Cikgu Pencen Ubahsuai Motosikal Untuk Bersihkan Kampung
BALING: Bermodalkan RM700, seorang pesara guru mengubah suai motosikalnya sebagai pengangkut sampah dan melakukan kerja-kerja mengutip sampah secara sukarela di Kampung Lanai, di sini.
Tidak hanya di kampung itu, Shahidin Hamid yang kini sudah mencecah usia 82 tahun turut meronda bersama motosikalnya di kampung-kampung berhampiran bermula pukul 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Menurutnya, dia berbuat demikian kerana ingin menjadikan kampung dan kariah masjid di situ menjadi lebih bersih dan cantik, lantas menawarkan diri mengutip sampah dari rumah ke rumah.
“Sejak mengajar di sekolah lagi saya memang minat dengan kerja-kerja sukarelawan dan sentiasa membantu apa sahaja aktiviti di sekolah dan luar sekolah tanpa mengenakan sebarang bayaran.
“Kerja-kerja sukarela ini membuatkan hidup saya berasa lebih gembira dan bersemangat apabila dapat berkhidmat untuk masyarakat,” katanya ketika ditemui semalam.
Ujar Shahidin, kebiasaannya penduduk mengumpul dan membungkus sampah termasuk botol kaca, tin, plastik dan sebagainya dengan rapi sebelum meletakkan di tepi jalan bagi memudahkan dia mengutipnya. RR
Sumber: http://www.utusan.com.my