Nahas Treler & Kereta: 5 Mangsa Disahkan Maut

KLUANG - Tayar hadapan sebelah kanan sebuah treler pecah dipercayai punca kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan di sini malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kemalangan kira-kira jam 11.30 malam itu mengakibatkan lima maut termasuk suami isteri dan anak perempuan mereka berusia dua tahun.
Menurutnya, hasil siasatan awal kejadian berlaku ketika treler kontena jenis Volvo dipandu lelaki berusia 35 dalam perjalanan dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur.
"Sebaik tiba di lokasi kejadian, tayar hadapan sebelah kanan dikatakan pecah menyebabkannya kenderaan itu hilang kawalan sebelum bergesel dengan sebuah kereta Toyota Camry yang turut dalam arah perjalanan sama.
“Akibat kejadian itu lori kontena itu telah terbabas dan memasuki laluan bertentangan dan berlanggar dengan kereta Proton X50 dan Honda Stepwagon Spada.
“Pelanggaran itu turut menyebabkan berlaku kebakaran ke atas kereta Honda Stepwagon Spada, bagaimanapun semua mangsa sempat dikeluarkan pengguna jalan yang kebetulan berada di lokasi kejadian,” katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, pasangan yang maut ialah pemandu Honda Stepwagon Spada, Nasaarudin Pardi, 36; isterinya, Siti Khazira Bani, 35, meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital manakala anak perempuan, Mariam Nasarudin, 2, meninggal dunia di tempat kejadian.
"Tiga lagi anak mangsa yang berusia sembilan, tujuh dan empat tahun cedera parah dan sedang menerima rawatan di Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang.
"Turut maut dalam kemalangan itu ialah pemandu Proton X50, Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, yang tiada lesen memandu dan penumpang hadapan, lelaki berumur 20-an akibat cedera parah di kepala dan badan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.
Katanya, pemandu treler kontena ditahan untuk siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. RR
sumber: https://www.sinarharian.com.my/