MODA Media Test Ride - Peluang Merasa SPORTER-S 250
Pada awal Januari yang lalu, MODA Motorcycles Malaysia yang merupakan anak syarikat kepada AFY Mobility Industries (AMI) melancarkan skuter terbaru mereka iaitu SPORTER-S 250. Oleh itu, untuk memberi peluang kepada para media, pihak MODA telah menganjurkan sesi tunggang uji ringkas bersama media di LakeSide@SIC Sepang. Acara ini juga turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Pengurus Besar AMI, En. Awalludin Bin Mohammed Lip bersama Pengurus Jenama - KMSB, En. Micheal Yeoh Guan Hin.
Acara pada hari tersebut dimulakan dengan sesi ucapan ringkas oleh En. Awalludin Bin Mohammed Lip dan kemudian pihak media diberi taklimat tentang jarak perjalan dan laluan yang dipilih pada hari tersebut oleh En. Ahmad Radzi.
Sesi tunggang uji ringkas ini melalui jalan-jalan biasa dan lebuhraya KLIA yang merangkumi jarak perjalanan lebih kurang 32 kilometer. Perjalanan konvoi yang disertai oleh para media turut dikawal oleh tiga orang krew pengiring berpengalaman.
Perjalanan konvoi bermula di LakeSide@SIC Sepang melalui Jalan Pekeliling 2 - Jalan Pekeliling - Lebuhraya KLIA dan kembali semula ke LakeSide@SIC. Sebaik sahaja duduk di atas SPORTER-S 250, pelananya memang cukup empuk sekali. Ruang bawah pelana bersaiz 10 liter dan mampu memuatkan dua buah helmet.
Model ini tampil dengan cermin penghadang angin yang boleh dilaras secara manual mengikut keselesaan masing-masing. Dari segi rekabentuk, boleh kami katakan ia sebuah skuter yang sangat menawan, nampak ala-ala seperti jentera 'sportbike'. Oleh kerana sesi tunggang uji jentera ini pada waktu pagi, kami tidak dapat mengulas dengan lebih lanjut berkenaan pencahayaan lampu-lampu LEDnya.
Ruang kokpit cukup kemas sekali dengan dilengkapi paparan meter jenis TFT 6.2 inci berwarna penuh. Ketika menunggang segala info yang ada kami dapat lihat dengan jelas walaupun di bawah pancaran cahaya matahari. Terdapat juga sistem pemantauan tayar (TPMS) yang boleh dilihat menerusi meter. Soket pengecas USB 12V pula memudahkan kita untuk mengecas telefon bimbit di mana jua.
Posisi menunggang yang tegak menawarkan keselesaan untuk tunggangan jauh mahupun dekat. Ruang lantai pemijaknya juga luas, kami dapat mengubah posisi kaki dengan mudah sewaktu memecut dan mengambil selekoh.
SPORTER-S dijana dengan enjin Euro4 yang bersesaran 244cc, silinder tunggal, SOHC dengan sistem penyejuk cecair yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 24.8hp pada 8,500rpm dan tork 22.5Nm pada 6,500rpm. Respon di antara pendikit dan enjin dapat mengerakkan jentera ini dengan pantas. Semasa dil aluan lurus, kami memecut jentera ini dengan lebih galak. Purata kelajuan yang kami dapat pada waktu itu sekitar 145 - 150 km/j. Dalam kelajuan yang tinggi, cermin sisi pada MODA ini bergegar dengan kuat, sukar untuk kami melihat kehadiran kenderaan dari belakang dengan lebih fokus.
Walaupun hanya sebuah skuter 250cc, SPORTER-S ditampilkan dengan saspensi hadapan jenis USD manakala belakang menggunakan penyerap hentak berkembar boleh laras. Ketika melalui jalan yang tidak rata, proses hentakan pada saspensi ini telah bekerja dengan baik sekali. Cuma kami dapat rasakan saspensi belakangnya terasa beralun, terutama semasa memecut.
Boleh kami katakan model ini cukup padu semasa mengambil selekoh. MODA SPORTER-S dipadankan dengan tayar-tayar bersaiz 120/70-15 (depan) dan 140/60-14 (belakang) yang mencengkam permukaan jalan dengan sempurna. Bukan itu sahaja, sistem keselamatan pada model ini juga disempurnakan dengan brek cakera berkembar 260mm di bahagian hadapan manakala belakang menggunakan cakera tunggal 240mm. Jentera ini juga didatangkan dengan sistem ABS dua saluran dan Traction Control.
Kelengkapan lain yang ada seperti sistem kunci pintar, ruang kecil untuk menyimpan barang di depan, sistem suntikan bahan api BOSCH, tangki bahan api 13 liter dan berat 186kg.
Dengan jarak perjalanan yang pendek, kami tidak dapat memberikan ulasan dengan lebih mendalam lagi. Walaubagaimanapun, kami akan mengkongsikan maklumat terperinci tentang model ini sebaik sahaja unit tunggang uji disediakan oleh pihak MODA.
MODA SPORTER-S 250 hadir dengan dua pilihan warna iaitu Sporty Red dan Meteor Grey dengan harga asas bermula RM17,888. RR