Pertemuan Semula YP Azura & Dato’ Jamal Abdillah
Pada tanggal 9 Oktober 2024, merupakan detik bersejarah yang pastinya sukar dilupakan apabila motosikal YP Azura telah dipertemukan dengan pelakon utama filem Azura sendiri iaitu Dato’ Jamal Abdillah setelah 40 tahun berlalu.
Pertemuan tersebut diaturkan oleh Live Injection dan NJ Resources yang bakal mengadakan konsert Sandarkan Pada Kenangan Mencari Azura di Zepp Kuala Lumpur pada 15 Februari 2025 nanti.
Dato’ Jamal Abdillah yang berasa amat teruja sempat juga untuk menunggang uji YP Azura dan beliau amat berpuas hati dengan keadaan motosikal tersebut. Lirik lagu “Kenangan manis kau dan aku...” dalam lagu 'Sandarkan Pada Kenangan' benar-benar diadaptasi pada pertemuan tersebut.
Motosikal model Yamaha RD 350 YPVS tahun 1983 bernombor pendaftaran 'keramat' BCA 4372 yang kini menjadi milik Presiden RD Club Malaysia iaitu Bro Azhanyzam bin Zakaria. Beliau juga merupakan antara pencetus kebangkitan minat bermotosikal di Malaysia sekitar awal 80an.
Atas usaha beliau, pemilik pertama motosikal Azura ini iaitu Manshah Abd Majid telah berjaya dijejaki. Bro Manshah kini hidup bahagia bersama isteri tersayang dan dua anak perempuan mereka yang kian meningkat dewasa.
Menerusi perbualan bersamanya, sejarah YP Azura yang dibeli dari Motorcycle Sale Centre di Petaling Jaya. dapat juga dikongsikan bersama. Dengan motosikal 'legend' itu, beliau sering melepak bersama rakan-rakan di Benteng berdekatan Wilayah Complex dalam tahun 80an. YP Azura ini juga pernah berlumba di Litar Batu 3, Shah Alam ditunggang sendiri oleh Bro Manshah dalam saingan kategori Endurance Race.
Menyentuh berkaitan dunia lakonan, menurut Bro Manshah, anak saudara pengarah filem Azura sering melihat YP Azura ini di stesen minyak Shell, Ulu Klang. Beliau bertanya untuk menyewa YP Azura tersebut. Hasil daripada kerjasama itu, anak saudara pengarah filem Azura itu terus menjadi sahabat Bro Manshah sehingga dia juga turut membeli sebuah motorsikal Suzuki Katana.
Selepas beberapa tahun bersama YP Azura, Bro Manshah berminat untuk 'upgrade' ke jentera yang lebih berkuasa. Untuk itu, dia telah trade-in Yp Azura itu di Gentali Jalan Ipoh dengan Kawasaki Ninja 600 dan selepas itu YP Azura hilang tanpa berita hingga dijumpai semula oleh Saudara Zainolhadi yang juga merupakan Pengerusi RD Club Pahang.
Zainolhadi menyimpan motosikalnya itu hingga tahun 2010 dan kemudiannya diserahkan kepada Presiden RD Club Malaysia, Azhanyzam bin Zakaria yang disimpan hingga ke hari ini. Semoga motosikal bersejarah yang sinonim dengan perkembangan permotoran di Malaysia kekal terpelihara untuk tatapan bersejarah generasi akan datang. RR
Popular