unik sekali. Bagi Alex dan Allyson, pengalaman merentasi pelbagai jenis tempat dan bertemu dengan orang-orang yang semuanya baik-baik belaka adalah kemuncak keseronokan.
'Perjalanan' Alex dan Allyson tidak terhenti di sini, pastinya mereka akan terus mengembara untuk melihat lebih banyak keajaiban dunia. Bagi pihak KTNS, pengembaraan kedua dua pasangan ini benar-benar menguji dan membuktikan kemampuan sebenar jentera RS3 dan sudah pasti ramai pemilik jentera ini lebih bersemangat untuk 'melompat' ke atas motor masing-masing dan memulakan pengembaraan mereka. KTNS RS3 ditawarkan pada harga RM15,850 (Adventure) dan RM13,930 (SE) termasuk GST dengan tiga warna pilihan iaitu Biru, Emas dan Jingga. RR
Popular