Selepas 18 jam bertarung nyawa, penunggang motosikal disahkan meninggal dunia

GEORGE TOWN - Seorang penunggang motosikal disahkan meninggal dunia selepas 18 jam bertarung nyawa kerana terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di Jalan Tetembok (Terowong) Jalan Masjid Negeri di sini.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, mangsa yang merupakan lelaki warga tempatan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) pada jam 1.10 pagi, Khamis.
"Kemalangan berlaku pada 12 Februari pada jam 7.30 pagi yang mana, sebuah motosikal yang dinaiki oleh mangsa berusia 21 tahun telah berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Kereta itu dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 46 tahun dan membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, motosikal terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta yang datang dari arah bertentangan.
"Mangsa yang mengalami cedera parah telah dihantar ke HPP, namun disahkan meninggal dunia setelah 18 jam menerima rawatan.
"Sementara itu, pemandu kereta tidak mengalami kecederaan namun kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan," jelasnya.
Abdul Rozak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
"Mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut diminta tampil untuk membantu siasatan pihak polis," ujarnya.
Difahamkan, motosikal tidak dibenarkan melalui terowong berkenaan selain terdapat papan tanda berhubung larangan terbabit di kedua-dua arah.
Terdahulu, tular satu klip video berdurasi 17 saat memaparkan sebuah motosikal terbabas lalu memasuki laluan bertentangan dan melanggar sebuah kereta.
Akibat daripada kejadian itu, pemandu motosikal parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut. RR
sumber: http://www.sinarharian.com.my
Popular