Polis Tahan Wanita Bakar Motosikal
Taiping: Polis menahan seorang wanita susulan video tular membakar sebuah motosikal di Jalan Masjid Pokok Assam di sini.
Wanita berusia lingkungan 40 tahun itu ditahan sekitar jam 7.30 malam pada Khamis selepas polis menerima laporan kes tersebut daripada seorang lelaki.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku melibatkan sebuah motosikal jenis Honda RSX berwarna hitam.
Menurutnya, semasa kejadian telah datang penarik kenderaan untuk membawa motosikal itu yang telah tertunggak bayaran ansurannya selama 20 bulan.
"Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati kepada wanita berkenaan.
"Wanita itu dikatakan telah menyimbah cecair disyaki petrol ke atas motosikal lalu membakarnya," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
"Kanun tersebut memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan," katanya.
Sebelum ini, tular video berdurasi 1 minit 42 saat memaparkan seorang wanita dengan sengaja menyimbah minyak petrol ke atas motosikal miliknya.
Wanita itu kemudiannya dilihat melemparkan kertas yang telah dibakar ke arah motosikal terbabit menyebabkan kenderaan tersebut terbakar.
Seorang lelaki dipercayai penarik kenderaan yang merakam video berkenaan memaklumkan bahawa pemilik motosikal terbabit sudah gagal menjelaskan bayaran tertunggak selama 20 bulan.
"Kami tarik motosikal ini dari JCL. Motosikal ini sudah tidak dibayar 20 bulan. Owner (pemilik) simbah minyak dan bakar," katanya. RR
sumber: http://www.sinarharian.com.my