Honda BigWing Pertama Dirasmikan
Tahniah buat Boon Siew Honda Sdn Bhd (BSH) dengan melakar satu lagi sejarah apabila memperkenalkan pusat sehenti jentera berkuasa tinggi atau BigWing pertama mereka pada awal Februari lalu yang terletak di Setapak, Kuala Lumpur.
Dengan berkeluasan 5,535 kaki persegi, BigWing sudah pasti menawarkan kepelbagaian servis hebat untuk jentera bersesaran 250cc ke atas dengan perkhidmatan yang profesional, ruang rehat yang selesa, mekanik yang terlatih dan alat ganti tulen dari BSH.
BigWing pertama ini diuruskan oleh Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd dan hadir menyempurnakan majlis perasmian pada hari penuh bererti itu ialah Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BSH, En. Nobuhide Nagata, Timbalan Pengerusi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Dato' Seri Datuk Wira Tan Hui Jing, Ketua Pegawai Penjualan BSH, En Voon Yin Kong dan Presiden Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia, En. Wee Hong.
Menurut pihak BSH, Setapak dipilih sebagai pusat servis dan jualan Honda BigWing pertama di Malaysia berdasarkan lokasinya yang strategik dan pelanggan yang besar serta keyakinan BSH terhadap keupayaan Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd dalam memenuhi kehendak pengguna.
Di majlis yang sama, BSH turut mempertontonkan dua buah jentera baru iaitu Honda X-ADV dan Honda CRF1000L Africa Twin. Bersama kedua dua model tersebut, sebuah lagi mesin hebat iaitu CB1000R turut dijangka akan berada di pasaran menjelang suku tahun kedua iaitu sekitar bulan Jun ini.
“Kami akan memberi fokus dalam menyediakan pengalaman yang terbaru di luar jangkaan pelanggan. Selepas Setapak, tiga lagi cawangan Honda BigWing akan dibuka iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Johor. Menerusi rangkaian ini dan pelancaran model-model baru, BSH menyasarkan peningkatan jualan sebanyak 30% atau lebih 1,600 unit dalam jualan motosikal berkuasa tinggi,” kata En. Nobuhide Nagata.
Pelanggan motosikal berkuasa tinggi Honda BigWing Setapak akan menerima kad ahli Honda BigWing secara percuma dan bagi mereka yang memiliki kad eksklusif ini, mereka layak menikmati diskaun minimum sebanyak 10% ke atas alat ganti & aksesori Honda tulen, pakej insurans khas serta khidmat nasihat daripada juruteknik yang berpengalaman, mengikuti konvoi atau acara menarik anjuran BSH dan banyak lagi.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila hubungi Ee Tiong Motorsports Sdn Bhd di 03-4023 6192 atau kunjungi di alamat No. 384, 386, 388, 390, Jalan Pahang, Setapak, Kuala Lumpur dan boleh juga melayari laman web www.facebook.com/pg/hondabigwingsetapak/. RR
Popular