Penunggang Maut Motosikal Terbabas Di Kuantan
KUANTAN - Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Jalan Pintasan Kuantan berhampiran pintu belakang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Indera Mahkota di sini, pada Rabu.
Dalam nahas jam 7.30 petang itu, mangsa, Mohd Yusof Amat, 58, beralamat dari Bukit Setongkol di sini, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang bekerja sebagai pemandu menunggang motosikal jenis Honda Wave dalam perjalanan dari arah semambu menghala ke arah Bukit Setongkol.
Menurutnya, ketika tiba di tempat kejadian, mangsa yang berada di lorong kiri dipercayai gagal mengawal motosikalnya menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan.
"Siasatan di lokasi mendapati kemalangan berlaku ketika hujan lebat," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk proses bedah siasat.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. RR
Popular