Scrambler Ducati 1100 Media Ride
Dua buah jentera... spesifikasi yang sama tetapi rupa yang sedikit berbeza. Itulah yang kami dapati dengan Ducati Scrambler 1100 Special dan Ducati Scrambler Sport. Untuk memberikan pengalaman mengendalikan jentera ini di beberapa laluan yang mencabar, Ducati Malaysia telah adakan Ducati Scrambler 1100 Media Ride pada awal April lalu. Perjalanan dari Petaling Jaya ke Fraser's Hill dianggarkan sejauh 250 kilometer dengan melalui lebuhraya, jalan berliku, jalan mendaki dan laluan lasak (offroad).
Perjalanan diketuai oleh Ducati DRE Instructor iaitu En. Rusydi Razali atau Diddy yang juga memberikan nasihat, tip dan bantuan semasa di dalam perjalanan. Perjalanan dari ibu pejabat Ducati Malaysia di Petaling Jaya telah disempurnakan oleh Ketua Eksekutif Pemasaran Ducati Malaysia, En. David Lim dan kami terus memecut ke Kuala Kubu Bharu menggunakan lebuhraya DUKE, kemudian ke Rawang Bypass yang cukup segar di waktu pagi.
Antara panduan yang dikongsikan ialah tentang;
- Tahap kelajuan yang disetujui bersama (semua penunggang mesti mampu capai kelajuan tertentu), amat penting agar menjaminkan keselamatan para penunggang.
- Pemandangan di Empangan Kuala Kubu Bharu memang cukup mempersonakan.
- Penunggang juga dinasihatkan agar menikmati laluan berselekoh tanpa perlu memecut selaju yang mampu.
- Harus ada jarak selamat di antara dua penunggang iaitu 2 saat di jalan kering dan 4 saat di waktu hujan/basah.
- Penunggang juga perlu bertukar posisi untuk memimpin konvoi.
- Para penunggang perlu menjaga keselamatan rakannya di hadapan.
Sebagai permulaan, RR menggunakan Ducati Scrambler 1100 Sport yang sememangnya amat kami gemari sejak mula-mula menunggangnya tahun lalu. Model ini menawarkan tiga mod tunggangan (sama seperti model Special) iaitu Active, Journey dan City. Kami bermula dengan memilih mod Journey dan sememangnya memiliki kuasa hantaran yang cukup memberangsangkan. Respon pendikit yang tepat dan kelancaran enjinnya membolehkan kita menyentap enjin 1,079cc dengan kuasa 86hp dengan selesa.
Dengan kekuatan kuasa torknya, Ducati Scrambler 1100 Sport dan Special dapat memintas dengan lancar dalam semua kedudukan gear. Apa yang amat menyeronokkan, setiap penunggang jentera ini akan dapati pengendalian Ducati ini amat mudah sekali. Dengan tubuh badannya yang sederhana, memang sukar dipercayai ia adalah sebuah jentera 1100cc!
Kami telah pun menunggang uji model ini dan jika para pembaca ingin maklumat lebih terperinci mengenai model Sport, sila beli RR Oktober 2018.
Pemandangan di atas Rawang Bypass memang cukup memukau! Jalan ini menampilkan jejambat yang sepanjang 2.7 kilometer dengan tiang tertinggi berukuran 58.2 meter dan menjadikannya sebagai tiang tertinggi seumpamanya di Malaysia. Dari atas kita dapat melihat kepesatan bandar dan keindahan alam semulajadi.
Laluan di jalan-jalan bandaraya tidak sibuk, membolehkan kami meningkatkan kelajuan sedikit demi sedikit. Memang 'syok!' Tidak lama kemudian, kami tiba di Ladang Sawit Ampang Pecah yang terletak di daerah Kuala Kubu Bharu. Ducati Scrambler 1100 Sport dibawa ke laluan yang lebih lasak.
Diddy memimpin kami bersama Ducati Multistrada 950. Laluan awal hanya berbatu tetapi menjadi lebih sukar apabila tiba di kawasan yang berlubang dan berlopak. Mujurlah Ducati Scrambler amat mudah dikawal manakala hantaran kuasanya yang tidak 'menakutkan', kami dapat merentasi laluan-laluan tersebut dengan mudah.
Disebabkan hujan sehari sebelum kami ke sana, beberapa tempat agak licin dan memerlukan pengendalian yang cekap agar tidak terbabas. Kedua-dua Ducati Scrambler ini dilengkapkan dengan tayar Pirelli MT-60 RS yang bertindak cukup cemerlang mengawal setiap pergerakan. Pilih gear yang sesuai, guna pendikit dengan bijak untuk dapatkan kelajuan yang selamat terutamanya apabila menyeberangi kawasan anak sungai. Mungkin kerana sudah lama tidak ke laluan 'offroad', kami cukup gembira sekali.
Jika tadi sibuk mengawal jentera di laluan yang mencabar, Ducati Scrambler kemudiannya 'ditugaskan' untuk memberikan kami kepuasan di laluan berselekoh ketika mendaki dari Empangan Kuala Kubu Baru ke Fraser's Hill. Laluan dua lorong di kawasan empangan tersebut agak luas, amat sesuai sekali untuk menguji ketangkasan Ducati ini meratah setiap selekoh tanpa risau.
Bagi mereka yang pernah ke Frasers' Hill, anda mesti kenal dengan laluan mendakinya yang kecil dan sedikit mencabar. Seperti yang dikatakan tadi, walaupun Scrambler ini berkuasa 1100cc, ia cukup 'jinak' – amat selesa ditunggang hingga ke puncak.
Sedang kami menikmati makan tengahari, hujan turun dengan sangat lebat menyebabkan suhu di Fraser's Hill turun dengan mendadak. Kami hanya perlu menunggu hujan berhenti sebelum turun kerana ia agak berbahaya.
Kami bertukar kepada Ducati Scrambler 1100 Special yang ternyata memiliki beberapa perbezaan berbanding model Sport seperti warna, rim (Sport: rim, Special: jejari), sistem saspensi hadapan / belakang (Sport: Marzocchi. Special: Ohlins) dan beratnya (Sport: 211kg, Special: 206kg). Harganya juga berbeza! Ducati Scrambler 1100 Sport berharga RM87,900 manakala model Special pula bernilai RM85,900.
Walaupun kami sepatutnya menukar kepada mod Active (dari mod Journey), situasi dan keadaan permukaan jalan yang licin dan masih basah agak merisaukan. Oleh itu kami kekalkan talaan dalam mod Journey yang tawarkan sistem traction control yang lebih meyakinkan.
Brek enjin yang dimiliki oleh Ducati Scrambler 1100 ini memang cemerlang – membolehkan kami menuruni Fraser’s Hill dengan cekap dan selamat. Apabila semakin hampir dengan Kuala Kubu Bharu, hujan telah berhenti sepenuhnya dan barulah mod Active digunakan seperti yang dirancang sebelum ini. Kuasa penuh! Pecutan lebih galak dan lebih mengagumkan.
Miringan dapat dilakukan dengan lebih mantap. Keluar/masuk selekoh juga lebih pantas kerana hantaran kuasa cukup galak sekali. Tidak perlu tunggu masa yang lama untuk dapatkan peningkatan kelajuan daripada 100km/j ke 180km/j dalam gear keempat. Sayangnya… nikmat bermain selekoh di laluan kering tidak kekal lama. Langit kembali gelap dan ini memaksa kami untuk berhenti menambah bahan api serta mengenakan baju hujan.
Kami semua mengenakan baju hujan GIVI PRS01.AX (RM302) dan CRS01.AX (RM201.40) yang telah terbukti bukan hanya mampu melindungi kami daripada basah tetapi juga dapat mengekalkan suhu badan agar tidak terlalu sejuk menunggang di dalam hujan lebat. Lebuhraya menuju ke Kuala Lumpur ditimpa hujan sangat lebat berserta angin yang agak kuat. Kami kembali menggunakan mod Journey dan mengekalkan kelajuan yang selamat. Di kala ini, kami berharap alangkah bagusnya jika Ducati menyempurnakan Scrambler ini dengan pemanas pendikit! Barulah kita dapat memaut jentera ini dengan selesa.
Dengan purata kelajuan 100-120km/j, perjalanan pulang ke Petaling Jaya tidak memakan masa yang lama dan yang pentingnya, kami selamat. Terima kasih buat Ducati Malaysia atas penganjuran ini dan Diddy yang sentiasa membantu menjadikan perjalanan lebih lancar. Untuk dapatkan malumat lebih lengkap mengenai Ducati Scrambler, kunjungi Ducati Malaysia, Lot 1, Jalan 51A/221, 46100 Petaling Jaya, Selangor. RR
Popular