Juruteknik meninggal dunia, langgar treler rosak di lorong kecemasan

REMBAU - Seorang juruteknik pendingin hawa maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar bahagian belakang sebuah treler yang mengalami kerosakan teknikal di lorong kecemasan di Kilometer 235.4 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara pada Ahad.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian pada jam 11.15 malam itu membabitkan motosikal jenis Yamaha Y16ZR ditunggang lelaki berusia 22 tahun dan treler muatan kaca.
"Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku ketika mangsa dari Muar ke Kuala Lumpur.
"Apabila sampai di tempat kejadian, dia yang menunggang di lorong kecemasan telah gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar bahagian belakang sebelah kiri treler," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, treler berkenaan sedang berhenti di lorong kecemasan disebabkan mengalami kerosakan dan sebelum kemalangan, pemandunya yang berusia 45 tahun telah meletakkan kon kecemasan atau tanda amaran di belakang kenderaan tersebut.
Katanya, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia oleh paramedik yang tiba di lokasi.
"Pemandu treler pula tidak mengalami kecederaan. Mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat.
"Siasatan kes masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya. RR
sumber: https://www.sinarharian.com.my
Popular