Lagi kes bengkel terbakar. Kali ini 7 buah motosikal hangus dijilat api!

JOHOR BAHRU – Sebuah kedai aksesori kereta di Taman Kebun Teh, di sini, termasuk tujuh motosikal yang berada di dalam premis berkenaan musnah dalam kebakaran yang berlaku pada lewat malam Isnin.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin, Pegawai Bomba Kanan II Wan Azri Wan Adannan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.13 malam sebelum menggerakkan pasukan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba tujuh minit kemudian, kebakaran dikesan melibatkan sebuah kedai aksesori kereta jenis struktur kekal berkeluasan 4.64x6.50x0.83 meter persegi (50x70x9 kaki persegi).
"Kejadian itu telah memusnahkan 50 peratus daripada keseluruhan premis,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Menurut beliau, operasi pemadaman dijalankan menggunakan dua aliran salur bantu mula dan api berjaya dikawal pada jam 11.27 malam sebelum operasi tamat sepenuhnya sekitar jam 11.57 malam.
Pada masa sama, Wan Azri memaklumkan, tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian itu dan punca kebakaran serta anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Tambahnya, seramai 19 anggota bersama dua jentera Fire Rescue Tender (FRT), satu unit Perkhidmatan, Perawatan, Penyelamatan, Kecemasan (EMRS) dan dua Rapid Intervention Motorcycle (RIM) terlibat dalam operasi tersebut. RR
sumber: https://www.sinarharian.com.my/